Sabtu, 20 Ogos 2011

Dua puluh Ramadhan: Mati di Madinah

Dengan nama Allah...


Alhamdulillah. Tetapi sedih juga. Sudah berbaki kurang lebih 10 hari saja lagi. Allah...


Saya masih ingat ketika di Madinah, saya pernah berkira-kira untuk berpuasa. Tetapi hasrat itu tak pernah saya tunaikan atas banyak sebab. Salah-satunya, saya sendiri tak punya kekuatan untuk berpuasa dalam keadaan cuaca yang sangat panas.


Bagaimana ya, Rasul Allah dan para sahabat melalui hari-hari yang panas lagi kering begitu sewaktu bulan Ramadhan?


Sewaktu di Madinah juga, saya tidak pernah mendekati perkuburan Baqi', perkuburan yang terletak di sebelah tenggara Masjid Nabawi. Pertama, saya sendiri terlupa bahawa setidak-tidaknya saya boleh menggambari dari jauh. Ke-dua, hanya jemaah lelaki yang boleh menziarahi perkuburan itu jadi saya kurang mengambil tahu. Ke-tiga, fokus saya lebih kepada Raudhah.

Secara harfiah, Al-Baqi' bermaksud taman pepohonan. Saya lalu teringat kisah yang pernah diceritakan oleh seorang ustaz yang saya tidak ingat siapa. Rasulullah S.A.W. akan menziarahi perkuburan Baqi' pada tengah malam terutamanya ketika gilirannya bermalam bersama Aisyah R.A.

Tengah malam?

Ya, tengah malam!

Perkuburan Baqi' bukanlah seperti perkuburan lazim di Tanah Pusaka. Malah, saya perhatikan tidak kira Baqi' atau apapun termasuk jannat al-Ma'ulla di Makkah, perkuburan di tanah Arab tidaklah mendidik jiwa untuk fikir yang tidak-tidak. Tidak akan langsung terfikir akan pocong atau pontianak.

Kawasannya lapang. Tidak berpohon besar lagi berjanggut seperti yang biasa kita lihat di Tanah Pusaka. Tidak berbatu nisan yang mewah-mewah lengkap bertulisan khat. Tidak bermarmar atau berjubin dan berpokok bunga. Malah tidak berumput.

Hanya tanah. Dan berbatu sebagai petanda kubur.

Masyarakat di tanah Arab tidak diseram-seramkan dengan cerita hantu Jepun tanpa kepala atau hantu perempuan mengendong batu nisan. Hatta malam sekalipun, keadaannya terang-benderang. Saya sendiri tidak pasti tentang zaman Rasulullah S.A.W. Secara logiknya mungkin tidak secerah sekarang. Tetapi saya cukup yakin, Rasulullah S.A.W. tidak akan membiarkan tanah perkuburan dianggap sebagai tempat hantu bertandang. Rasulullah S.A.W. sendiri menziarahi kubur-kubur sahabat dan umat Islam pada waktu tengah malam.

Nabi kita Muhammad S.A.W. tidak pernah lupa mendu'akan orang-orang yang telah pergi di perkuburan Baqi'. Terdapat satu hadith yang tidak saya ingatnya riwayatnya, Muhammad S.A.W. menyatakan sesiapa yang dikuburkan di jannat Al-Baqi' akan mendapat keamanan daripada azab kubur. Baginda Rasulullah S.A.W. selalu mendu'akan keampunan buat semua yang telah dikebumikan di Baqi'.

Antara sahabat-sahabat serta kaum keluarga zaman Rasulullah S.A.W. yang dimakamkan di perkuburan Baqi' ialah puteri-puterinya Fatimah, Ruqayyah, Zainab dan Umi Kalthum, Imam Malik bin Anas, Uthman bin Affan, dan isteri-isteri Nabi S.A.W. termasuk Aisyah dan Khadijah R.A.

Saya teringat (lagi) cerita ustaz, bahawa kurang lebih hanya sepuluh ribu sahabat-sahabat Nabi S.A.W. yang dikuburkan di jannat Al-Baqi'. Ustaz telah menimbulkan persoalan di mata kepala saya.

MENGAPA?

Bukankah Rasulullah S.A.W. telah berjaya dalam dakwahnya di Madinah lalu penganut Islam terutamanya para tentera dan sahabat-sahabatnya berjumlah jauh lebih banyak daripada yang meninggal dunia di Madinah itu?



Lalu ustaz mengingatkan; Lihatlah bagaimana hebatnya kecintaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. kepada Islam lalu sanggup berhijrah dan bertebaran ke seluruh bumi untuk menyampaikan pesanan Nabi S.A.W. yang diperintahkan Allah Taala! Walaupun mereka sudah punya kesempurnaan dalam beragama! Mereka sudah punya peluang untuk mati di samping Nabi S.A.W. di bumi penuh barakah. Tetapi mereka memilih untuk terus berdakwah ke seluruh dunia lalu mati entah di mana. Bagi mereka, tidak cukup untuk sekadar berpuas hati atas dengan apa yang ada. Masih ramai yang tidak mengenali dan tidak menerima Islam. Lalu mereka sanggup meninggalkan Madinah dan berjuang di tempat lain.

Sedangkan kita?


Berjuang tak seberapa tapi sibuk berangan untuk hidup dan mati di tanah suci!


Oh. Ayat di atas saya tujukan buat diri sendiri.

Istighfar!


Jumaat, 19 Ogos 2011

Sembilan belas Ramadhan: Satu malam untuk diri sendiri dan Dia



Foto satu dan dua: Pemandangan waktu malam di luar Masjid An-Nabawi. Pada waktu solat terutamanya musim haji, kawasan dataran ini juga menampung keperluan saf para jemaah. Payung gergasi pada waktu malam 'dikuncupkan' menjadi tiang-tiang berlampu.



Dengan nama Allah...


Tatkala melihat diri sendiri dalam gambar-gambar semasa di Madinah, saya masih dalam denial bahawa saya tidak direzekikan Allah untuk berlama-lama di bumi itu. Satu malam ketika di sana - barangkali malam terakhir - saya berjalan mengelilingi masjid terbesar di Madinah itu dengan hati yang sungguh-sungguh pilu. Saya cuba membayangkan bagaimana masjid itu bertahun yang lalu. Tanpa payung gergasinya, tanpa kubah canggihnya, tanpa aircondnya, tanpa kemudahan yang sebaik sekarang.

Dahulu, kerajaan Arab Saudi barangkali tidak perlu bimbang langsung tentang kamera para jemaah yang datang bertamu. Tetapi kini, saya jangkakan kerajaan Arab Saudi mungkin saja sedang pening kepala bagaimana mahu menghalang jemaah-jemaah menggambari Masjid Nabawi kerana telefon bimbit zaman sekarang sudah berkamera. Dan telefon bimbit adalah satu keperluan untuk menghubungi keluarga atau rakan rombongan ketika di sana.

Saya pula, pening memikirkan mengapa sebenarnya kerajaan Arab Saudi membuat keputusan untuk melaksanakan larangan mengambil gambar kepada para jemaah yang datang dari segenap pelusuk dunia dan belum tentu dapat kembali lagi.

Saya selalu menyimpan kamera buruk saya pada bahagian bawah beg kecil saya. Dilapisi sepasang sarung kaki hitam yang sama tona dengan warna beg, kemudian diletakkan pula keperluan lain seperti botol air kecil, beg duit kecil, buku du'a atau kitab kecil, dan kain lapik atau sejadah kecil. Paling tidak, saya tinggalkan kamera buruk dan hanya membawa telefon bimbit yang bonda pinjamkan buat saya. Itupun saya pastikan saya letak pada bahagian paling bawah beg.

Hanya sekali, saya tidak menyorokkan telefon bimbit kerana agak tergesa-gesa. Dan ditahan di pintu masuk oleh pengawal wanita bangsa Arab berjubah dan berniqab hitam yang lebih kecil badannya berbanding saya. Entah apa yang dibebelkannya, yang saya faham hanyalah perkataan OFF mungkin merujuk kepada SILA MATIKAN TELEFON BIMBIT ANDA! Maklumlah, bahasa Arab saya hanya pada tahap tadika!

Saya hanya berlalu pergi konon mahu mengikut arahannya dan berpura-pura mencari ruang solat di luar masjid. Tetapi kemudiannya lekas-lekas saya sumbat telefon bimbit saya ke dalam uncang kasut yang saya pegang lalu masuk melalui pintu sebelah. Kali ini, saya selamat masuk ke dalam masjid. Hairan, kerana saya tidak langsung rasa gentar melalui peristiwa itu. Saya lihat sesetengah jemaah Tanah Pusaka seringkali takut-takut untuk masuk kalau sudah ditegur. Barangkali ketika itu jiwa saya tidak banyak kacau, saya hanya mahu masuk ke dalam dan menghadap Tuhan. Jadi apabila perkara remeh begitu berlaku saya malas melayan. Atau mungkin saja, saya terlalu angkuh lalu terlupa bahawa keberkatan ibadah saya terletak kepada ketulusan hati saya sendiri.

Bukan sekali, tetapi berkali-berkali saya memikirkan 'penipuan' saya. Saya tentu saja memerlukan telefon bimbit atas tujuan keselamatan dan keperluan untuk berhubung. Tetapi dalam masa yang sama, larangan tuan rumah merupakan sesuatu yang perlu saya hormati. Etika saya sebagai seorang Muslim sering saya persoalkan. Mungkin saja perkara ini hanya satu perkara kecil dan remeh, tetapi cukup mengganggu ketenangan saya. Saya tetap mengambil gambar ketika di dalam masjid. Walaupun saya sendiri mempertikaikan pendirian kerajaan Arab Saudi yang melarang sebarang pengambilan foto di Masjid An-Nabawi dan Masjidil Haram, saya juga sedar bahawa mereka pasti mempunyai justifikasi tersendiri atas pendirian mereka yang kita perlu hormati.

Entahlah.

Orang dulu-dulu ke sana tanpa teknologi. Tetapi mereka masih menghargai kenangan di sana. Jadi, apa alasan kita untuk menganggap foto kenangan kita adalah satu keperluan penting? Soalan ini juga saya putar-putarkan dalam kepala sepanjang perjalanan saya mengelilingi masjid Nabi S.A.W.

Malam itu juga saya begitu khusyuk memerhati orang sekeliling. Sekali-sekala ternampak jemaah dari rumpun Nusantara. Wajah-wajah Melayu sering menarik perhatian saya. Adakah jodoh saya dengan mereka adalah setakat sekali itu saja, atau sebenarnya saya sudah pernah bertemu mereka dan bakal bertemu lagi? Tentu hanya Allah yang tahu.

Saya suka berseorangan. Ruang itu saya anggap sebagai hak ekslusif saya sebagai manusia biasa dan Sang Pencipta. Apabila saya bermonolog, sebenarnya Allah mendengar. Jadi tidaklah saya anggap monolog saya itu hanya dengan diri sendiri. Allah jualah pendengar setia kepada segala rasa dalam jiwa saya. Saya sering terbabas, apabila meminta yang bukan-bukan kepada-Nya. Saya selalu mementingkan diri sendiri. Saya tamak. Saya berjalan seorang diri dan saya hanya ingatkan diri sendiri. Teruk, ya?

Perjalanan malam itu seingat saya adalah satu perjalanan muhasabah yang begitu bermakna. Saya merindui Rasulullah S.A.W. dalam diam, mendu'akannya, dan berhajat bertemunya. Ya, masih pentingkan diri sendiri dengan hajat yang sebegitu. Saya melihat dari jauh kubah hijau An-Nabawi dan terasa seperti melihat sekeping gambar. Saya enggan menerima kenyataan bahawa hanya sekejap lagi saya tidak akan lagi bisa menghirup udara tempat Nabi hidup dan mati. Kerana itu saya menghabiskan masa yang panjang berjalan dengan perlahan melintasi pintu-pintu An-Nabawi.

Apabila menyedari saya sudah terlalu lama beruzlah sejak selesai isyak, saya lantas memasang niat untuk pulang ke rumah sementara saya yang juga bakal saya tinggalkan sedikit masa lagi. Lalu saya mula melangkah keluar dari kawasan An-Nabawi. Ketika itulah saya teringat Ustaz Abdul tiba-tiba.

Saya begitu ingin tahu, apa perasaan seorang Melayu yang hidupnya di tanah Arab, walaupun menghidupkan ibadah suruhan Allah dan amalan Nabi, jauh dari keluarga dan harus berkerja keras untuk hidup? Bagaimana rasanya hidup seorang diri, walaupun mungkin bersahabat, tetapi hakikatnya seorang. Berseorangan dan hanya dengan Tuhan. Di tanah kering tak berpohon hijau seperti di Tanah Pusaka. Tak berkereta dan hanya berumah kecil, berkongsi dengan sahabat. Tak punya santan kelapa. Tak punya serai. Tak punya belacan.

Kerana perasaan saya, sungguhpun saya sedar sangat payah dan perlu pengorbanan besar, saya sebenarnya bahagia. Sangat bahagia!


Khamis, 18 Ogos 2011

Lapan belas Ramadhan: Makin panas bila mencarut!


Foto satu: Kawasan dataran dengan payung-payung gergasi di Masjid An-Nabawi, Madinah pada pagi hari. Gambar ini diambil sesudah saya selesai bertamu di Raudhah buat kali ke dua. Alhamdulillah.



Dengan nama Allah...


Kepada Allah Yang Maha Besar, segala puji bagi-Mu ya Allah!

Jangan lupa untuk selalu mengingati Allah.

Ya, saya tujukan ayat di atas khas buat diri saya yang semakin lalai dalam menempuh kehidupan.

Istighfar.

Seingat saya, sejak menjejakkan kaki ke Madinah saya telah banyak berjanji kepada diri sendiri. Tetapi sehingga hari ini, masih banyak baki janji-janji itu yang belum saya tunaikan.

Semoga Allah mengampunkan saya.


Sambung.

Madinah lebih panas berbanding Baitulmaqdis. Tidak boleh tidak, perbandingan yang saya cuba lakukan akhirnya menggetarkan jiwa saya sendiri. Bahawa padang mahsyar adalah jauh lebih panas!

Ada satu ketika, semasa saya di dalam bangunan tempat penginapan saya di Kota Madinah menuju ke pintu keluar untuk ke Masjid Nabawi, saya dapat merasakan bahang matahari di dalam bangunan itu sungguhpun pendingin hawanya sejuk sekali. Kurang lebih sepuluh meter dari pintunya, bahang terasa begitu menyengat. Sejurus menapak ke luar bangunan tersebut, Allahu akbar, panasnya bukan main. Mata saya sudah mula sepet dan dahi berkerut-kerut. Syukur, tempat penginapan saya begitu dekat dengan salah-satu pagar masjid. Marmar putih di kawasan sekitar masjid saya rasakan begitu silau. Syukur lagi, Allah telah mengurniakan seorang pemimpin negara Islam di Nusantara yang begitu pemurah dan mengingati-Nya lalu telah menanggung kos memasang payung-payung gergasi canggih yang seolah kepak sang kelawar untuk memayungi para jemaah seperti saya di An-Nabawi. Alhamdulillah.

Semasa saya di An-Nabawi, kipas-kipas besar pada tiang payung gergasi sekitar dataran An-Nabawi masih dalam proses pemasangan. Kata jemaah yang telah sampai ke Madinah sekitar tahun 2004, dahulu tiang-tiang payung inipun tidak ada. Saya kira, semakin hari tentu sekali semakin banyak kemudahan yang canggih-canggih akan disediakan di tanah suci. Cuma saya ragu-ragu, adakah sistem pengurusan di tanah suci ini akan turut diubah menjadi lebih baik?

(Berfikir sejenak!)

Waktu Zohor adalah waktu solat pertama saya ketika tiba di Madinah. Seingat saya waktu subuh kami masih di lapangan terbang mengurus keperluan imigresen dan kastam.

Ada dua kali Zohor yang saya rasakan begitu panas sekali. Bahangnya, masha-Allah, tidak dapat saya gambarkan. Matahari bagaikan sedang marah dan memakan ubun-ubun kepala kami. Teringat pula saya kisah beberapa orang yang pernah saya dengar tentang kehilangan selipar/kasut lalu terpaksa berkaki ayam balik ke tempat tinggal mereka. Kata mereka, tapak kaki bagai disalai atau dicucuh api!

Panas matahari yang tercacak di atas kepala itulah yang pertama kali saya rasakan dan yang terakhir setakat ini. Tidak pernah sekali pun saya merasakan panas yang seumpama itu lagi sehingga ke hari ini!

Saya pernah berdu'a ketika berjalan seorang menuju ke masjid untuk beriktikaf sebelum waktu Zohor; Mohon perkenan-Mu ya Allah! Sekiranya rasa panas ini dapat menghapuskan dosa-dosa ku sejak hari lahir ku sehingga hari mati ku, maka biarkanlah aku merasai panas ini selama mana yang Engkau mahu. Sesungguhnya aku lebih sanggup dimakan terik sebegini berbanding panasnya nanti di hari pembalasan yang ditentukan oleh-Mu. Dan mohon perkenan-Mu ya Allah! Sekiranya rasa panas ini dapat mendidik aku menjadi lebih bersyukur dan bersabar atas nama-Mu, maka biarkanlah aku dijenguk matahari ini selama mana yang Engkau mahu. Sesungguhnya aku tidak mahu menjadi antara manusia yang kufur nikmat...

Allah. Allah. Allah.

Solat Zohor pertama saya hanyalah di kawasan luar masjid kerana telah terlambat maka terpaksa berasak mencari saf yang kosong.

Dukacita juga apabila mengingati kisah seorang jemaah yang telah menyebut satu carutan ketika kami terpaksa berpatah balik untuk keluar dari masjid apabila Allah telah menentukan tidak ada tempat buat kami solat di dalamnya.

Ketika masuk, saya berjalan paling belakang di kalangan jemaah. Apabila membuat keputusan untuk berpatah balik untuk keluar dari masjid dan bersolat di luar, saya langsung menjadi kepala jemaah. Dan ketika berpatah balik itulah saya dengar jemaah ini mengucapkan kata kurang sopan, mungkin kerana terasa begitu sesak dan fed up.

Saya faham keadaannya. Kerana saya juga di situ.

Orang terlalu ramai. Sudah mahu masuk waktu. Tiada saf yang kosong. Payah untuk bergerak ke sini sana apatah lagi apabila terpaksa berpatah balik. Fizikal terasa lesu kerana cuaca yang begitu panas. Dan pelbagai sebab lagi.

Tetapi saya kira apabila Allah meletakkan situasi menjadi begitu, Allah pasti mahu kita tahu itu adalah satu proses tarbiyyah buat diri kita sendiri.

Saya begitu kecewa mendengar kata sehina itu disebut oleh jemaah berkenaan hanya kerana terpaksa berpatah balik dan keluar dari masjid. Kami di Masjid Nabi Muhammad S.A.W., di tanah Madinah yang beribu batu jauh dari Tanah Pusaka. Kami sedang dalam perjalanan muhasabah diri lebih dalam. Kami sedang mencari redha Illahi. Dan dia mencarut seolah tidak punya iman!

Allahu Allah!

Saya pandang wajahnya dengan wajah saya sendiri berkerut seribu. Ikut hati, jujur kata, mahu saja saya tampar mulutnya. Saya cepat-cepat menahan marah dan memalingkan muka lantas meneruskan langkah kaki menuju ke dataran masjid yang masih terasa terik matahari walaupun payung gergasi telah dibuka meneduhkan kawasan.

Sepanas hati saya ketika itu.

Istighfar panjang.

Saya orang Tanah Pusaka yang tidak suka bertelekung ketika solat. Maka ketika jemaah lain sibuk menyarung atau membetul-betulkan telekung mereka, saya sudah selamat rukuk dan sujud dalam solat sunat. Saya lebih gemar berjubah untuk memudahkan urusan solat saya. Alhamdulillah, sungguhpun saya hanya sujud di luar masjid, keindahannya masih terserap elok ke dalam diri.

Selepas peristiwa pertama yang mengajar saya tentang survival di Madinah, saya telah merancang strategi yang lebih baik. Saya akan pastikan saya keluar lebih awal, beriktikaf di masjid lebih lama sehingga waktu solat yang seterusnya (Zohor ke Asar atau Maghrib ke Isyak), dan memilih pintu yang tertentu lalu masuk hingga ke hujung kawasan solat wanita berbanding mencari tempat di kawasan dekat pintu. Pengalaman banyak mengajar saya ketika di Masjid An-Nabawi dan saya seringkali mengingatkan diri untuk bersabar sekiranya saya tidak dapat melaksanakan apa yang saya rancang. Allah adalah perancang terhebat!

Pernah satu ketika saya ke masjid seawal dua petang dan berniat untuk berlama-lamaan sehingga Asar, saya sedikit terkejut kerana apabila Asar tiba, masjid masih punya ruang solat. Saya mendapat rezeki berada di saf depan. Dan sesudah solat, masih tidak ramai orang. Saya kira, ada ketikanya Allah mendatangkan kemudahan yang lebih baik sekiranya kita juga berusaha untuk mendapatkan yang lebih baik.

Teringat ayahanda pernah berpesan; Ustaz ayah pernah pesan masa mengaji kecil-kecil dulu. Kalau nak tempat yang baik masa solat, datang awal. Jangan datang lambat tapi sibuk nak duduk depan. Jangan langkah-langkah orang. Kitapun tak akan suka kalau orang langkah-langkah kita. Allah Maha Adil.


Dan itu juga menjadi satu tangkal buat saya. Saya selalu berdu'a semoga saya kuat dan sabar dalam mengejar kebaikan beribadah di Masjid An-Nabawi, Madinah Al-Munawwarah

Saya berdu'a pada satu hari; semoga malam ini Allah memberikan kemudahan buat saya menziarahi Muhammad S.A.W. di taman syurga An-Nabawi!


Raudhah menjadi satu debaran yang luar biasa. Jiwa saya semakin bergetar!


video
Upon arrival near An-Nabawi. Berlatarbelakangkan suara Ustaz Abdul.


Rabu, 17 Ogos 2011

Tujuh belas Ramadhan: Assalamualaika Ya Rasulullah!

Dengan nama Allah...


Alhamdulillah. Separuh Ramadhan selesai dilalui. Alangkah!

Insha-Allah, kita du'akan baki Ramadhan tahun empat belas tiga puluh dua hijriah ini dilalui dengan lebih baik. Amiin.



Boleh saya sambung kembara muhasabah saya?

Insha-Allah.




Sewaktu tiba di lapangan terbang Madinah dari Jordan, saya begitu berkobar-kobar untuk menyampaikan salam kepada cinta hati saya, Muhammad S.A.W.

Di lapangan terbang, jemaah disambut oleh pak-pak Arab yang konon berkhidmat untuk tetamu seperti kami. Dan terlihat juga kelibat seorang Melayu berjubah putih dengan beg hitam tergantung pada badan, bersalam-salaman dengan jemaah lelaki. Sebenarnya, sesudah mereka mengangkut beg-beg besar kami dan menyusun-nyusun dalam perut bas, tangan mereka dihulur-hulurkan tanda ada bayaran yang perlu dilangsaikan. Teringat saya kepada seorang jemaah lelaki yang merungut-rungut; Patutlah kita nak angkat beg sendiri mereka tak kasi. Beriya-iya tolak trolley kita konon membantu. Nak hadiah rupanya!

Saya perhatikan, memang begitulah budaya orang-orang Arab. Suka memaksa. Dan menyatakan bahawa sesuatu yang diberi itu adalah hadiah. Sedangkan hakikatnya mereka meminta bayaran. Ya, wang.

Sewaktu di dalam bas, saya sempat menjenguk ke luar memerhatikan baki jemaah yang sedang 'berurusan' dengan kedegilan pak-pak Arab Madinah. Saya lihat ada jemaah muda lelaki yang terpaksa menghulur mata wang dollar kerana si pak Arab tak berpuas hati dengan jumlah yang dihulur berupa kertas-kertas merah dari Tanah Pusaka. Alahai pak Arab! Syukurlah, si jemaah muda itu masih punya baki wang kertas dollar yang kami gunakan sewaktu di Israel dan Jordan.

Bas mula bergerak perlahan-lahan dan saya lekas-lekas merakamkan lapangan terbang dan bukit-bukau di kawasan sekitar dengan kamera buruk saya. Ustaz muda dari Indonesia yang akan mengiringi kami sepanjang kembara di tanah Madinah mula mengetuk-ngetuk microphone yang rupanya tidak berfungsi sambil berdiri di bahagian hadapan bas. Ustaz inilah yang menyambut kami tadi di perkarangan airport, dengan jubah putihnya. (Kita namakan ustaz ini sebagai Ustaz Abdul, mutawwif kami. Muallim muda dari Tanah Seberang).

Saya terdengar suaranya bergema perlahan, memberi salam lebih dari satu kali. Dan jujur kata, ketika itu saya kurang peduli padanya kerana keterujaan saya adalah menggambari Madinah yang pertama kali saya jejak.

Masha-Allah! Ini tempat Nabi S.A.W. berhijrah dari Makkah!

Bas mula melunjur laju meninggalkan lapangan terbang, dan saya tidak sabar-sabar lagi melihat An-Nabawi!

Sedar-sedar, jemaah yang duduk di sebelah saya menyiku perlahan. Lalu menunjukkan sesuatu di luar. Dari celah-celah bangunan, saya ternampak menara-menara masjid yang amat saya kenal! Saya masih membisu, berkira-kira dalam hati adakah itu benar An-Nabawi yang saya sering lihat dalam gambar-gambar? Bas masih berjalan mendekatinya. Sekejap saya nampak, sekejap tidak. Maka saya sendiri tidak pasti adakah itu Masjid Nabi yang saya rindui. saya memandang jemaah di sebelah saya, yang sudah pernah bertamu di An-Nabawi.

Sepatah saya bertanya.

Masjid An-Nabawi?

Jemaah itu mengangguk dan tersenyum menampakkan lesung pipitnya.

Allah. Allah. Allah.

Mata saya tak beralih dari kelibat bangunan cantik itu, biarpun bas berpusing masuk lorong ini dan itu menuju ke kediaman baru kami berdekatan Masjid An-Nabawi. Saya lihat masjidnya luar biasa cantik! Biarpun hari masih siang, bersinar-sinar saya lihat tiang-tiangnya dari jauh. Ya Allah, syukur atas kurniaan pemandangan seindah ini!

Dan saya sudah pun mengucapkan Assalamualaika Ya Rasulullah! di dalam hati sambil menahan perasaan.

Allah...

Alhamdulillah.

Saya turun bas dengan kaki bergetar. Ini Madinah Munawwarah. Ini tanah Nabi Muhammad. Ini masjid Nabi Muhammad. Jiwa saya lebih-lebih lagi bergetar.

Ustaz Abdul menitipkan pesan di mana boleh mengambil kunci dan di mana untuk ke lif. Saya mendengar acuh tak acuh. Ya, keterujaan saya masih belum berpenghujung. Dunia ketika itu bukanlah tentang rasa penat setelah perjalanan yang panjang. Atau di mana boleh saya mandi dan berehat. Atau di mana tempat untuk saya isi perut saya yang sudah berlagu. Dunia ketika itu adalah bila boleh saya masuk ke masjid dan menziarahi Rasulullah!

Saya sempat mendongak ke langit dengan hati yang lapang sesaat dua.

Saya sudah di Madinah!

Insha-Allah. Saya memasang niat. Insha-Allah. Saya berdu'a. Insha-Allah saya akan tunaikan solat pertama saya nanti dengan sujud syukur yang panjang!


video
Upon arrival at Madinah Airport


Selasa, 16 Ogos 2011

Enam belas Ramadhan: Video Baitulmaqdis

Dengan nama Allah...



Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar.

Allah Maha Besar.

Saya kira, sudah banyak pengalaman saya di Baitulmaqdis yang saya kongsi di sini. Samaada ada orang yang membaca dan menghayati atau tidak, itu di luar kemampuan saya. Saya menulis banyak tentang perjalanan itu tidak lebih sebagai satu perkongsian atas nama Allah dan insha-Allah tidak niat untuk menunjuk-nunjuk betapa bertuahnya saya kerana dapat menjejakkan kaki ke Baitulmaqdis.

Saya percaya, bahawa apabila kita mendapat sesuatu, kita juga tidak akan mendapat sesuatu yang lain. Kerana Allah Maha Adil. Seperti tulisan 'Aidh Abdullah Al-Qarni dalam Kitab La Tahzan:

Kesenangan dan kesedihan adalah hal biasa
yang mengiringi kehidupan.
Semua itu tidak lain sekadar hiasan waktu
yang silih berganti.
ada hari ketika seorang manusia
dapat diselamatkan dari kematian
sedangkan di lain hari
sekelompok besar pasukan mati.

Jadi, mungkin saja saya dikurnia nikmat menghirup udara tegang Palestin dan kamu tidak, tetapi ada sesuatu yang kamu dapat, dan saya tidak.

We win some, we lose some.

Insha-Allah, di masa akan datang sekiranya saya teringat lagi kisah-kisah semasa perjalanan saya di sana yang belum saya ceritakan di sini, saya akan mencari kekuatan untuk berkongsi lagi atas nama Allah.

Saya tinggalkan cerita kembara muhasabah saya ke Palestin/Israel dengan dua video yang tidak di-edit. Seratus peratus yang saya rakam ketika di sana. Maafkan kekurangan visual serta audionya.

Satunya ketika merentas padang pasir entah di mana, menuju ke Masjid Nabi Musa A.S., dan satu lagi adalah rakaman dari luar kawasan Masjid Al-Aqsa, yang turut menempatkan gereja-gereja (termasuk Holy Sepulchre tempat Nabi Isa A.S. dikatakan disalib), Wailing Wall dan Masjid Buraq serta Al-Marwani. Berlatarbelakangkan suara Mr. Hisyam, seorang Palestinian yang sudahpun saya rindui telatah gurau-sendanya.

Masha-Allah, Subhanallah, Allahu akbar.

Saya sangat merindui tanah Palestin.


video video




Dan saya sambung perkongsian lagi insha-Allah esok bermula dengan keberangkatan saya dari bumi anbiya Kingdom of Jordan, ke bumi penghijrahan Muhammad S.A.W.;

Madinah Al-Munawwarah!

Ya Rasulullah, aku akan menziarahi mu!

Sampai bertemu. Insha-Allah.


Lima belas Ramadhan: Glosari Baitulmaqdis

Dengan nama Allah...



Jom beringat!

Kalau orang-orang leka akan berkata; sudah tinggal 15 hari untuk sambut raya, kita orang-orang beringat (insha-Allah) akan berkata; sudah tinggal baki 15 hari untuk menghayati Ramadhan. Ya Allah, terasa hiba dan sesak jiwa ini.



Kali ini saya tidak mahu menulis banyak tentang pengalaman saya di Palestin. Cumanya, saya ingin beri sedikit penjelasan tentang nama-nama yang saya gunakan dalam penceritaan saya sejak Cerita Ramadhan bermula dengan catatan Satu Ramadhan pada satu Ogos yang lalu.

Saya mohon sekiranya ada yang tersalah fakta atau ternafi hakikat, tegurlah saya sejujurnya.

Saya tahu ada yang terkeliru dengan nama-nama yang saya bawakan dalam penceritaan saya dalam cerita satu Ramadhan sehinggalah empat belas Ramadhan. Sebenarnya cara tulis/sebut atau ejaan yang berbeza, tempatnya masih sama. Saya kira, bagi yang tahu bahasa Arab pasti lebih mudah memahami.


Baitulmaqdis juga dikenali dengan nama:
Bait Al-Maqdis/Bait Al-Muqaddas (Rumah yang suci)
Iliya'/Iliya' Madinat Bayt Al-Maqdis (Bandar rumah ibadat)
Al-Quds/Al-Kuds (Yang suci)
Haikal Sulaiman (Bangunan Nabi Sulaiman A.S.)
Al-Ard Al Muqaddasa (Bumi yang suci)

Orang-orang Nasrani memanggil Baitulmaqdis dengan nama Jerusalem manakala orang-orang Yahudi memanggilnya Yerushalayim.

Setakat pengetahuan saya, tidak ada nama Baitulmaqdis yang disebut dalam Al-Quran. Hanya ada dalam hadis-hadis Nabi S.A.W.

Jika Al-Haram di Makkah termasuklah Kaabah, Makam Ibrahim, Hijir Ismail dan Telaga Zam Zam merupakan tempat larangan yang mulia (orang-orang bukan Islam tidak diizinkan masuk sehingga sekarang), begitu juga Al-Haram di Baitulmaqdis.

Kawasan yang termasuk sebagai tanah haram (Al-Haram Al-Syareef) ialah Masjid Al-Aqsa, Kubah As-Sakhra (Batu Bergantung di dalamnya), Mihrab Nabi Daud A.S., tempat Rasul Allah S.A.W. dimikrajkan, dan lain-lain.

Bezanya adalah di Baitulmaqdis orang-orang bukan Islam tetap masuk kerana Israel telah mengaku tuan punya tanah dengan menafikan kesucian bumi Baitulmaqdis.

Dan ya, Baitulmaqdis sebenarnya adalah Palestin.

Tetapi sekarang sudah dinafikan nama Palestin, dan digantikan dengan nama lakhnat Israel.

Baitulmaqdis = Jerusalem = Palestin = Israel

Secara umumnya begitu. Kalau diperincikan kawasan, Palestin itu boleh diibaratkan sebagai negara dan Baitulmaqdis itu adalah ibu negaranya. Kurang lebih ya, bukan secara tepat! Harap maklum.

Tempat yang sama, nama yang berbeza.

Sekarang, lebih faham?

Sekarang, kawasan Palestin yang diakui dunia hanyalah pada pinggir tebing barat iaitu yang kita selalu dengar disebut sebagai Gaza, di mana kawasan itu masih bergolak dalam peperangan dengan orang-orang Arab yang asli Palestin, menentang terrorists sebenar iaitu Israel yang telah menakluk lebih separuh tanah Palestin untuk diakui sebagai tanah Israel. Kerana itu jugalah mereka sibuk menembak sini-sana di Gaza. Itulah usaha mereka untuk mendapat satu ratus peratus bumi Palestin untuk diisytiharkan sebagai satu ratus peratus milik Israel.

Mount of Olives = Puncak/Bukit Zaitun
Masjid Al-Marwani = Al-Marwan = Masjid Al-Aqsa lama (bawah tanah)
Masjid Al-Buraq = Dekat Al-Aqsa (bawah tanah)
Wailing Wall = Herodian Wall = Tempat Yahudi tunai haji
The Church of the Holy Sepulchre = Tempat Nasrani percaya Nabi Isa A.S. (Jesus) disalib

Al-Aqsa juga dikenali sebagai Baitulmaqdis pada masa dulu. Bermaksud masjid terjauh. Tempat Nabi Muhammad S.A.W. naik ke Sidratul Muntaha.

Jangan segan untuk bertanya lagi. Dan jangan lupa untuk menegur kalau ada fakta yang tersalah. Saya bukanlah pengkaji yang berilmu tinggi tentang sejarah Palestin. Tetapi insha-Allah saya akan cuba rajinkan diri untuk lebih tahu dan mengambil tahu.

Sampai ketemu lagi nanti, insha-Allah.

Ahad, 14 Ogos 2011

Empat belas Ramadhan: Rindu Muhammad di Puncak Zaitun

Dengan nama Allah...



Adakah kita benar hamba kepada ALLAH? Atau sebenarnya kita hanyalah hamba kepada PUASA?

Sudah banyak kali kita dengar pendakwah berpesan-pesan. jangan jadi hamba kepada Ramadhan, kerana selepas Ramadhan nanti mungkin kita sudah tidak begitu serius beribadah kerana Ramadhan sudah tidak ada. Jika menjadi hamba kepada Allah, insha-Allah, sehingga Ramadhan yang akan datang sekalipun kita tentu masih giat beribadah kerana Allah sentiasa ada, tidak akan mati.

Mari kita renung kembali keadaan kita hari ini.

Kalau terasa tak boleh menekuni diri sendiri di persekitaran yang ramai, carilah ruang untuk bersama diri sendiri. Hanya kita, diri sendiri dan Allah Taala.

Banyak juga cara untuk berkira-kira tentang tahap ketaqwaan kita. Yang sebenarnya jawapannya cukup mudah; Perlu jadi lebih baik!

Setiap kali bertanya, setiap kali itu jugalah jawapannya akan sama. Kan?

Ada orang memilih untuk bermuhasabah dengan membaca. Ada pula dengan menulis. Ada dengan duduk-duduk santai. Ada yang lain dengan berbual bersama orang lain.

Saya lantas teringat ketika di Palestin, saya terlalu banyak menekuni persekitaran saya sehingga terlupa langsung untuk menulis atau melukis. Saya langsung tidak memegang pensil mahupun kertas melainkan untuk mengisi borang apa yang patut semasa proses keluar masuk. Dan saya langsung tidak teringat untuk mencari alat tulis dan kertas kerana sebenarnya saya terlupa langsung membawa 'bekalan' saya!

Sekali-sekala terasa pelik, kerana tidak terlintas langsung untuk mencari alat tulis dan mencatat pengalaman saya sedangkan saya orang yang suka mencatat segala peristiwa dan mengarang puisi (mahupun sekadar satu-dua ayat monolog) apabila terilham walaupun ketika terjaga di tengah malam. Namun saya juga cukup faham, bahawa apabila saya terlupa untuk itu, Allah sebenarnya memberi ruang untuk saya merakam segala pengalaman di dalam hati saya secara lebih dalam, dan mengambil gambar kenangan secara mental dengan lebih bermakna.

Allahu akbar. Ajaib sungguh otak dan hati manusia yang telah Allah ciptakan!

Tidak ada satu detik pun, seingat saya, saya tidak menekuni persekitaran saya di bumi Palestin. Saya terlalu sayangkan setiap saat di sana. Maka saya selalu mengingatkan diri saya bahawa jangan sia-siakan setiap saat dengan memikirkan yang tidak-tidak dan melepaskan penghayatan yang belum tentu akan saya rasai lagi selepas ini.

Antara sesi muhasabah yang saya kira begitu terkesan dalam hati saya sehinggakan tidak boleh tidak, saya menangis di saat itu juga, adalah ketika berada di Mount of Olives yang menampakkan Al-Aqsa qiblat pertama umat Islam, dan As-Sakhra.

Saya begitu menyelami sejarah yang telah berlaku di situ, mengenang-ngenang susuk tubuh manusia agung kekasih Allah yang telah 'terbang' ke langit semata-mata untuk kita umatnya yang tidak pernah ditemuinya. Kerana kecintaan Muhammad S.A.W. kepada kitalah, baginda menaiki buraq di Makkah, singgah di Madinah, dan akhirnya tiba di Baitulmaqdis iaitu Palestin yang telah melalui proses penjenamaan semula menjadi Israel pada hari ini.

Pernah saya baca dan pernah saya dengar dari mulut dua-tiga orang Palestinian (termasuk Mr. Hisyam) dan pendakwah, bahawa ada kepercayaan ulama' terdahulu (Baca: Saya tidak ada dalil yang sah melainkan membaca sumber yang tidak saya ingat di mana dan mendengar dari mulut orang yang tidak saya ingat siapa juga) yang jarak antara Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan Chapel of Ascension tempat Isa A.S. naik ke langit di Mount of Olives (sila rujuk tulisan Cerita Ramadhan yang sebelum-sebelum ini bermula Satu Ramadhan!) adalah jaraknya siratul mustaqim. Tidak pula saya tahu kebenarannya tanpa dalil, dan tidak pula saya yakin akannya.

Tetapi, satu yang saya bayangkan, Allahu Allah, jika sejauh itu titian yang bakal saya lalui dengan amalan saya yang sekarang, tidak dapat saya bayangkan betapa sakitnya jasad dan roh saya melalui titian yang lebih halus daripada sehelai rambut dan tergelincir terperosok setiap kali cuba berjalan. Bagaimana markah iman saya pada checkpoint pertama melalui sirat al mustaqim, diikuti markah solat, puasa, zakat, haji dan umrah serta lain-lain amalan??? Astaghfirullah! Bergetar sekali jiwa saya!

Bagaimana pula jika jarak itu adalah 70 batu jauhnya atau lebih daripada itu?

Ya, segalanya rahsia Allah.

Tetapi, untuk bermuhasabah itu bukan rahsia-Nya semata. Rahsia yang kita semua tahu. Setiap kali bermuhasabah, kita PERLU JADI LEBIH BAIK. Ayuhlah, kita bermuhasabah selalu, walau bagaimana caranya sekalipun.

Di sini saya tinggalkan video yang sempat saya rakamkan ketika di Puncak Zaitun. Visual mungkin tidak memuaskan, tetapi barangkali cukup buat kita muhasabah lagi. Dari puncaknya boleh kita lihat kubah kusam biru Al-Aqsa di sebelah kiri dan kubah emas berkilau As-Sakhra di sebelah kanannya.

Selamat bermuhasabah.

Sekurang-kurangnya terkesanlah dengannya, kerana gambar masjid yang saya rakamkan itu, adalah tempat peristiwa isra' dan mikraj Nabi Muhammad S.A.W. berlaku bertahun-tahun yang dulu. Seorang Nabi yang begitu mengasihi kita tanpa bertemu atau mengenali. Yang telah menyempurnakan Islam terutama dengan lengkapnya Al-Quran untuk kita anuti tanpa susah payah seperti baginda dan para sahabat terdahulu.

Allah. Allah. Allah.

Sebak. Rindu Muhammad tercinta.


video
Jerusalem/Baitulmaqdis - from Mount of Olives




Sabtu, 13 Ogos 2011

Tiga belas Ramadhan: Sudah satu bulan? Allah...




Foto satu: Jordan Immigration di sempadan Baitulmaqdis-Jordan mendatangkan rasa syukur yang tak terhingga! (Walaupun kurang redha...)
Foto dua: ....... (Speechless)
Foto tiga: Antara checkpoint A.K.A tempat buang masa para Israeli yang sempat saya gambari secara curi-curi.

Dengan nama Allah...


Sedar atau tidak, sudah satu bulan berlalu sejak hari keberangkatan saya ke Baitulmaqdis. Tarikh yang sama, bulan lalu ikut tahun masihi saya begitu berdebar untuk melakukan penghijrahan. Allah, begitu lekas terbangnya masa.

Kenyataannya, hari ini, saya tidak lagi menghirup udara kepunyaan Allah dari Bait Al-Muqaddas.

Alhamdulillah. Saya tidak mampu menyatakan rasa sebenar dalam hati saya kerana telah diberi rezeki usia, harta, masa, tenaga dan jodoh, untuk sampai ke tempat Nabi Allah Muhammad S.A.W. naik ke langit.

Jiwa saya selalu bergetar, bila orang menyebut nama Muhammad S.A.W. dan Palestin, kerana dalam rasa kesyukuran, saya masih rasa begitu 'dicabar' Allah kerana dengan pemberian-Nya yang sebesar ini, saya sedar ada harga yang perlu saya bayar.

Saya sedar tanggungjawab saya sangat besar. Saya sedar mujahadah saya perlu dipertingkat. Saya sedar tarbiyyah saya harus giat. Saya sedar saya perlu main peranan lebih daripada yang sebelum ini. Saya harus lebih kuat. Saya harus lebih berusaha. Sebenarnya, usaha yang paling berat adalah kepada diri sendiri. Saya memegang konsep bahawa untuk mendapat pemimpin yang hebat, harus bermula dengan masyarakat yang hebat. Untuk mendapat masyarakat yang hebat, harus bermula dengan keluarga yang hebat. Dan untuk mendapat keluarga yang hebat, harus bermula dengan diri sendiri yang hebat.

Jadi, bagaimana untuk mendapat diri yang hebat?

Apabila saya merencana untuk kembara ke Palestin dengan niat untuk berhijrah jasad dan roh, saya telah menetapkan matlamat; Kembara ini adalah kembara muhasabah untuk menjadi diri yang hebat.

Allah... Allah... Terasa lebih berat peranan saya kepada Islam.

Saya lalu teringat-ingat, peristiwa di sempadan Israel-Jordan.

Seingat saya, sewaktu berada di dalam bas dalam perjalanan ke Sheikh Hussein Bridge, saya begitu berdebar.

Pertama, kerana itu mungkin kali terakhir saya berada di tanah Palestin.
Ke-dua, kerana saya sendiri tidak pasti adakah saya akan selamat menyeberangi Sheikh Hussein Bridge untuk langsung ke Amman, Jordan.
Ke-tiga, kerana sejujurnya saya tidak begitu redha meninggalkan tanah Palestin.

Allahu akbar, semasa dalam perjalanan, Mr. Hisyam ada bercerita tentang sepupu pemandu bas (yang saya lupa namanya) yang baru saja mati ditembak di sempadan Syria-Palestin kurang lebih dua minggu sebelum itu. Saya tergamam bukan kerana takut mati dalam perjuangan. Sebaliknya saya tidak dapat menimbangtara sebab paling munasabah tentera Israel menembak mati seorang Palestin yang asli Palestin, telah keluar ke negara lain, dan hanya ingin pulang menjenguk keluarga yang dirindui.

Mencuba cara baik, dihalang bulat-bulat dan dihalau pula. Maka, apa pilihan yang ada melainkan mencuba cara curi-curi masuk? Nah, natijahnya, ditembak mati!

Allah...

Semudah itu?

Maka ketika melalui entah berapa banyak checkpoint di antara sempadan ke-dua wilayah, saya menghendap-hendap ke luar, mencari masa yang sesuai untuk curi-curi menggambari suasana tegang yang sah dirasai untuk saya kenang-kenangan suatu hari nanti.

Seingat saya, sampai ke tempat paling akhir sebelum melalui titik sempadan, kami turun dari bas dan masuk berjalan kaki ke kompleks tempat immigration. Mr. Hisyam menyatakan itulah tempat terakhir beliau bersama kami dan hanya pemandu bas yang akan mengiringi masuk ke sempadan Jordan (Itupun sudah cukup istimewa kerana sebenarnya bas dari Israel tak dibenar masuk ke Jordan. Mana-mana pelancong yang ingin masuk ke Jordan harus guna shuttle bus yang disediakan.)

Di situlah antara pengalaman paling 'sebal' pernah saya rasai.

Kami ditangguh-tangguhkan begitu lama! Seperti juga kisah kami masuk, kisah keluarnya kami dari tanah Palestin kurang berminat untuk saya kongsi di sini. Kalau, KALAU, kamu-kamu mahu tahu dan berkongsi, mungkin boleh kita kongsi secara lebih personal. Kalau. Sudi-sudikan kirim e-mail atau apa jua cara yang kamu selesa, insha-Allah saya kongsikan.

Kerana masa kami yang banyak dicuri oleh para Israeli, rencana kami untuk singgah ke makam Nabi Shuaib dan ke Gua Ashabulkahfi terpaksa dibatalkan. Menangis saya ketika itu. Saya pernah melihat gambar-gambar kawasan gua dan makam Nabi Shuaib A.S. dan begitu bercita-cita untuk menziarahi. Semasa merentas sempadan, hari sudah beransur gelap, semua sudah penat, dan pengiring Jordanian kami telah lama menunggu. Sudah tidak ada kemungkinan lagi untuk singgah menziarahi ke dua tempat tinggalan sejarah itu.

Benarlah ya, kita merancang Allah juga merancang. Tetapi sebaik perancangan adalah perancangan-Nya!

Saya bersungguh-sungguh mendidik jiwa untuk redha. Redha kerana tidak ada rezeki menziarahi Nabi Shuaib, dan redha kerana telah meninggalkan Palestin.

Kerana peristiwa itulah saya terfikir;
Ya Allah, Engkau turunkan ujian yang begini saja sudah begitu payah aku menjadi redha. Bagaimana pula cabarannya untuk aku menghadapi apa yang mendatang nanti setelah Engkau hadiahkan sebegini besar rahmat buat aku selama ini? Adakah aku akan terus redha? Adakah aku akan kuat? Adakah aku akan tetap yakin menerima apa yang Engkau ujikan? Mohon perkenan-Mu ya Allah, berikan aku keyakinan pada janji-Mu tanpa ragu! Kuatkan aku dan teguhkan aku!

Allah. Allah.

Saya terasa begitu malu dengan Allah.

Malu. Sangat-sangat.

Apabila menyeberangi Sheikh Hussein Bridge dan selamat tiba di Restoran Reem Al-Bawadi dalam bandar Amman untuk makan malam sebelum meneruskan perjalanan kembara muhasabah ini, saya langsung terasa sesak.

Ini petanda bahawa hamba terpilih seperti saya yang telah menjejaki tanah suci di Al-Aqsa, telah beribadah di dalam Al-Aqsa, dan telah meninggalkan Al-Aqsa, punya tanggungjawab maha hebat kepada dunia.

Allah. Mohon du'a tuan-tuan!

Barang siapa ziarah ke Baitulmaqdis semata-mata mengharapkan pahala daripada Allah S.W.T., maka akan diberikan pahala seribu orang mati syahid dan mengharamkan jasadnya dari api neraka (Miskatul Anwar/Rahul Bayan)


Jumaat, 12 Ogos 2011

Dua belas Ramadhan: Biar air yang mati, hati kita jangan mati!



Foto satu: Ketika berdiri dekat dengan kawasan yang dibenarkan untuk mandi-manda, saya sempat menggambari tanah Jordan nun jauh di seberang. Saya terpaksa berhati-hati sebelum mengetik punat kamera kerana bimbang ada susuk manusia-manusia berpakaiankan kulit lebih banyak daripada kain, masuk ke dalam gambar saya. Tak syok lah! (Bukan cantik pun!)
Foto dua: Pemandangan dari kawasan sebelah atas 'pusat peranginan' ini.

Dengan nama Allah...


Apabila menghampiri dua belas Ramadhan tahun empat belas tiga puluh dua hijriah, saya terfikir-fikir; Bagaimana dulu aku diajar berpuasa? Dan bagaimana pula gelagat aku berpuasa?

Aha.

Saya tidak punya banyak memori tentang bulan puasa kurang lebih dua puluh tahun yang lepas. Atau mungkin sebenarnya, memang saya tidak berpuasa seawal itu?

Nanti akan cuba diingat-ingat kembali.



Dalam catatan hari ke sebelas bulan Ramadhan saya bilang mahu kongsi cerita Dead Sea, ya?

Ayuh.




Dead Sea, atau Laut Mati sebenarnya bukanlah laut. Keluasan tasik/danau yang mencecah kurang lebih tujuh puluh lima kilometer panjang kali lima belas kilometer lebar ini menampakkannya seolah-olah lautan yang luas.

Saya tiba di Laut Mati ini selepas menziarahi makam Musa A.S. di tengah padang pasir dan meninggalkan Jericho, antara bandar tertua yang masih hidup berpenghuni sehingga hari ini.

Laut Mati ini letaknya bersempadan antara Palestin-Jordan. Kurang lebih lima puluh kilometer dari Amman, ibu negara Jordan. Kalau tidak silap, berhubung langsung dengan Laut Mediterranean dan Sungai Jordan, yang menjadi punca atau sumber bekalan air utama orang-orang Jordan (bekalan air di Jordan adalah sangat terhad). Saya sendiri tidak tahu percaturannya, tetapi setahu saya Israel dan Jordan sama-sama sepakat memelihara Laut Mati kerana sedar kepentingannya. Seperti mana Jordan dan Israel sepakat juga untuk membuka laluan keluar masuk antara sempadan mereka. (Baca: ISRAEL dan Jordan. Bukan PALESTIN dan Jordan. Maksudnya? Fikir!). Malah, Israel menjadikan Laut Mati sebagai destinasi pelancongan ya! (Berapa banyak duit mereka dapat tu?)

Cuaca sangat panas.

Saya selalu membayangkan bagaimana pula panasnya di padang mahsyar? Astaghfirullah!

Yang membuatkan kawasan ini (termasuk Jericho yang terletak dekat juga) sangat panas adalah kedudukannya yang di bawah paras laut. Laut Mati berada kurang lebih empat ratus (ya, 400!) meter di bawah permukaan laut. Which means? Tanah paling rendah atas bumi! Kerana itulah permukaan bumi di sini sangat panas dan teriknya, Allahu akbar!

Yang pelik, oh bukan pelik tapi bodoh barangkali, bersepah-sepah orang-orang putih (dan yang tak berapa putih) yang konon seksi, separuh telanjang, bergelimpangan seluruh kawasan serta bermandi-manda. Allah... Sakit mata saya terpaksa menahan pemandangan sehina ini. Bayangkan tua muda lelaki perempuan ke sini sana tanpa pakaian yang menutup aurat. Saya terasa seperti di Hawaii!

Ya Allah, pelihara iman saya dan para jemaah Muslim supaya tidak runtuh kerana pemandangan begini.

Saya lantas terkenang kaum Nabi Luth A.S. yang Allah timpakan bala kerana bermaksiat seperti ini (malah mungkin lebih teruk).

Di Laut Mati inilah, Allah memberikan bayaran cash kepada kaum Sodom yang telah ingkar kepada penyampaian Luth A.S. tentang kebenaran Allah dan larangan Allah kepada mereka yang telah melanggar fitrah manusia. Mereka inilah kaum yang telah melakukan hubungan homoseksual seperti yang dimaksudkan dalam Surah Al-A'raf ayat lapan puluh dan lapan puluh satu. Maka Allah terbalikkan seluruh isi bumi Sodom sehingga menimbus mereka seluruhnya tanpa ada baki kecuali yang telah beriman kepada Allah S.W.T. Ini sudah tertulis dalam sirah Nabi sebagai pengajaran buat kita dalam Surah Hud ayat lapan puluh dua (kalau tidak silap saya).

Allahu akbar!

As usual, saya akan membayang-bayangkan keadaannya ketika Allah membalikkan bumi di situ. Dan seperti biasa juga, tak terjangkau dek pemikiran saya yang biasa-biasa ini.

Dari saat turun dari perut bas sehinggalah ke gigi air, terlalu ramai manusia tak berpakaian lalu-lalang. Saya menahan-nahan perasaan. Saya terasa begitu marah dan dalam masa yang sama terasa seram. Kalaulah Allah menurunkan bala saat ini! (Usah berkalau-kalau!)

Ada jemaah yang telah masuk ke dalam airnya, menyinsing kaki seluar dan mula berjalan ke dalam sedikit. Saya beristighfar panjang kerana saya rasakan mungkin saja aksi itu sama sekali tidak perlu dilakukan oleh jemaah wanita kerana saat itu aurat mereka sudah jelas terlihat. Apatah pula digambari rakan-rakan jemaah yang lain. Allahu Allah, saya mohon Allah mengampunkan kelekaan kami ini.

Saya berdiri melihat dari jauh di samping beberapa jemaah lain yang kebanyakannya adalah lelaki. Sesak jiwa saya mengenangkan Allah memberi kami kesempatan datang sejauh ini untuk menekuni dan mengambil pengajaran dari kisah Luth A.S. dan kaum Sodom. Sebaliknya kami selalu leka dan lalai atas peraturan-Nya yang tak pernah berubah.

Saya tarik seorang jemaah yang dekat dengan saya; Jom, kita sentuh airnya. Boleh jadi kali pertama dan yang terakhir!

Kami ke gigi air, insha-Allah tanpa mengorbankan aurat kami, kami bermain-main dengan airnya dengan tangan-tangan kami. Tangan kiri saya yang kebetulan ada luka terkena gunting sewaktu di Tanah Pusaka terasa begitu pedih sekali! (Nota: Saya percaya tidak ada kebetulan dalam dunia ini! Semua perancangan Allah!)

Tanpa mempedulikan rasa bisanya, saya sentuh dasarnya dan terasa lembik selutnya. Saya ambil sedikit dengan hujung jari dan angkat ke atas. Lumpurnya hitam kekelabuan. Ya Allah, inikah kesan tinggalannya kaum Nabi-Mu, Luth A.S.? Saya sapu-sapukan ke pergelangan tangan sambil tersengih-sengih kepada jemaah tadi yang bersama saya sambil bergurau; Terasa macam di spa, ya?

Dalam diam saya turut berdu'a, semoga sentuhannya pada tangan-tangan saya ini menyembuhkan apa yang patut. Dan menjadikan tangan-tangan saya tidak malas ditadah memohon keampunan Allah, tidak berhenti mengira biji tasbih, tidak kekok memberi sadaqah, tidak tangguh melangsaikan hutang, tidak lokek berkongsi rezeki, tidak segan bersalaman memanjang ukhuwah, dan pelbagai du'a lagi. Ya, saya jadi tamak lagi!

Saya kemudian terfikir satu idea yang tidak banyak orang sanggup laksanakan.

Sedap tak air Laut Mati ini?

Dan saya calitkan air di hujung jari saya pada hujung lidah saya.

Ya Allah!

Masinnya tak usah kata! Sampai melekat lama tak hilang-hilang!

Laut Mati ini mengandungi kandungan garam berlipat ganda daripada laut biasa. Sekitar sembilan kali ganda, iaitu kurang lebih tiga puluh peratus berbanding air laut normal. Memang patutlah manusia sebesar tong dram pun boleh terapung atas air di laut ini!

Masinnya air Laut Mati sampai terkulat-kulat saya menahan rasa yang seolah kelat pula.

Jemaah yang bersama saya mencebik-cebik bagai dia pula yang terasa masinnya. Kemudian seorang lagi jemaah lelaki merasa airnya, mungkin teringin juga. Tidak ada beza dengan respon saya, dia juga menahan-nahan kemasinan itu dengan kerutan di dahi. Jemaah lain tersengih-sengih dan tergelak. Dan tidak ada lagi yang mencuba selepas itu.

Lama juga bermain-main air, bergambar ini itu, dan bergurau-senda, kami lantas naik ke atas untuk membasahkan tekak pula. Kepanasan yang kami rasakan semakin menghimpit anak tekak. Selesai membasuh apa yang patut, kami naik ke kawasan kedai-kedai jual minuman.

Ada yang membeli air mineral dan ada yang tergoda dengan air-air berkarbonat serta jus buah. Keadaan yang terlampau sesak membuatkan ada antara kami terpaksa minum dalam keadaan berdiri. Kami yang muda merelakan kerusi-kerusi kosong diduduki jemaah yang lebih tua. Mr. Hisyam entah ke mana, bayangnya langsung saya tak nampak. Sedang duduk berehat-rehat (dalam kes ini saya berdiri berehat-rehat), saya sempat memerhatikan seorang abang kacak yang sakan tersengih sambil berbual dengan entah siapa di hujung talian telefon bimbitnya. Tak lain tak bukan, dia lah yang berbaju hijau siap vest kalis peluru, topi keledar keras entah buatan U.S. atau Eropah, dan of course - senapang canggihnya.

Alahai Israel. Gajikan askar yang lebih berdisiplin, boleh?

Lagak orang bercinta, sekejap ke sini, sekejap ke sana. Sekejap di balik tiang, sekejap di tepi meja. Yang tak berubah cuma sengih manjanya itu. Saya jadi jelik pula.

Bersangka baik sajalah, mungkin sudah tamat tugas agaknya hingga boleh bergayutan sebegitu lama ya? Atau sebenarnya dia seorang spy yang sedang memerhatikan kami dengan berpura-pura bercakap di telefon? (Extreme sangat ya sangkaan ni? Aha!)

Atau dia memang askar tak guna yang dipaksa bertugas walaupun tak rela sebab terasa banyak lagi kerja lain yang dia boleh buat selain berdiri kaku menengok orang bercuti-cuti?

Ah. Abaikan.

Seorang jemaah lelaki yang juga seorang doktor sempat menegur ketika saya sedang asyik memerhatikan sekeliling; Feels very tired because of the heat, yeah? Senyumannya pasti ada dan saya sekadar mengangguk. Sebetulnya itulah pertama kali doktor muda itu menegur saya secara direct walaupun sudah beberapa lama kami bermusafir bersama.

Sedihnya, masih banyak jemaah lain yang tidak pernah bertegur-sapa begitu dengan saya. Saya terasa malu sendiri, kita bermusafir dalam kembara begini tapi tidak taaruf sewajarnya. Rugi sungguh. Saya juga salah, kerana selalu sangat menjadi terlalu pemalu dengan orang-orang baru terutamanya yang lelaki.

Seberapa ketika kemudian Mr. Hisyam muncul entah dari mana. Barangkali dari sebuah kedai menjual barangan cenderamata kerana itu satu-satunya (seingat saya) kedai tertutup yang punya pendingin hawa. Malah masih ada jemaah yang saya nampak sedang berlegar-legar dalam kedainya. Jauh lebih sejuk di dalam kedai itu, definitely!

Mr. Hisyam bertanya secara rambang; So everyone is ready?

Dan kami mengangguk dengan gelojoh. Semuanya sudah penat dan terasa begitu panas sekali. Mr. Hisyam mengajak kami berjalan ke tempat meletak bas dan naik dengan begitu bergaya. Beliau duduk di tempat duduk pemandu dan memasukkan kunci bas dalam pemetik enjinnya.

Saya duduk di tempat saya.

Lama kemudian enjin bas masih belum hidup juga.

Rupa-rupanya Mr. Hisyam tidak tahu caranya menghidupkan bas itu. Beberapa jemaah lelaki turut mencuba nasib. Tidak ada yang berjaya. Keadaan dalam bas semakin panas. Seolah dalam sauna. Atau lebih tepat lagi seolah-olah dibakar dalam ketuhar!

Banyak jemaah yang give up. Mereka bangun dan turun dari bas kerana logiknya duduk di luar jauh lebih nyaman kerana udaranya bergerak, walaupun tetap panas. Saya masih berkira-kira samaada mahu turut sama keluar bas, atau hanya sabar menunggu selagi boleh.

Keputusan saya; Biar aku rasa panas ini sebagaimana yang pernah pejuang-pejuang Islam rasakan. Dan biar aku belajar erti sabar dengan cara begini.

Saya duduk tanpa ragu lagi.

Tak lama, pemandu bas saya nampak berlari-lari ke arah bas. Bersungguh-sungguh saya lihat dia berlari, dengan tubuhnya yang sedikit gempal dan tangan memegang satu tin air. Saya tarik nafas syukur. Allah uji kami sebentar cuma.

Mr. Hisyam tersengih-sengih dan berkata entah apa dengan pemandu itu. Barangkali sempat bergurau tentang rupanya ketika berlarian tadi.

Bas dihidupkan dan jemaah mula masuk kembali. Masing-masing tidak lekang senyuman walaupun panas masih membisa di luar tanah Palestin itu.

Saya memandang kawasan sekitar. Saya renung Laut Mati dari jauh. Renungan saya sampai ke seberang tasiknya, sampai ke tanah Jordan.

Ya Allah, segala puji bagi-Mu.

Ya Allah, berkati ziarah kami.

Ya Allah, jangan matikan hati kami sebagaimana Engkau matikan air seluas ini!


Khamis, 11 Ogos 2011

Sebelas Ramadhan: Kalau disuruh tinggalkan persinggahan?






Foto satu hingga lima: Kawasan persekitaran Masjid Nabi Musa di tengah-tengah padang pasir. Makamnya terletak berhampiran ruang solat. Saya tertarik dengan kucing di situ. Tempat yang kering dan panas pun mampu Allah hidupkan kucing secomel ini (walaupun kurus). Dan kucing-kucing ini (ada dua ketika itu) turut mengingatkan saya pada Firaun. Rimbunan pokoknya walaupun tidak banyak, cukup mendamaikan jiwa. Kawasannya sunyi. Saya tidak pasti samaada ruang-ruang seolah bilik di sekeliling tempat ini berpenghuni atau tidak. Persinggahan ini antara yang memberi kesan dalam pada saya!



Dengan nama Allah...


Dengan nama Allah, terasa sepuluh hari pertama bulan Ramadhan tahun empat belas tiga puluh dua hijriah berlalu dengan lebih cepat berbanding biasa.

Adakah ini tandanya kita telah melalui fasa pertama ini dengan baik atau sebaliknya? Mohon perkenan Allah Tuhan seluruh alam untuk meredhai ibadah kita setakat ini. Dan moga lebih baik pula di masa-masa akan datang. Amiin. Insha-Allah.



Semasa melalui hari yang boleh tahan panas terik hari ini, saya teringat keadaannya di tengah padang pasir berdekatan sempadan Palestin-Jordan. Kalau tidak silap saya, ketika itu dalam perjalanan ke Jericho untuk upacara makan-makan di sebuah restoran terletak di tingkat satu sebuah kompleks beli-belah yang tidaklah begitu besar. Jericho adalah sebuah bandar yang dikatakan antara bandar tertua dunia. Saya belum berkesempatan menelaah sejarah Jericho maka tidaklah sanggup berkongsi pengetahuan yang belum tentu betul ini. Setakat dengar-dengar orang bercerita sahaja belum cukup meyakinkan saya untuk menyampaikan pula di sini.

Jericho mungkin saja lebih panas berbanding di tengah-tengah Jerusalem kerana kedudukannya berdekatan dengan Laut Mati. Ya, laut yang memang mati. Tak punya hidupan dalam lautnya melainkan sejenis bakteria yang baru-baru ini (dikatakan) telah ditemui berjaya survive dalam Laut Mati. (Hebatkan kuasa Allah?)

Lain kali kita cerita tentang Dead Sea, okey?

Sampai sahaja di kawasan kompleks tempat kami bakal makan dengan banyak, saya jadi berdebar tiba-tiba. Saya tahu kawasan itu kawasan tumpunya orang-orang Kristian. Tanda salib, tak perlu ceritalah, penuh sini sana terutamanya pada barang-barang cenderamatanya. Nafsu nak membeli pun terbantut kerana barangnya banyak sangat bersalib sini sana.

Saya teringat Mr. Hisyam ada berpesan kalau tiba di Dead Sea nanti, andaikata ada yang bertanya kami telah sampai ke mana, jangan disebut langsung nama Jericho. Kedangkalan saya sendiri, tidak pula saya minta clarification daripada Mr. Hisyam sendiri apa sebab kukuhnya kami dilarang menyebut bahawa kami telah menjejak kaki ke Jericho.

Dan mungkin sebab itu saya berdebar begitu. Agaknyalah.

Makanannya banyak. Dihidang cara buffet. Dan biasalah, biasa, susuk-susuk Melayu mungkin saja yang paling lahap melantak ini itu (mungkin saja!). Saya duduk dan membiarkan jemaah lain yang mengambil makanan lebih dulu. Seperti biasa, saya lebih suka memerhati kiri kanan atas bawah dan memikir ini itu.

Meja di hapadan saya, jaraknya kurang lebih dua-tiga meter, diduduki seorang lelaki tua yang sedang khusyuk mengunyah makanan. Nampaknya sederhana, nasi arab dengan lauk-lauk. Seorang diri. Wajah Arab. Saya lihat pula potret yang tergantung di dinding sebelah kirinya. Ha? Macam sama dengan muka pak cik yang sedang enak mengunyah ni!

Saya berkira-kira mungkin itu tuan punya kedai makan. Yang di dinding tu mungkin saja dia di waktu muda, atau abahnya, atau atuknya, atau saudara-maranya. Atau penilaian saya yang merasakan wajah secara langsung di hadapan saya dengan wajah yang telah dipotretkan itu sebenarnya tak sama langsung? Entah. Saya pandang pula kiri kanan. Baik, waktu saya pula mengambil sedikit makanan. Sudahnya, banyak juga yang saya ambil. Mujur banyaknya itu hanya sekali, tidak pula bertambah-tambah. Saya ambil sedikit nasi dan banyak lauk. Setiap lauk hanya seketul atau sesudu. Saya buka selera dengan buah-buahan manis yang dirasakan cukup nikmat kala itu, terutamanya tembikai yang sarat air!

Selesai makan, semua jemaah macam berpusu-pusu membeli-belah pula. Saya hanya membeli seketul sabun. Ya, sabun! Peeling Natural Olive Soap Made in Jericho berwarna coklat gelap mendekati hitam. Harganya? Aduhai. Kurang lebih dua belas atau lapan belas dollar kalau tak silap. Berapa puluh duit Tanah Pusaka tu? Ini antara cara Israel membuat duit! Sabunnya kecil saja, sekitar tiga inci darab tiga inci darab satu setengah inci. Yang membuatkan saya beli adalah kerana ini sabun buah zaitun, antara yang dikatakan banyak manfaat oleh Islam sendiri. Dan ada pula garam laut mati, yang memang baik untuk kulit. Insha-Allah, saya beli dengan niat yang betul. Bukan untuk sekadar berbelanja mengikut hati dan nafsu.

Cuaca makin panas semasa kami selesai tawaf sekitar tempatnya. Di luar, walaupun dirimbuni pelepah-pelepah kurma yang penuh di kiri kanan jalan, bahang panas tak tertahan. Saya seringkali mengingatkan diri sendiri supaya jangan mengeluh sebaliknya bergembira. Kerana panas ini panas bumi Palestin yang bukan dapat dirasai semua orang!


Semasa berdiri di hapadan pintu utama di situ, saya terkenang makam Nabi Musa yang telah saya tinggalkan semasa dalam perjalanan ke Jericho tadi.

Allah, sungguh, saya tidak pernah sangka Masjid Nabi Musa letaknya di tengah-tengah padang pasir tak berpenghuni. Kenangan padang pasir seingat saya hanya saya rakam secara video. Tidak ada pula gambar pegun untuk saya kongsi di sini. Padang pasirnya benar tandus. Kering. Kosong. Hanya pasir dan kita. Untungnya, sudah ada jalanraya ber-tar seperti yang biasa kita lihat. Sekitarnya, hanya timbunan pasir dan langit biru. Macam lukisan! (Atau lukisan yang macam ni? Aha.)

Ketika itu telah banyak jemaah yang dibuai mimpi. Barangkali memang sudah terlalu penat atau tidur kerana bosan. Mr. Hisyam juga sudah tidak banyak cakap kerana pemandangan sekitar hanya benda yang sama, padang pasir dan padang pasir dan padang pasir. Dan saya juga tahu, Mr. Hisyam sendiri sudah begitu letih melayan kami.

Saya masih dalam angan. Melihat sendiri satu ruang atas bumi yang kering. Yang tidak punya hidupan. Yang kosong. Tidak boleh tidak, saya pasti terfikir-fikir penghijrahan Nabi S.A.W., perjalanan Nabi-Nabi yang lain termasuk Musa A.S., sahabat-sahabat dan pejuang-pejuang Islam. Kalau menaiki bas ber-aircond begini sudah terasa penat dan bahangnya, yang berjalan di tengah padang pasir itu pula bagaimana pula perasaannya?

Kadang-kadang, terbayang imaginasi saya sendiri melihat segak unta-unta dan kuda-kuda melintasi padang pasir itu. Pejuang-pejuang Islam meredah beratnya langkah dengan kaki seringkali terbenam dalam pasir yang hangat. Angin yang bertiup bukan sekadar melalukan angin panas, tetapi turut membawa pasir halus memasuki mata. Peluh melencunkan pakaian yang sedia buruk. Kepala lutut menggigil menahan penat. Perut menahan rasa lapar dan dahaga yang selalu datang. Cuma yang rasa redup dan kenyang tentu sekali hati mereka yang penuh kecintaan pada Allah Taala. Masha-Allah!

Mampukah saya sendiri berjalan merentasi entah berapa banyak daerah hanya untuk menyampaikan risalah kebenaran Islam? Allahu Allah... Turun naik kapal terbang dan bas begini pun saya seringkali terasa lelah!

Semasa sedang berimaginasi yang macam-macam, bas membelok ke kiri memasuki lorong yang nampak seakan semakin dalam masuk ke padang pasir. Kemudian tahu-tahu sahaja sudah ada bangunan yang pada pandangan saya sudah berkurun lama. Ternampak pohon-pohon kurma dengan pelepah besar yang sihat di sini sana. Tak banyak, tapi cukup menghijaukan suasana dan menyedapkan mata. Seekor unta tegap sedang bersenang-lenang di bawah pohon kurma. Seekor lagi di sebelah sana, sedang meragut tumbuhan yang ada barangkali. Seingat saya seekor unta yang sedang lepak di bawah pokok itu sungguh besar. Saya dan imaginasi saya seperti biasa; Entah-entah zaman Nabi Musa dulu lebih besar dari ini! Setinggi mana Nabi Musa dahulu? Sebesar mana susuk tubuh jantannya? Ya Allah, berikan aku kekuatan jiwa Nabi-Mu yang tidak gentar menghadapi Firaun!

Saya tiba-tiba teringatkan Asiyah.

Ya Allah, izinkan aku meneladani Asiyah yang bersama-Mu, sungguhpun suaminya sendiri mengaku lebih berkuasa daripada-Mu!


Masuk sahaja ke dalam kawasan yang ditembok seperti lazimnya seni bina di sini, saya terarah ke sebelah kanan untuk mengambil wudhuk. Bergilir-gilir dengan muslimat yang lain, kami saling membantu dan menunggu. Selesai sahaja, kami terus ke masjidnya terletak lebih dalam sebelah kiri. Saya hanya berpandukan papan tanda yang ada. Teringat pula susuk jemaah lelaki yang duduk santai di luar kawasan berdekatan bas sambil menghisap rokok sesudah saya keluar dari tempat mengambil wudhuk. Setelah sampai ke pintu masjid, seorang petugas lelaki masjid itu menunjuk arah ruang solat an-nisaa'. Dari luar saya sudah mendengar seorang lelaki sedang mengimamkan solat. Apabila masuk, saya lihat sebaris saf lelaki sedang berjemaah. Kalau tidak silap, imamnya adalah Mr. Hisyam sendiri.

Kemudian saya terfikir; Eh, inche yang di luar yang sedang bakar duit tu tak solatkah? Astaghfirullah. Saya cuba bersangka baik walaupun alasan-alasan dalam benak saya yang membelanya seakan tidak rasional.

Selesai solat, kami langsung ke ruang makam yang terletak dalam bilik kecil di sebelah kanan pintu masuk. Dan si penjaga yang menyambut kami turut mengingatkan untuk bersadaqah dengan menunjukkan tabung yang tersedia di situ. Saya sekadar tersenyum dan lantas berdu'a di dalam hati sendiri. Itu sadaqah yang paling bermakna, bukan?

Nabi Musa A.S. menjadi peneman hati saya semasa berada di situ. Ya Nabi, bagaimana rasanya menjadi engkau yang diselamatkan dan dibela oleh isteri Firaun sendiri semasa masih bayi? Bagaimana caranya engkau berdakwah kepada Firaun dan isterinya? Bagaimana caranya engkau menjadi sabar setiap kali engkau ditentang dan dituduh sebagai penipu dan pengkhianat? Allah...

Saya berair mata lagi.

Selesai meninjau-ninjau kawasan yang tidak besar malah kering kontang itu, semua jemaah kembali ke atas bas. Saya menangkap gambar cara mental dengan mata kepala saya sebelum bas bergerak meninggalkan kawasan itu. Ya Allah, sampaikanlah aku lagi ke sini! Amiin.

Bas bergerak dan lamunan saya terhenti. Saya masih di hadapan pintu utama dalam daerah Jericho itu. Seingat saya, walaupun sekejap saja menjenguk makam Nabi Musa A.S., saya terlalu merindui suasana damainya yang seolah tidak berpenghuni langsung. Sungguhpun sedaya upaya saya menghayati saat-saat di situ, saya tidak dapat elak kenyataan hidup yang itu hanya persinggahan dan saya harus ikut ke Jericho. Dan saya telahpun berada di Jericho. Alhamdulillah.

Ironinya, hidup ini pun hanya persinggahan, kan? Kita tidak punya pilihan kalau 'disuruh' meninggalkan persinggahan ini, kan?




Sepuluh Ramadhan: Tetamu Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis







Foto satu: Tembok kawasan Al-Aqsa semasa mula-mula masuk kawasannya. Di sebelah belakang sana bukanlah kawasan Muslim. Muslim hanya selesa di dalam ini.
Foto dua: Atas kepala saya, ada CCTV! Ini bukan satu-satunya yang ada. Gambar ini diambil di kawasan pintu masuk ke kawasan Al-Aqsa, semasa mahu melepasi checkpoint yang dikawal abang-abang polis perasan macho.
Foto tiga: Kawasan sekitar Al-Aqsa. Masha-Allah indah!
Foto empat: Dalam perjalanan masuk ke Masjid Al-Marwani di bawah tanah. Ruang seakan terowong ini juga dikira sebagai Al-Aqsa lama iaitu yang dikenali sebagai Al-Marwani sekarang.
Foto lima: Satu sudut dalam Masjid Al-Marwan. Mr. Hisyam berkongsi cerita tentang masjid ini dan Al-Aqsa baru juga. Ada seperti pentas kecil di situ di mana Mr. Hisyam berdiri dan bercerita. Di belakangnya itulah tembok yang memisahkan Al-Aqsa dan the Wailing Wall. Agaknya kalau ada pandangan mata x-ray macam superman, kita pasti sudah nampak Yahudi-Yahudi sedang meratap terangguk-angguk di balik tembok ini.
Foto enam: Entah siapa gadis ini, sedang berdu'a di dalam Masjid Al-Aqsa dengan tamak barangkali, sampaikan ketika digambari dia tidak sedar langsung. Moga Allah perkenankan du'a-du'anya.




Dengan nama Allah...


Selesai satu per tiga Ramadhan tahun empat belas tiga puluh dua hijriah!

Bagaimana perkembangan iman kita?

Semoga lebih hebat berbanding setiap saat sebelumnya! Amiin.



Saya kurang ingat perjalanan saya sesudah mengambil iktibar di Wailing Wall. Adakah terus ke Masjid Al-Aqsa yang lama (Al-Marwani) atau langsung ke Masjid Al-Buraq.

Sebetulnya, saya lebih banyak mengabadikan jejak saya di Baitulmaqdis melalui rakaman video berbanding visual pegun. Terutamanya dalam masjid-masjid ini, saya banyak merakamkan video kerana mahukan kenangan itu 'bergerak' pada mata saya ketika saya merindui saat-saatnya.

Masjid Al-Buraq adalah masjid kecil bawah tanah (seperti juga Al-Aqsa lama iaitu Al-Marwani). Pintunya juga kecil, dan ruang tangga untuk turun hanya muat untuk satu jemaah pada satu masa. Agak curam dan tinggi, saya merasakan agak sukar untuk orang-orang tua turun ke bawah dan merasai kesyahduan Al-Buraq dengan hamparan merahnya.

Dikatakan Buraq yang ditunggang Nabi Muhammad S.A.W. ditambat di sini, menunggu Nabi S.A.W. pulang dari mikrajnya untuk membawa Nabi S.A.W. kembali ke Makkah. Terdapat pecahan batu-batu marmar yang dipercayai tempat pelana Buraq. Kalau dilihat pada dinding masjid kecil ini, terdapat gelung besi yang masih tergantung. Gelung-gelung besi itu adalah tempat orang-orang Islam dirantai ketika ditawan oleh orang-orang kafir yang sedang berperang dengan kaum muslimin. Alangkah bergetar jiwa saya melihat gelungan besi yang tergantung pada dinding lamanya, mengenang seksaan yang telah dikenakan kepada pejuang-pejuang Islam ketika itu.

Alhamdulillah, saya sempat menunaikan solat sunat di Masjid Al-Buraq. Semasa berdu'a, saya sudah tidak dapat menahan air mata. Malah ketika merakam video sekitar ruang solatnya, air mata saya masih mengalir dan saya sedar seorang jemaah lelaki yang dekat dengan saya sedang memerhati. Seperti biasa, saya pasti pura-pura okey dan berlagak tenang sedang gelora hati saya hanya Allah yang memahami. Ah, emosi lagi!

Kami tidak lama di situ, masing-masing beriktikaf sekadar sempat dan langsung mendaki tangga menuju ke masjid seterusnya. Al-Aqsa lama!

Al-Aqsa ini dikatakan mula-mula dibina oleh Malik Marwan. Kerana itu masjid bawah tanah ini lebih dikenali sebagai Al-Marwani. Masjid inilah masjid asal Al-Aqsa, di atasnya adalah Masjid Al-Aqsa yang sekarang ini. Kata Mr. Hisyam, sama sahaja ganjarannya bagi yang beribadat di bawah atau di atas. Pada pandangan saya, Al-Marwani jauh lebih tenang dan damai. Ruangnya cukup luas, semakin dalam semakin kurang orang. Malah ruang paling dalamnya masih dalam proses pembaikan. Setahu saya dahulu keadaannya jauh lebih teruk dan tidak terurus. Ketika saya sendiri bertamu di dalamnya, saya lihat keadaannya cukup selesa dan nyaman. Banyak juga anak-anak gadis yang mirip gadis-gadis Turkiye sedang duduk bersantai, usrah dan tadabbur Al-Quran. Jemaah yang rajin dan beringat, masing-masing mencuri masa menunaikan solat sunat di Al-Marwani.

Mr. Hisyam sempat juga menerangkan satu-dua perkara tentang sejarah Al-Aqsa sebagai qiblat pertama umat Islam. Sempat beliau memanjang cerita tentang du'a Nabi Muhammad S.A.W. yang telah dijawab Allah untuk menukar qiblat daripada Al-Aqsa kepada Al-Haram di Makkah Al-Mukaramah. Saya begitu bercita-cita untuk sampai ke Masjid Qiblatain yang telah menjadi tapak sejarahnya dua qiblat bertukar ketika Nabi sedang memimpin solat! Amiin!

Selesai ke Al-Marwani, jemaah langsung ke Al-Aqsa di atas pula! Masha-Allah! Entah buat yang keberapa kali lagi jiwa saya bergetar!

Semasa menghampiri pintu utama Al-Aqsa saya telah begitu berdebar. Saya hampiri rak kasut di tengah ruang dan meletakkan sandal hitam saya dalam salah-satu ruangnya lantas masuk ke ruang masjid dengan kaki kanan sambil berdu'a.

Ya Allah, redhai aku dalam masjid ini. Redhai aku dalam kembara ku menekuni perjalanan Muhammad Rasul-Mu semasa isra' wal mikraj. Redhai niat ku dan perbuatan ku. Tetapkan iman ku dan kurniakan cinta-Mu.

Saya terpaku beberapa saat di hadapan pintu utamanya. Memandang sayup ke dalam. Automatik juga saya mengikut jemaah muslimat yang lain ke ruang sebelah kanan masjid lalu kami masing-masing tenggelam dalam emosi tersendiri. Saya sendiri tidak mengingati du'a-du'a saya dan berapa rakaat solat yang telah saya langsaikan. Yang saya ingat hanyalah ketamakan saya meminta yang macam-macam, memuji yang macam-macam dan beremosi yang macam-macam kepada Allah Taala.

Allahu akbar!

Betapa saya bersyukur diberi kurnia sebegini hebat dalam usia semuda ini. Pengetahuan cetek saya cukup membuatkan saya terpana dengan rasa hati yang pelbagai sepanjang kembara ini dijalankan. Bayangkan pula jika saya punya pengetahuan lebih banyak tentang Baitulmaqdis, bagaimana pula tamaknya saya nanti, agaknya?

Dua kali saya diberi rezeki oleh Allah untuk sujud kepada-Nya. Satu di bawah tanah, dan satu di atas. Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Saya benar berharap Allah menerima amalan saya!

Apabila duduk bermuhasabah diri saya terkenang-kenang perjalanan saya sejak turun dari bas dengan jiwa bergetar sampailah saat saya sedang bersimpuh di hamparan merah Al-Aqsa ini. Dunia ketika itu hanya ada saya dan Allah, juga sejarah lampau Islam di situ. Walaupun rasa kecintaan ini maha hebat, saya tetap merasa malu kepada-Nya kerana mengenangkan apa yang telah saya beri kepada-Nya tidak langsung terbanding dengan apa yang telah diberi-Nya kepada saya sejak saya hidup sampai saat ini.

Saya membayangkan lagi, bagaimana kaki saya melangkah seiring dengan kaki-kaki lain termasuk yang bukan Muslim di sekitar kawasan Al-Haram As-Syarif ini. Lorong-lorong yang telah saya lalui serta pintu-pintu yang saya sendiri tidak pasti semua nama-namanya, terbayang kembali pada ruang mata. Entahkan Bab Muhammad, Bab Al-Buraq, Bab Al-Hadid, Bab Al-Magharibe, Bab As-Silsile' atau beberapa yang lain!

Saya lantas teringat bagaimana sayunya hati saya melihat kawasan sekitarnya penuh dengan yang bukan Muslim bermajoriti Kristian dan Yahudi. Saya terasa begitu asing di bumi yang sepatutnya menjadi rumah kita sendiri sebagai orang Islam. Yang Yahudi sibuk dengan ibadatnya di Herodrian Wall (Wailing Wall), dan yang Kristian sibuk dengan Holy Sepulchre. Ketika melalui Jewish dan Christian, begitu banyak penganut dua agama ini yang barangkali dalam perjalanan muhasabah seperti saya. Mereka tidak ditahan-tahan atau diekori. Sebaliknya kami jemaah Muslim ditahan-tahan dan diperiksa lebih dulu sebelum memasuki kawasan Muslim iaitu kawasan Al-Aqsa. Sungguhpun tidaklah seketat yang kami alami waktu ke Masjid Ibrahim di Hebron atau masjid-masjid lain, tetapi kami tahu kami diperhatikan dua puluh empat jam.

Ya, kami pengganas. Aha. (Read: Sarcasm)

Sewaktu mula-mula melepasi sebuah pintu untuk masuk ke kawasan tanah haram Al-Aqsa, saya masih ingat, saya mohon seorang jemaah wanita untuk menggambari saya di tepi tembok tingginya. Tembok itulah yang memisahkan kawasan Muslim dengan kawasan bukan Muslim yang menempatkan segala macam gereja dan kawasan Wailing Wall. Seperti biasa abang-abang kacak samaada berbaju biru atau hijau akan siap-siaga di sempadan masuknya. Ketua rombongan bertegur sapa ini itu dan kami lantas laju menuju masuk tanpa pandang belakang lagi. Kawasan di dalam ini lebih mendamaikan. Mr. Hisyam menerang ini itu dan yang lelaki terus duduk di tepi pancuran air untuk mengambil wudhuk. Tempatnya banyak, dan mudah bagi yang muslimin. Kami jemaah muslimat dibawa Mr. Hisyam sampai ke pintu masuk tempat wudhuk yang sedikit terperosok di celah bangunan.

Satu perkara yang saya cukup kecewa sejak bertamu di bumi anbiya ini termasuk semasa di Bethlehem atau Hebron, tempat wudhuk dan tandasnya tidak dijaga. Kotor, busuk, kemudahan yang terbatas dan tidak mesra pengguna. Kalau setakat kemudahan yang kurang, saya tidak banyak kerenah kerana saya pasti boleh hidup insha-Allah walaupun dengan keadaan serba kurang. Masalahnya adalah kebersihan yang cukup merimaskan!

Oleh kerana saya perempuan biasa-biasa yang suka berjubah dan berbaju kurung, seringkali timbul kegusaran pada hati saya kalau-kalau baju saya kotor terkena najis ketika menguruskan hajat atau ketika mengangkat wudhuk. Kecewa sungguh saya, kerana kebersihan sememangnya dituntut oleh Islam. Saya selalu bersangka buruk pada Yahudi yang pasti sengaja membiarkan keadaan tempat ibadat kita seperti ini. Sedangkan boleh jadi saja, orang-orang Islam sendiri yang tak menjaga kebersihan, kan?

Wallahu'alam.

Dan tidak mungkin saya lupa, antara du'a saya semasa bertamu di Al-Aqsa, semoga walaupun dicabar dengan kekotoran sebegitu rupa, saya tidak akan beralasan untuk tidak tunai solat dan ibadah lainnya kepada Allah! Amiin.