Foto satu: Kawasan dataran dengan payung-payung gergasi di Masjid An-Nabawi, Madinah pada pagi hari. Gambar ini diambil sesudah saya selesai bertamu di Raudhah buat kali ke dua. Alhamdulillah.
Dengan nama Allah...
Kepada Allah Yang Maha Besar, segala puji bagi-Mu ya Allah!
Jangan lupa untuk selalu mengingati Allah.
Ya, saya tujukan ayat di atas khas buat diri saya yang semakin lalai dalam menempuh kehidupan.
Istighfar.
Seingat saya, sejak menjejakkan kaki ke Madinah saya telah banyak berjanji kepada diri sendiri. Tetapi sehingga hari ini, masih banyak baki janji-janji itu yang belum saya tunaikan.
Semoga Allah mengampunkan saya.
Sambung.
Madinah lebih panas berbanding Baitulmaqdis. Tidak boleh tidak, perbandingan yang saya cuba lakukan akhirnya menggetarkan jiwa saya sendiri. Bahawa padang mahsyar adalah jauh lebih panas!
Ada satu ketika, semasa saya di dalam bangunan tempat penginapan saya di Kota Madinah menuju ke pintu keluar untuk ke Masjid Nabawi, saya dapat merasakan bahang matahari di dalam bangunan itu sungguhpun pendingin hawanya sejuk sekali. Kurang lebih sepuluh meter dari pintunya, bahang terasa begitu menyengat. Sejurus menapak ke luar bangunan tersebut, Allahu akbar, panasnya bukan main. Mata saya sudah mula sepet dan dahi berkerut-kerut. Syukur, tempat penginapan saya begitu dekat dengan salah-satu pagar masjid. Marmar putih di kawasan sekitar masjid saya rasakan begitu silau. Syukur lagi, Allah telah mengurniakan seorang pemimpin negara Islam di Nusantara yang begitu pemurah dan mengingati-Nya lalu telah menanggung kos memasang payung-payung gergasi canggih yang seolah kepak sang kelawar untuk memayungi para jemaah seperti saya di An-Nabawi. Alhamdulillah.
Semasa saya di An-Nabawi, kipas-kipas besar pada tiang payung gergasi sekitar dataran An-Nabawi masih dalam proses pemasangan. Kata jemaah yang telah sampai ke Madinah sekitar tahun 2004, dahulu tiang-tiang payung inipun tidak ada. Saya kira, semakin hari tentu sekali semakin banyak kemudahan yang canggih-canggih akan disediakan di tanah suci. Cuma saya ragu-ragu, adakah sistem pengurusan di tanah suci ini akan turut diubah menjadi lebih baik?
(Berfikir sejenak!)
Waktu Zohor adalah waktu solat pertama saya ketika tiba di Madinah. Seingat saya waktu subuh kami masih di lapangan terbang mengurus keperluan imigresen dan kastam.
Ada dua kali Zohor yang saya rasakan begitu panas sekali. Bahangnya, masha-Allah, tidak dapat saya gambarkan. Matahari bagaikan sedang marah dan memakan ubun-ubun kepala kami. Teringat pula saya kisah beberapa orang yang pernah saya dengar tentang kehilangan selipar/kasut lalu terpaksa berkaki ayam balik ke tempat tinggal mereka. Kata mereka, tapak kaki bagai disalai atau dicucuh api!
Panas matahari yang tercacak di atas kepala itulah yang pertama kali saya rasakan dan yang terakhir setakat ini. Tidak pernah sekali pun saya merasakan panas yang seumpama itu lagi sehingga ke hari ini!
Saya pernah berdu'a ketika berjalan seorang menuju ke masjid untuk beriktikaf sebelum waktu Zohor; Mohon perkenan-Mu ya Allah! Sekiranya rasa panas ini dapat menghapuskan dosa-dosa ku sejak hari lahir ku sehingga hari mati ku, maka biarkanlah aku merasai panas ini selama mana yang Engkau mahu. Sesungguhnya aku lebih sanggup dimakan terik sebegini berbanding panasnya nanti di hari pembalasan yang ditentukan oleh-Mu. Dan mohon perkenan-Mu ya Allah! Sekiranya rasa panas ini dapat mendidik aku menjadi lebih bersyukur dan bersabar atas nama-Mu, maka biarkanlah aku dijenguk matahari ini selama mana yang Engkau mahu. Sesungguhnya aku tidak mahu menjadi antara manusia yang kufur nikmat...
Allah. Allah. Allah.
Solat Zohor pertama saya hanyalah di kawasan luar masjid kerana telah terlambat maka terpaksa berasak mencari saf yang kosong.
Dukacita juga apabila mengingati kisah seorang jemaah yang telah menyebut satu carutan ketika kami terpaksa berpatah balik untuk keluar dari masjid apabila Allah telah menentukan tidak ada tempat buat kami solat di dalamnya.
Ketika masuk, saya berjalan paling belakang di kalangan jemaah. Apabila membuat keputusan untuk berpatah balik untuk keluar dari masjid dan bersolat di luar, saya langsung menjadi kepala jemaah. Dan ketika berpatah balik itulah saya dengar jemaah ini mengucapkan kata kurang sopan, mungkin kerana terasa begitu sesak dan fed up.
Saya faham keadaannya. Kerana saya juga di situ.
Orang terlalu ramai. Sudah mahu masuk waktu. Tiada saf yang kosong. Payah untuk bergerak ke sini sana apatah lagi apabila terpaksa berpatah balik. Fizikal terasa lesu kerana cuaca yang begitu panas. Dan pelbagai sebab lagi.
Tetapi saya kira apabila Allah meletakkan situasi menjadi begitu, Allah pasti mahu kita tahu itu adalah satu proses tarbiyyah buat diri kita sendiri.
Saya begitu kecewa mendengar kata sehina itu disebut oleh jemaah berkenaan hanya kerana terpaksa berpatah balik dan keluar dari masjid. Kami di Masjid Nabi Muhammad S.A.W., di tanah Madinah yang beribu batu jauh dari Tanah Pusaka. Kami sedang dalam perjalanan muhasabah diri lebih dalam. Kami sedang mencari redha Illahi. Dan dia mencarut seolah tidak punya iman!
Allahu Allah!
Saya pandang wajahnya dengan wajah saya sendiri berkerut seribu. Ikut hati, jujur kata, mahu saja saya tampar mulutnya. Saya cepat-cepat menahan marah dan memalingkan muka lantas meneruskan langkah kaki menuju ke dataran masjid yang masih terasa terik matahari walaupun payung gergasi telah dibuka meneduhkan kawasan.
Sepanas hati saya ketika itu.
Istighfar panjang.
Saya orang Tanah Pusaka yang tidak suka bertelekung ketika solat. Maka ketika jemaah lain sibuk menyarung atau membetul-betulkan telekung mereka, saya sudah selamat rukuk dan sujud dalam solat sunat. Saya lebih gemar berjubah untuk memudahkan urusan solat saya. Alhamdulillah, sungguhpun saya hanya sujud di luar masjid, keindahannya masih terserap elok ke dalam diri.
Selepas peristiwa pertama yang mengajar saya tentang survival di Madinah, saya telah merancang strategi yang lebih baik. Saya akan pastikan saya keluar lebih awal, beriktikaf di masjid lebih lama sehingga waktu solat yang seterusnya (Zohor ke Asar atau Maghrib ke Isyak), dan memilih pintu yang tertentu lalu masuk hingga ke hujung kawasan solat wanita berbanding mencari tempat di kawasan dekat pintu. Pengalaman banyak mengajar saya ketika di Masjid An-Nabawi dan saya seringkali mengingatkan diri untuk bersabar sekiranya saya tidak dapat melaksanakan apa yang saya rancang. Allah adalah perancang terhebat!
Pernah satu ketika saya ke masjid seawal dua petang dan berniat untuk berlama-lamaan sehingga Asar, saya sedikit terkejut kerana apabila Asar tiba, masjid masih punya ruang solat. Saya mendapat rezeki berada di saf depan. Dan sesudah solat, masih tidak ramai orang. Saya kira, ada ketikanya Allah mendatangkan kemudahan yang lebih baik sekiranya kita juga berusaha untuk mendapatkan yang lebih baik.
Teringat ayahanda pernah berpesan; Ustaz ayah pernah pesan masa mengaji kecil-kecil dulu. Kalau nak tempat yang baik masa solat, datang awal. Jangan datang lambat tapi sibuk nak duduk depan. Jangan langkah-langkah orang. Kitapun tak akan suka kalau orang langkah-langkah kita. Allah Maha Adil.
Dan itu juga menjadi satu tangkal buat saya. Saya selalu berdu'a semoga saya kuat dan sabar dalam mengejar kebaikan beribadah di Masjid An-Nabawi, Madinah Al-Munawwarah
Saya berdu'a pada satu hari; semoga malam ini Allah memberikan kemudahan buat saya menziarahi Muhammad S.A.W. di taman syurga An-Nabawi!
Raudhah menjadi satu debaran yang luar biasa. Jiwa saya semakin bergetar!
Upon arrival near An-Nabawi. Berlatarbelakangkan suara Ustaz Abdul.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan