Aduhai Ramadhan.
Sekelip mata, satu hari berlalu.
Ya Tuhan, apabila hamba-Mu menyukai sesuatu atas nama-Mu, walaupun sekejap, berikanlah segala kebaikan daripadanya.
Ya Tuhan, apabila hamba-Mu menyukai sesuatu atas nama-Mu, walaupun sekejap, berikanlah segala kebaikan daripadanya.
Sudah rindu hari pertama Ramadhan tahun empat belas tiga puluh dua hijriah ini.
Begitu jugalah dalam hati, apabila terkenangkan Baitulmaqdis yang telah jauh ditinggalkan. Pengalaman menjejak kaki ke bumi Palestin, tak akan terbayar dengan mana-mana pengalaman lain. Sungguh, rasa rindu pada keresahan - yang barangkali tidak dirasai oleh orang-orang yang kurang prihatin - tidak pernah padam. Terbayang-bayang lagi tembok-tembok paling kurang lapan kaki yang menghiasi keseluruhan jalan-jalan sekitar bumi Palestin. Yang sekarang ini, telah menjadi nama agungnya Israel.
Sanggup, mereka yang nyata bodoh dalam keangkuhan sendiri membina tembok-tembok batu maha tinggi dan rapat-rapat pula, di sepanjang-panjang jalan. Hanya dengan justifikasi bahawa bumi Palestin itu sebenarnya telah tidak wujud. Yang wujud hanya Israel.
Ya, kami (dan lebih-lebih lagi mereka warga asli Palestin) boleh ke hulu ke hilir membawa senyuman. Menyapa barang siapa sekalipun yang diselisih apatah lagi pelancong yang datang untuk memakmurkan Al-Aqsa. Tetapi keresahan itu, ya, tekanan yang pada hakikatnya bukan sedikit itu, sungguh-sungguh menggetarkan hati. Terbayang-bayang lagi kesungguhan saudara-saudara kita melangkah kaki satu persatu, memasuki rumah-rumah Allah khususnya yang berganjaran 500 kali itu.
Ya Tuhan, rindu.
Angin di Baitulmaqdis selalu-selalu dikenang. Suara Mr. Hisyam, tour guide yang asli Palestinian yang kami senangi serta rindui, selalu juga terngiang-ngiang. Mr. Hisyam selalu menyebut; 'Datanglah lagi, datanglah lagi!'. Mr. Hisyam, kami meng-amiin-kan kata-kata kamu itu sebagai satu du'a. Walaupun ada yang seakan serik untuk menempuh kecelakaan Yahudi-Yahudi keparat yang selalu melambat-lambatkan proses keluar masuk ke negara mereka itu.
Sesekali rasa menyesal itu datang, kerana kerap kali mahu menahan-nahan kudrat sel-sel kering pada kamera buruk daripada hilang langsung, makanya jumlah gambar-gambar kenangan di sana masih tidak memuaskan hati. Setiap kali menatap gambar-gambarnya, datang juga tiupan rasa terkilan. Buruk ya, perangai yang macam ini? Apakan daya, bumi haram as-syarif yang telah dijejak itu terlalu istimewa di hati. Gambar yang ada masih tidak terasa cukup.
Al-Aqsa, antara cinta hati yang sedang berbunga. Tempatnya mendamaikan, di sebalik rasa kerisauan juga tekanan bahawa bila-bila masa sahaja boleh diserang hendap atau dianiaya oleh yang perasan empunya tanah. Untuk masuk ke rumah Allah itu sendiri seolah-olah mahu masuk ke penerbangan kelas pertama. Ditahan-tahan dan diperiksa-periksa. Ini rumah siapa? Kenapa kita yang sebenarnya tuan tanah, yang perlu tunduk menyerah 'Ya, sila kan periksa badan dan beg saya!'?
Abang-abang kacak beruniform segak, siap laras senapangnya - yang bila-bila masa kalau ditekan boleh memuntah peluru secara semi atau fully auto - tersadai sini sana. Ada yang tidak kisah digambari. Ada yang jual mahal, atau barangkali memegang prinsip tersendiri. Tetapi yang selalu dilihat, selalu abang-abang kacak ini bergayutan di telefon bimbit sambil tersengih-sengih. Atau paling kurang, rancak menari jari di punat-punat telefon mereka. Ah, abang-abang kacak itu juga manusia. Tapi sungguh, percayalah, mereka memang kacak. Dengan tubuh tegap dan lampai, kulit putih dan bersih. Hati perempuan Melayu biasa-biasa seperti ini tidak boleh tidak, terdetik juga memuji kesegakan dan ketampanan mereka. Ada pendapat yang mengatakan mereka ini keturunan Nabi Yusuf yang sememangnya kacak bergaya. Dan keturunan Nabi Musa juga. Entahkan betul. Nanti-nanti insha-Allah akan dikaji dan digali sejarah mereka lagi.
Aduhai Palestin...
Nikmat yang Allah kurnia untuk menatap dari dekat, menjejak kaki dan menunaikan solat di dalam Al-Aqsa, As-Sakhra, Al-Buraq dan Al-Marwani, terlalu disyukuri. Janganlah bertanya, bagaimana mungkin seorang perempuan Melayu biasa yang berpassport asli dengan larangan masuk ke Israel ini berjaya menembusi sekatan kerajaan ke dua belah pihak. Letakkan sahaja keyakinan, ini kerja Allah yang penuh rahsia. Insha-Allah, akan didu'akan semua umat Islam agar dapat menjejak kaki ke tanah suci Baitulmaqdis, selain ke Madinah dan Makkah.
Yang sudah itu sudah.
Bagaimana banyak sekalipun air mata yang telah dirembes keluar beserta rasa sesuatu yang tak dapat digambar maknanya, jasad dan roh kenyataannya sudah tidak berada di bumi Jerusalem. Apa lagi yang paling mudah dan tepat untuk dilafaz serta diingat-ingat melainkan Maha Suci Allah? Segala puji bagi-Mu ya Allah, kerana rezeki itu telahpun Engkau sampaikan.
Untuk mencapai rasa redha yang hakikatnya sangat payah dipupuk harmoni dalam jiwa, pasti sekali memakan masa yang bukan sekejap. Mohon du'a para sahabat, agar hamba kalaupun merindui tanah Palestin, tetapi meredhai apa yang telah Allah tamatkan.
Kembara ke bumi Baitulmaqdis akan dikongsi lagi, insha-Allah dari semasa ke semasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan