Khamis, 21 Mac 2013

Hijrah: Jepun dan Karipap

Dengan nama Allah...


Huk aloh. Sibuk weh. Dok caye sudoh!

Ehe. :p


Sedapnya kalau dapat makan karipap. Eh...???

Alhamdulillah, sudah menginjak ke angka 3. Tiga bulan menetap di Jepun. Susah senang semuanya daripada Allah dan kerana Allah. Saya gembira.

Insha-Allah, mula bulan ke-empat ini saya akan hidup di rumah baru. Permulaan baru (lagi). Ingat senang? Bismillah...

Saya tiba-tiba teringat kisah karipap dan LCCT.


....

Hari itu pagi-pagi lagi emosi dah kacau bilau. Hari Jumaat yang penuh emosional. Sebab saya bakal tinggalkan tanah pusaka untuk berhijrah ke tanah ini, bumi yang dah mula beri lampu hijau pada bunga-bunga sakura untuk menunjukkan diri.

Masih ada persiapan yang belum lengkap, saya cuba bertenang dan uruskan sebaik mungkin. Kali ini, bukan lagi persiapan yang biasa-biasa bila mahu pergi jalan-jalan satu Malaysia. Takkan ada istilah 'boleh balik rumah ambil barang' atau 'boleh beli je kat mana-mana'. Kali ini, saya sendiri tak tahu apa yang akan saya tempuhi. Perasaannya berdebar campur teruja. Takut pun ada. Dan sayu.

Oleh sebab saya terlalu sibuk bersiap-siap, saya lupa akan tiga ekor budak gemuk yang sedang melepak entah di bawah sofa atau atas katil ibu ayah. Hari-hari sebelumnya saya sudah niat akan bertegur-sapa dengan mereka dulu sebelum berangkat. Dan bayang tiga ekor budak tu pun saya tak nampak.

Ayah adalah orang paling tenang hari itu. Macam biasa. Ayah ada satu sifat luar biasa yang dapat memahami isi hati anak-anak dan selalu cuba untuk tidak mengeruhkan keadaan. Saya tahu ayah tahu emosi saya sungguh tak stabil, ayah langsung tak beri tekanan malah memudahkan segala persiapan saya. Ibu, bersikap seperti kebanyakan ibu-ibu, cuba menyiapkan macam-macam untuk saya. Termasuk sambal ikan bilis dan serunding untuk saya sumbatkan ke dalam bagasi. Alahai rindunya masakan ibu!

Bila semua barang sudah siap, siap mandi dan siap berpakaian, saya turun ke bawah dengan tenang. Kononnya.

Ada karipap di atas meja saya sebelum saya keluar, tentu saja ayah yang letakkan sebab ayah tahu saya tak sempat isi perut. Siap berbungkus dengan tisu dan plastik. Saya cepat-cepat masukkan ke dalam beg yang sahabat-sahabat hadiahkan khas untuk saya, lalu turun ke bawah. Dengan niat, karipap terakhir di tanah pusaka akan saya nikmati dalam kereta semasa perjalanan nanti.

Adik-beradik semua ikut sama. Buat saya lebih-lebih beremosi. Sebab saya tahu walaupun kadang-kadang kami bertelagah, bermanja dan bermasam muka, saya tentu akan rindukan mereka. Alahai...

Saya tak lepaskan pandangan mata ke arah syurga dunia saya bila kereta mula meninggalkan perkarangan rumah. Sehingga saya tak nampak lagi hujung atapnya. Dan saya minta maaf dalam hati pada budak-budak gemuk yang tak sempat saya bye-bye. Budak-budak, tolong du'akan ye. Saya bayangkan mereka jawab "Meow ow ow~" tanda OK.

Sempat saya minta ayah singgah ke bank, sebab masih ada satu kad ATM yang belum saya aktifkan untuk kegunaan di luar negara. Adik-beradik yang lain naik kereta satu lagi. Saya hanya bersama ibu dan ayah.

Kemudian mulalah kisah itu....

Saya buka beg dan ambil karipap yang digoreng ibu. Perlahan-lahan suap ke mulut.

Sambil kunyah, satu per satu air mata saya menitik. Betapa saya akan rindukan karipap sesedap ini. Saya cuba cover line, tak mahu ayah nampak dari cermin pandang belakang kereta. Dan cuba menangis tanpa sedu-sedan. Tapi... Rasanya ibu ayah pun tahu sebab mereka pun tak banyak cakap dalam perjalanan.

Saya mula kenang macam-macam. Rumah yang saya dah tinggalkan. Kucing busuk yang saya dah tinggalkan. Sahabat-sahabat baik yang saya dah tinggalkan. Keluarga yang bakal saya tinggalkan. Kehidupan di tanah pusaka yang saya bakal tinggalkan. Macam-macam second thoughts yang datang...

"Betul ke apa aku buat ni?"

"Biar betul aku nak pergi Jepun ni?"

"Boleh ke aku duk seorang di Jepun ni?"

"Macam mana kalau susah sangat nanti?"

"Cukup ke duit aku ni?"

"Tak apa ke tinggalkan ibu ayah ni?"

Dan lagi.

Allahu Allah.

Perjalanan itulah antara perjalanan paling beremosi buat saya.
Sebab saya sendiri belum tahu bila saya akan kembali ke tanah pusaka saya.
Dan adakah saya akan kembali dalam keadaan bernyawa atau sudah ke alam yang satu lagi?


Dan saya kunyah karipap lagi....

Bila saya mula nampak bayang-bayang LCCT, saya tarik nafas panjang-panjang dan senyum lebar-lebar.

"Okay, this is it!"

Biiznillah!

Dan Alhamdulillah. Karipap dah habis.

(Sampai sekarang belum merasa karipap lagi!)

....

Hello sakura! Selamat datang!

Spring is here. Masha-Allah!