Jumaat, 19 Ogos 2011

Sembilan belas Ramadhan: Satu malam untuk diri sendiri dan Dia



Foto satu dan dua: Pemandangan waktu malam di luar Masjid An-Nabawi. Pada waktu solat terutamanya musim haji, kawasan dataran ini juga menampung keperluan saf para jemaah. Payung gergasi pada waktu malam 'dikuncupkan' menjadi tiang-tiang berlampu.



Dengan nama Allah...


Tatkala melihat diri sendiri dalam gambar-gambar semasa di Madinah, saya masih dalam denial bahawa saya tidak direzekikan Allah untuk berlama-lama di bumi itu. Satu malam ketika di sana - barangkali malam terakhir - saya berjalan mengelilingi masjid terbesar di Madinah itu dengan hati yang sungguh-sungguh pilu. Saya cuba membayangkan bagaimana masjid itu bertahun yang lalu. Tanpa payung gergasinya, tanpa kubah canggihnya, tanpa aircondnya, tanpa kemudahan yang sebaik sekarang.

Dahulu, kerajaan Arab Saudi barangkali tidak perlu bimbang langsung tentang kamera para jemaah yang datang bertamu. Tetapi kini, saya jangkakan kerajaan Arab Saudi mungkin saja sedang pening kepala bagaimana mahu menghalang jemaah-jemaah menggambari Masjid Nabawi kerana telefon bimbit zaman sekarang sudah berkamera. Dan telefon bimbit adalah satu keperluan untuk menghubungi keluarga atau rakan rombongan ketika di sana.

Saya pula, pening memikirkan mengapa sebenarnya kerajaan Arab Saudi membuat keputusan untuk melaksanakan larangan mengambil gambar kepada para jemaah yang datang dari segenap pelusuk dunia dan belum tentu dapat kembali lagi.

Saya selalu menyimpan kamera buruk saya pada bahagian bawah beg kecil saya. Dilapisi sepasang sarung kaki hitam yang sama tona dengan warna beg, kemudian diletakkan pula keperluan lain seperti botol air kecil, beg duit kecil, buku du'a atau kitab kecil, dan kain lapik atau sejadah kecil. Paling tidak, saya tinggalkan kamera buruk dan hanya membawa telefon bimbit yang bonda pinjamkan buat saya. Itupun saya pastikan saya letak pada bahagian paling bawah beg.

Hanya sekali, saya tidak menyorokkan telefon bimbit kerana agak tergesa-gesa. Dan ditahan di pintu masuk oleh pengawal wanita bangsa Arab berjubah dan berniqab hitam yang lebih kecil badannya berbanding saya. Entah apa yang dibebelkannya, yang saya faham hanyalah perkataan OFF mungkin merujuk kepada SILA MATIKAN TELEFON BIMBIT ANDA! Maklumlah, bahasa Arab saya hanya pada tahap tadika!

Saya hanya berlalu pergi konon mahu mengikut arahannya dan berpura-pura mencari ruang solat di luar masjid. Tetapi kemudiannya lekas-lekas saya sumbat telefon bimbit saya ke dalam uncang kasut yang saya pegang lalu masuk melalui pintu sebelah. Kali ini, saya selamat masuk ke dalam masjid. Hairan, kerana saya tidak langsung rasa gentar melalui peristiwa itu. Saya lihat sesetengah jemaah Tanah Pusaka seringkali takut-takut untuk masuk kalau sudah ditegur. Barangkali ketika itu jiwa saya tidak banyak kacau, saya hanya mahu masuk ke dalam dan menghadap Tuhan. Jadi apabila perkara remeh begitu berlaku saya malas melayan. Atau mungkin saja, saya terlalu angkuh lalu terlupa bahawa keberkatan ibadah saya terletak kepada ketulusan hati saya sendiri.

Bukan sekali, tetapi berkali-berkali saya memikirkan 'penipuan' saya. Saya tentu saja memerlukan telefon bimbit atas tujuan keselamatan dan keperluan untuk berhubung. Tetapi dalam masa yang sama, larangan tuan rumah merupakan sesuatu yang perlu saya hormati. Etika saya sebagai seorang Muslim sering saya persoalkan. Mungkin saja perkara ini hanya satu perkara kecil dan remeh, tetapi cukup mengganggu ketenangan saya. Saya tetap mengambil gambar ketika di dalam masjid. Walaupun saya sendiri mempertikaikan pendirian kerajaan Arab Saudi yang melarang sebarang pengambilan foto di Masjid An-Nabawi dan Masjidil Haram, saya juga sedar bahawa mereka pasti mempunyai justifikasi tersendiri atas pendirian mereka yang kita perlu hormati.

Entahlah.

Orang dulu-dulu ke sana tanpa teknologi. Tetapi mereka masih menghargai kenangan di sana. Jadi, apa alasan kita untuk menganggap foto kenangan kita adalah satu keperluan penting? Soalan ini juga saya putar-putarkan dalam kepala sepanjang perjalanan saya mengelilingi masjid Nabi S.A.W.

Malam itu juga saya begitu khusyuk memerhati orang sekeliling. Sekali-sekala ternampak jemaah dari rumpun Nusantara. Wajah-wajah Melayu sering menarik perhatian saya. Adakah jodoh saya dengan mereka adalah setakat sekali itu saja, atau sebenarnya saya sudah pernah bertemu mereka dan bakal bertemu lagi? Tentu hanya Allah yang tahu.

Saya suka berseorangan. Ruang itu saya anggap sebagai hak ekslusif saya sebagai manusia biasa dan Sang Pencipta. Apabila saya bermonolog, sebenarnya Allah mendengar. Jadi tidaklah saya anggap monolog saya itu hanya dengan diri sendiri. Allah jualah pendengar setia kepada segala rasa dalam jiwa saya. Saya sering terbabas, apabila meminta yang bukan-bukan kepada-Nya. Saya selalu mementingkan diri sendiri. Saya tamak. Saya berjalan seorang diri dan saya hanya ingatkan diri sendiri. Teruk, ya?

Perjalanan malam itu seingat saya adalah satu perjalanan muhasabah yang begitu bermakna. Saya merindui Rasulullah S.A.W. dalam diam, mendu'akannya, dan berhajat bertemunya. Ya, masih pentingkan diri sendiri dengan hajat yang sebegitu. Saya melihat dari jauh kubah hijau An-Nabawi dan terasa seperti melihat sekeping gambar. Saya enggan menerima kenyataan bahawa hanya sekejap lagi saya tidak akan lagi bisa menghirup udara tempat Nabi hidup dan mati. Kerana itu saya menghabiskan masa yang panjang berjalan dengan perlahan melintasi pintu-pintu An-Nabawi.

Apabila menyedari saya sudah terlalu lama beruzlah sejak selesai isyak, saya lantas memasang niat untuk pulang ke rumah sementara saya yang juga bakal saya tinggalkan sedikit masa lagi. Lalu saya mula melangkah keluar dari kawasan An-Nabawi. Ketika itulah saya teringat Ustaz Abdul tiba-tiba.

Saya begitu ingin tahu, apa perasaan seorang Melayu yang hidupnya di tanah Arab, walaupun menghidupkan ibadah suruhan Allah dan amalan Nabi, jauh dari keluarga dan harus berkerja keras untuk hidup? Bagaimana rasanya hidup seorang diri, walaupun mungkin bersahabat, tetapi hakikatnya seorang. Berseorangan dan hanya dengan Tuhan. Di tanah kering tak berpohon hijau seperti di Tanah Pusaka. Tak berkereta dan hanya berumah kecil, berkongsi dengan sahabat. Tak punya santan kelapa. Tak punya serai. Tak punya belacan.

Kerana perasaan saya, sungguhpun saya sedar sangat payah dan perlu pengorbanan besar, saya sebenarnya bahagia. Sangat bahagia!


Tiada ulasan: