Rabu, 17 Ogos 2011

Tujuh belas Ramadhan: Assalamualaika Ya Rasulullah!

Dengan nama Allah...


Alhamdulillah. Separuh Ramadhan selesai dilalui. Alangkah!

Insha-Allah, kita du'akan baki Ramadhan tahun empat belas tiga puluh dua hijriah ini dilalui dengan lebih baik. Amiin.



Boleh saya sambung kembara muhasabah saya?

Insha-Allah.




Sewaktu tiba di lapangan terbang Madinah dari Jordan, saya begitu berkobar-kobar untuk menyampaikan salam kepada cinta hati saya, Muhammad S.A.W.

Di lapangan terbang, jemaah disambut oleh pak-pak Arab yang konon berkhidmat untuk tetamu seperti kami. Dan terlihat juga kelibat seorang Melayu berjubah putih dengan beg hitam tergantung pada badan, bersalam-salaman dengan jemaah lelaki. Sebenarnya, sesudah mereka mengangkut beg-beg besar kami dan menyusun-nyusun dalam perut bas, tangan mereka dihulur-hulurkan tanda ada bayaran yang perlu dilangsaikan. Teringat saya kepada seorang jemaah lelaki yang merungut-rungut; Patutlah kita nak angkat beg sendiri mereka tak kasi. Beriya-iya tolak trolley kita konon membantu. Nak hadiah rupanya!

Saya perhatikan, memang begitulah budaya orang-orang Arab. Suka memaksa. Dan menyatakan bahawa sesuatu yang diberi itu adalah hadiah. Sedangkan hakikatnya mereka meminta bayaran. Ya, wang.

Sewaktu di dalam bas, saya sempat menjenguk ke luar memerhatikan baki jemaah yang sedang 'berurusan' dengan kedegilan pak-pak Arab Madinah. Saya lihat ada jemaah muda lelaki yang terpaksa menghulur mata wang dollar kerana si pak Arab tak berpuas hati dengan jumlah yang dihulur berupa kertas-kertas merah dari Tanah Pusaka. Alahai pak Arab! Syukurlah, si jemaah muda itu masih punya baki wang kertas dollar yang kami gunakan sewaktu di Israel dan Jordan.

Bas mula bergerak perlahan-lahan dan saya lekas-lekas merakamkan lapangan terbang dan bukit-bukau di kawasan sekitar dengan kamera buruk saya. Ustaz muda dari Indonesia yang akan mengiringi kami sepanjang kembara di tanah Madinah mula mengetuk-ngetuk microphone yang rupanya tidak berfungsi sambil berdiri di bahagian hadapan bas. Ustaz inilah yang menyambut kami tadi di perkarangan airport, dengan jubah putihnya. (Kita namakan ustaz ini sebagai Ustaz Abdul, mutawwif kami. Muallim muda dari Tanah Seberang).

Saya terdengar suaranya bergema perlahan, memberi salam lebih dari satu kali. Dan jujur kata, ketika itu saya kurang peduli padanya kerana keterujaan saya adalah menggambari Madinah yang pertama kali saya jejak.

Masha-Allah! Ini tempat Nabi S.A.W. berhijrah dari Makkah!

Bas mula melunjur laju meninggalkan lapangan terbang, dan saya tidak sabar-sabar lagi melihat An-Nabawi!

Sedar-sedar, jemaah yang duduk di sebelah saya menyiku perlahan. Lalu menunjukkan sesuatu di luar. Dari celah-celah bangunan, saya ternampak menara-menara masjid yang amat saya kenal! Saya masih membisu, berkira-kira dalam hati adakah itu benar An-Nabawi yang saya sering lihat dalam gambar-gambar? Bas masih berjalan mendekatinya. Sekejap saya nampak, sekejap tidak. Maka saya sendiri tidak pasti adakah itu Masjid Nabi yang saya rindui. saya memandang jemaah di sebelah saya, yang sudah pernah bertamu di An-Nabawi.

Sepatah saya bertanya.

Masjid An-Nabawi?

Jemaah itu mengangguk dan tersenyum menampakkan lesung pipitnya.

Allah. Allah. Allah.

Mata saya tak beralih dari kelibat bangunan cantik itu, biarpun bas berpusing masuk lorong ini dan itu menuju ke kediaman baru kami berdekatan Masjid An-Nabawi. Saya lihat masjidnya luar biasa cantik! Biarpun hari masih siang, bersinar-sinar saya lihat tiang-tiangnya dari jauh. Ya Allah, syukur atas kurniaan pemandangan seindah ini!

Dan saya sudah pun mengucapkan Assalamualaika Ya Rasulullah! di dalam hati sambil menahan perasaan.

Allah...

Alhamdulillah.

Saya turun bas dengan kaki bergetar. Ini Madinah Munawwarah. Ini tanah Nabi Muhammad. Ini masjid Nabi Muhammad. Jiwa saya lebih-lebih lagi bergetar.

Ustaz Abdul menitipkan pesan di mana boleh mengambil kunci dan di mana untuk ke lif. Saya mendengar acuh tak acuh. Ya, keterujaan saya masih belum berpenghujung. Dunia ketika itu bukanlah tentang rasa penat setelah perjalanan yang panjang. Atau di mana boleh saya mandi dan berehat. Atau di mana tempat untuk saya isi perut saya yang sudah berlagu. Dunia ketika itu adalah bila boleh saya masuk ke masjid dan menziarahi Rasulullah!

Saya sempat mendongak ke langit dengan hati yang lapang sesaat dua.

Saya sudah di Madinah!

Insha-Allah. Saya memasang niat. Insha-Allah. Saya berdu'a. Insha-Allah saya akan tunaikan solat pertama saya nanti dengan sujud syukur yang panjang!



Upon arrival at Madinah Airport


Tiada ulasan: