Isnin, 29 Oktober 2012

Buah hati. Ehem!

Dengan nama Allah...

Si dia yang manis alahai!


Akhirnya melangsaikan rindu kepada buah hati saya!

Ini antara buah hati saya.

Ada orang cemburu tak, agaknya?


Hahahaha (gelak jahat!)

Sabtu, 27 Oktober 2012

Kejutan!

Dengan nama Allah...


Alhamdulillah. Selesai 10 Dzulhijjah.

Letih.

Malam sebelumnya tidur sangat lambat selepas cuba menyiapkan juadah pagi raya serta mengemas. Dan terlajak tidur sampai enam setengah pagi. Serius, langsung tak sedar apa. Bila tengok jam, mengucap panjang saya dibuatnya. Masih banyak urusan dapur tak disiapkan. Bila tidur jam tiga pagi itu, sudah niat untuk bangun empat setengah pagi. Tetapi, yang dapatnya enam setengah pagi. Bunyi segala apa pun saya langsung tak jaga.

Turun ke dapur, ibu sudah banyak melangsaikan kerja-kerja yang tertangguh. Saya malu sendiri. Membantu apa yang patut, dan kelam-kabut mandi untuk ke masjid.

Alhamdulillah, langsai solat raya untuk tahun ini. Habis sedikit lambat kerana taklimat yang agak panjang sebelum solat. Khutbah pula sedang-sedang saja.

Pulang ke rumah, siapkan hidangan dan kami langsung makan berlapan. LAPAN.

Sebelum ini keluarga kami hanya TUJUH. Ya, tujuh.

Alhamdulillah, salah seorang adik-beradik saya sudah punya pasangan. Dan mereka sudah punya anak dalam kandungan. Allahu Allah!

Oh. Sebenarnya SEMBILAN. Aha.

Eid ul Fitr sebelum ini mereka berdua beraya di kampung yang satu lagi. Jadi, meja kami tidak penuh seperti raya yang ini. Ini, pertama kali raya meja berkerusi lapan kami penuh. Subhanallah!

Kami selesai salam-salaman, makan-makan, berbual sakan dan mengemas sekitar hampir jam dua belas. Kemudian, yang lelaki sibuk bersiap untuk ke masjid lagi. Yang perempuan sambung mengemas dan berehat seketika. Saya? Syahid sekitar dua jam selepas itu! -__-"

Sepatutnya, ada tetamu mahu datang pagi itu. Tapi, disebabkan panggilan mereka tidak kami jawab (sibuk bergumbira sampai telefon tak diendahkan!), tetamu-tetamu itu tidak jadi singgah. Oh, alahai.

Kami sekeluarga bertungkus-lumus lagi untuk menyambut tetamu seterusnya selepas asar. Dan saya langsung terlupa ke rumah sahabat-sahabat baik saya yang menjemput ke rumah mereka selepas zohor! Allah! Syahid punya cerita...

Sedang bersiap-siap baru teringat. Lantas saya hubungi mereka mohon maaf sejuta kali. Dan kemudian, terima panggilan yang tetamu sudah hampir tiba ke rumah. Dengan kelam-kabut lagi, baru nak solat asar dan mengenakan pakaian menutup aurat. Oh kelam-kabutnya hari raya saya! Aha.

Sambil orang tua saya melayan tetamu, saya macam mati kutu. Banyak benda nak buat tapi tak terbuat. Akhirnya, sekadar kemas-kemas apa yang patut dan buat persediaan seterusnya untuk sambut tetamu selepas maghrib pula.

Niat di hati, mahu singgah rumah sahabat-sahabat yang menjemput siang itu, sekadar cukup syarat jemputan ziarah saya. Tetapi sejurus tetamu yang selepas asar ini beransur, hujan lebat dan hari sangat gelap. Kalau saya keluar rumah juga, ada kemungkinan yang saya akan pulang lewat ke rumah. Maka akhirnya, tetap jua tinggal di rumah.

Sementara menunggu sehingga waktu isyak, saya berhubung dengan sahabat-sahabat yang lain di telefon. Sekadar berbual dan bertanya khabar. Sempat, saya mengeluh penat.

"Kata nak datang ni, tak sampai-sampai lagi. Penat tunggu ni. Nak tidur, aci tak?"

Sahabat saya yang ini memberi respon paling saya perlukan saat itu.

Allah.

"Tetamu itu kan rezeki?"

Rezeki.

REZEKI.

Saya langsung sedar, betapa Allah itu mengasihi saya dan keluarga saya. Kerana masih ada rezeki yang Allah kirimkan kepada kami.

Sebaik sahaja saya menginsafi keluhan saya yang tadinya terasa begitu berat, tetamu-tetamu itupun tiba.

Ajaibnya, hilang segala penat-lelah semuanya! Wow.

Rezeki.

Hari ini rezeki kami melimpah ruah. (Rezeki saya lebih-lebih lagi!)

Thanks to Allah, of course!

Berbaloi sungguh, pengorbanan tidak tidur lama. Tangan luka-luka. Badan sakit-sakit. Otak penat-penat.

Bila lihat, tetamu gembira dengan hidangan. Bila tengok, tetamu seronok dengan layanan. Saya harap, tetamu-tetamu ini memberikan saham buat saya sekeluarga. Amiin.

Tetamu sebelah malam balik agak lewat. Satu ruang tamu gamat dengan gelak-tawa kami. Inilah dia namanya keluarga. Menghidupkan kehidupan.

Saya macam sedang tonton televisyen.

Tonton kehidupan saya sendiri.

Setiap genggaman tangan antara kami, amat terkesan di hati saya. Terutamanya yang paling erat, petang itu. Saya, semacam mahu minta kepadanya mendu'akan saya. Tetapi kerana eratnya genggaman tangannya itu, lidah saya langsung kelu. Saya hanya boleh senyum, itupun sikit-sikit. Alahai.



Semoga hari raya semua orang yang lain, seindah hari raya saya. Sederhana, tetapi penuh dengan rahmat kasih sayang-Nya.

Esok pagi, ada tanggungjawab lain pula.

Saya harap, Toksu yang sedang berjuang dengan kesakitan pada tubuh badannya nun jauh di utara, diberikan kesempatan untuk terus hidup. Semoga saya diberi kekuatan untuk menziarahinya di sana.

Indah kan, kejutan-kejutan Allah?

Jumaat, 26 Oktober 2012

Selamat berkorban!

Dengan nama Allah...



Pengorbanan?

Bikin menangis. Lagi dan lagi.

T_T

Uhuk. Uhuk.


Ni tengah berkorbanlah ni, tak dapat nak tidur lagi.

Tabahlah duhai hati.



Salam Eid Al Adha.

Rindu Makkah.


Khamis, 25 Oktober 2012

Yeay!

Dengan nama Allah...


Hah. Dah pukul dua pagi ni.

Awat hang dak tidoq lagi?



Yeay!

9 Dzulhijjah!

Yeay!

Hari Arafah!

Yeay!

Puasa!

Yeay!

Berdebar!

Yeay!

Tak sabar nak tamak dalam du'a!

Yeay!

Berdebar lagi!


"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya (dari api neraka) sebagaimana pada hari Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga apabila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, "ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya." (Riwayat Muslim)
matannya : ( يكفر السنة الماضية والباقية)


Selasa, 23 Oktober 2012

Second Thought (-___-")

Dengan nama Allah...


Tiba-tiba, mendapat second thought tentang sesuatu.

Tiba-tiba, ada keraguan.

Tiba-tiba, perlu fikir lebih dalam. Dan jauh.



Ya Allah, aku tagih petunjuk-Mu.

Fikir masak-masak!

Ingat senang ke nak senang? Kalau tak berfikir, mungkin akan lebih menyusahkan.


Selamat berfikir. 

P/S: Tak sabar nak hari wukuf! Allahu Allah!

Sabtu, 13 Oktober 2012

Lari laju-laju dan jauh-jauh

Dengan nama Allah...



Kadang-kadang perlu lari laju-laju dan jauh-jauh, sampai semput dan penat.

Lepas tu, baru reti bahasa betapa bernafas dan ada tenaga itu nikmat. Nikmat yang selalu sangat buat-buat tak perasan.

Khamis, 11 Oktober 2012

Hikmah dan Ibrah di Singapura #1

Dengan nama Allah...


Saya sempat bermusafir baru-baru ini ke beberapa tempat.

Saya mahu kongsikan perjalanan saya ke negeri Temasik.

Singapura.

Terlalu banyak hikmah dan ibrah yang telah saya kutip.

Allahu Allah.




Pertama kali saya memandu sendiri ke tanah Singapura. Bersusah sendiri tanpa ibu dan ayah, atau adik-beradik, atau sahabat-sahabat. Hanya apabila saya sampai ke sana, saya ditemani sepupu saya warga Singapura. Ya, saya punya keluarga juga di Singapura.

Saya merancang untuk berada di Singapura hanya untuk satu hari. Saya pilih hari Ahad. Pada hari Ahad juga, pemandu bukan rakyat Singapura tidak perlu bayar sejumlah 'yuran'. Seingat saya, sekitar dua puluh Singapore Dollar untuk satu hari. Pada hari Ahad juga, sesetengah tempat meletak kenderaan (kawasan perumahan) tidak dicaj.

Ya, kawasan perumahan juga wajib bayar parking fee mengikut kadar minit! (Kawasan apartment atau lebih dikenali sebagai flat houses). Kalau condominium di Singapura, dikira perumahan yang lebih mahal dan kadang-kala 2 tingkat. Tetapi rumah flat di sana, bukanlah seperti rumah pangsa di Malaysia yang kotor, tidak terurus, dan lebih sinonim dengan golongan berpendapatan rendah.

Seperti yang selalu kita dengar, untuk masuk ke Singapura dengan kenderaan sendiri sangat banyak prosedur. Mula-mula perlu isi kad putih di immigration. Ala-ala di airport. Perkara biasa kot. Kemudian, perlu beli autopass card kalau masih tidak ada. Kereta yang saya pandu ketika itu belum pernah didaftarkan di Singapura, jadi saya harus mendaftar buat pertama kali. Untuk makluman, kalau kereta kita sudah pernah didaftarkan kita hanya perlu guna kad autopass yang satu itu saja. Boleh diperbaharui kalau tidak silap setiap lima tahun. Kad itu juga, hanya boleh guna untuk kereta yang itu saja. Tidak boleh guna untuk nombor pendaftaran yang lain. Sebab itu, saya harus daftar kereta yang ini memandangkan dulu keluarga saya memandu kereta yang lain untuk masuk ke Singapura.

Prosesnya agak leceh.

Perlu letak kenderaan, keluar dari kereta dan mengisi borang di kaunter. Kemudian masuk ke dalam pejabat untuk buat bayaran. SGD10 untuk satu kad; SGD6 untuk kad, dan SGD4 untuk nilainya. Ala-ala Touch N Go di Malaysia. Dan, tentu kita perlu top-up. Kerana SGD4 itu takkan cukup untuk caj meletak kenderaan, dan kadar tol semasa mahu keluar dari Singapura nanti.

Di pejabat itu, tidak ada perkhidmatan tambah nilai. Perlu cari 7 Eleven atau seangkatannya.

Selesai mendapatkan Autopass Card, saya lantas menuju keluar dari kawasan border dan immigration.

Saya bertawakal memandu ke tempat pertemuan dengan sepupu saya, walaupun sebenarnya langsung tidak buat homework tentang Singapura. Saya berhenti di bahu jalan, tempat yang dijanjikan. Agaknyalah.

Lekas-lekas capai telefon, dan baru perasan bahawa telefon saya tidak ada service. Telefon yang lagi satu pula hanyalah prabayar, dan saya tidak menambah nilai sebelum masuk ke Singapura. Berdebar juga sebenarnya, sebab saya bimbang sepupu saya akan cuba menelefon saya di talian saya yang tidak berfungsi itu.

Saya menunggu dengan penuh pasrah.

Kemudian dari cermin kereta, saya nampak sebuah motosikal menghampiri dari belakang. Saya berdu'a semoga itu sepupu saya dan suaminya. Alhamdulillah! Bantuan Allah itu masih ada! Lega.


Selesai bersalam, berpeluk dan bertanya khabar, saya ekori motorsikal suaminya perlahan-lahan, untuk ke rumah mereka di Tampines. Sempat disapa oleh sebuah kereta mewah dari belakang, dengan honk. Setahu saya, saya nampak kereta itu masih jauh lalu saya bertukar lane sesudah memberi isyarat kanan. Tetapi nampaknya si mewah itu sengaja lebih memecut dan berada di belakang saya dengan cepat sekali. Hoh. Road bullies! Mentang-mentang nombor plat kereta saya memang jelas kereta dari Malaysia!

Tiba-tiba teringat kejadian di imigresen Singapura tadi.

"Awak ke Singapura ni untuk apa?"

Awak? Pegawai ini berawak-awak dengan pelanggan? Amboi. Kelakar.

"Ziarah keluarga. Jalan-jalan."

Kalau ikut hati mahu jawab dengan dalil. Berjalan di bumi Allah, nak kutip hikmah yang ada. Tapi tak terkeluar. Penakut barangkali.

"Rumahnya di mana?"

Banyak tanya pula. Nak ikut agaknya, ya?

"Errrr... Tak pasti. Tak ingat. Tak tahu."

Sambil senyum kambing dari tingkap kereta.

"Habis tu, macam mana awak nak pergi? Kalau awak tak tahu?"

Okey, bunyinya agak kurang sopan ya. Tak perlu kot, nada yang macam tu. Saya pun tak tahu awak, tapi Allah temukan juga. Boleh tak, jawab begini?

"Tak apa, nanti jumpa di Woodlands, cousin tunggu."

"Woodlands?"

"Ya, saya. Insha-Allah."

"Erm."

Memang beradab sangat encik pegawai Melayu beragama Islam ni. SANGAT.

Lepas diuruskan passport saya dan selesai soal-jawab yang semacam tak perlu tu, saya ucap terima kaseh dengan kurang ikhlas. Ampunkanlah saya ya Tuhan!




Singapura, pemandu-pemandunya sopan betul ya?

Saya gelak sendiri.

Berani nak pecut lebih 90km/j? Saman!

Sebab itu, bila masuk Johor, nombor plat S di depan dan berhuruf di belakang tu, memandu macam pelesit. Lepas gian. Kalau di lebuhraya utara-selatan, merekalah juara. Siap main high-beam, ikut belakang kita 1cm di belakang. Nak suruh kita ke tepi, supaya dapat gunakan meter kereta yang sampai 220km/j tu.

(Tapi, pemandu Malaysia pun ada yang begitu.)

Ajaibnya, kenapa di Malaysia pemanduan warga Singapura jadi lain? Bermakna, walaupun enforcement mereka berjaya di negara sendiri, tetaplah jua sikap mereka itu tidaklah di tahap yang boleh kita hormati. Saya lantas mengambil ibrah daripada hal ini.

Saya juga teringat satu kejadian, di mana saya dan keluarga dalam perjalanan pulang ke Johor. Sempena hari raya barangkali.

Kami berhenti di stesen minyak, dan terlihat sekumpulan warga Singapura bermotor besar sedang bersantai di situ. Mereka meletakkan motor-motor besar (dan mahal) mereka berdekatan tangki minyak (tempat nak disalurkan minyak ke tangki bawah tanah daripada lori tangki).

Dengan lengkap berbaju kulit, dan menyarung boot. Bergaya habis kononnya.

Dan mereka sedang merokok.

Hati saya panas. Mereka, ada otak atau tidak sebenarnya?

Saya tidak bermaksud untuk racist, tetapi cuma mahu menyampaikan bahawa mereka semua berbangsa Cina.

Salah seorang ahli keluarga saya yang mempunyai autoriti, menghampiri mereka untuk menegur. Bimbang juga, kalau meletup satu stesen minyak itu bagaimana?

"Hello, how are you?"

Mereka pandang atas bawah sambil buat muka arrogant.

"Hmm?"

"Hope you're all doing well. But excuse me, do you mind, not to smoke here?"

Mereka pandang atas bawah lagi sambil buat muka annoyed. Makin disuanya puntung-puntung rokok itu ke mulut dan menyembur-nyembur asap rokok tanda protes. Amboi, macam negara sendiri nampak?

"Excuse me, do you mind? This is a petrol station."

Usaha lagi. Kurang peduli.

Lantas, ahli keluarga saya itu mengeluarkan kad kuasanya.

"Please?" Senyum.

"Oh sorry, sorry!"

Dan masing-masing memadamkan api rokok, dan berdiri tegak-tegak macam anak murid diterjah cikgu.

Jadi, perangai yang seperti ini, salah undang-undang atau salah didikan?

Mana pula terbangnya rasa hormat kepada negara orang, walaupun mungkin mereka menganggap negara mereka jauh lebih maju dan bagus?

Sedih, bukan?

(Tapi, perokok di Malaysia pun ada yang begitu.)

Lihatlah bagaimana Allah mengajar kita dalam setiap perjalanan yang kita lalui. Walaupun nampak kecil, kalau kita menekuni hikmah dan pengajarannya, tentu banyak yang boleh dijadikan sebagai pemangkin perubahan diri.

Saya mengucap panjang apabila melalui pengalaman berdepan sikap-sikap orang lain yang kurang adab dan sesetengahnya langsung tidak berakhlak.

Semoga saya, diberi Allah kesempatan untuk berakhlak baik sepanjang hayat saya.


Apabila sampai di rumah sepupu saya, saya mengucap syukur. Tidak sabar berjumpa ibu saudara saya yang sedang menunggu!

Eh, bersih betul kawasan sekitar.

Oh, ibrah lagi!










Isnin, 8 Oktober 2012

Yahudi tu dilaknat doh! Kena lawan doh!

Dengan nama Allah...


Apa yang bakal saya tulis, bukanlah menggambarkan pegangan saya. Ini, hanyalah sebagai 'pembuka selera' bagi kita berfikir-fikir, mengkaji-kaji, dan menilai-nilai.

(Dan sebagai usaha menjauhi fikiran yang tidak-tidak tentang Oscar si kucing gemok yang saya cintai.)



Yahudi - kita tahu - sentiasa mempunyai agenda menidakkan Islam.

Dan bangsa itu juga - kita tahu - mempunyai kemahiran dan kelebihan yang mungkin saja tidak dipunyai bangsa kita. Errrr maksud saya, agama kita. Eh bukan, bangsa kita. Agama kita ini sempurna, cuma penganutnya (iaitu kita!) yang tidak sempurna.

Kita - orang Islam - nampaknya semakin ketinggalan dan lebih suka bertelagah sesama sendiri berbanding memajukan diri dengan teknologi dan ilmu dunia.

Saya teringat kata-kata Ustaz Nouman Ali Khan. Katanya, umat Islam lebih suka bicara soal betapa televisyen itu fitnah, majalah itu fitnah, internet itu fitnah, facebook itu fitnah, sekolah duniawi itu fitnah, ini itu semuanya fitnah.

"For God's sake, then the oxygen itself is a fitnah!"

Sambil khalayak tergelak dengan aksi dan kata-katanya. Termasuk saya.

Ya Rabb, dunia ini barangkali adalah fitnah. Tetapi tetap jua Allah izinkan untuk kita meneruskannya?

Yang tersiratnya, apa?

Ustadh Nouman Ali Khan
Terima kaseh Pak Cik Google!

Point taken!


Bayangkanlah, kita mempunyai senjata. Buatan yang lain (atau mungkin buatan kita sendiri) dan buatan yahudi. Buatan yahudi adalah lebih canggih, hebat dan berkualiti. Kita mahu guna yang mana?

Boleh atau tidak, kita menggunakan senjata buatan yahudi itu untuk melawan yahudi sendiri?

Satu, sudah tentu boleh.
Dua, tak percaya kebolehan sendiri?

Banyak persoalan yang boleh kita timbulkan di sini.

Apakah kita sebenarnya tidak yakin akan kemahiran dan kelebihan kita sendiri?
Sekiranya yakin, adakah kita sudah bersedia untuk menggunakannya?
Kiranya telah bersedia, adakah sebenarnya teknologi kita itu lebih baik atau lebih menghancurkan kita?
Kalau mahu menggunakan teknologi yahudi itu sendiri, tidakkah kita sedar bahawa sesungguhnya mereka lebih tahu teknologi mereka sendiri dan faham akan kekurangan serta titik lemahnya?
Risiko apa yang sedang kita mainkan?

Dan banyak lagi.

Ambil saja contoh, laman sosial paling popular iaitu facebook.


Ada orang bilang, itu buatan yahudi. Yahudi guna untuk pelbagai agenda.

Habis tu, internet bukan buatan yahudi dan bukan Islam? Komputer? Elektrik? Kereta? Kapal terbang? Televisyen? Telefon? Akhbar? Dan sejuta macam lagi.

Yang mana buatan Islam? Habaq mai kat cek?

(Saya persoalkan pada masa sekarang, bukan sejarah terciptanya sesuatu teknologi itu.)

Sesiapa yang tahu, sila senaraikan teknologi buatan orang Islam yang mendapat tempat di hati pengguna dunia sebaris dengan Microsoft, Facebook, Toyota, Apple, Sony, Dell, Johnson & Johnson mahupun Unilever?


Setiap ulama' juga punya pandangan tentang penggunaan barangan buatan orang BELUM Islam, termasuk yahudi. 

Saya secara peribadi tidak suka akan tindakan terburu-buru sesetengah orang yang taksub tidak bertempat dalam memerangi musuh-musuh Islam. Kalau semua teknologi kita tidak boleh guna dan tidak pula kita mengusahakan alternatif, orang Islam mahu lawan pakai apa? Air liur semata? Anak-anak muda mana yang mahu dengar?

Kita, harus terima hakikat bahawa dakwah dan tarbiyah itu perlu seiring dengan masa. Bukan terkebelakang, jauh tertinggal.


Apa saja bisa jadi fitnah. Hatta cara berpakaian sekalipun. Yang penting adalah kebijaksaan kita, bersama kebergantungan kepada Allah. Maksudnya, ilmu dan penyerahan diri. Bukan berilmu untuk tunjuk pada dunia. Sebaliknya berilmu untuk Dia yang di langit.

Kan cantik?


Bila kita dengar orang bilang; Yok boikot McD!

Kita skeptikal. Kita mencebik. Kita pandang tempat lain buat tak tahu.

McD sedap kotttttt. 

Dan kata kita yang pandai ni; Kasihanlah pada mereka yang duk mencari rezeki di McD. Kita support orang kita, bukan McD.

Just to make a point, rezeki Allah itu hanya di McD kah?

Kecil. Belanja setakat 10 ringgit apalah sangat. Berapa sangat dapat kepada yahudi?

1 sen seorang, satu hari. Seminggu? Sebulan? Setahun? Sila buat kira-kira sendiri.

Cuba bayang, duit 1 sen kita itu buat beli peluru tembak kepala budak 6 tahun di Palestin. Masih nak bilang; 1 sen je kottttt! ??

Ketahuilah, saya juga masih gagal menetapkan pendirian dalam berMcDonalds.

Tahun ini, sudah tiga-empat kali saya menjamah McD. Ya, hasil ajakan orang sekeliling yang tidak saya katakan "Takmo lah!". Ingat senang?


Itu masalah kita. Eh bukan, itu masalah saya. Saya tak kuat mana.


Saya masih berfacebook. Masih menonton televisyen. Masih berinternet dan beryoutube.


Cuba nilai pula, kalau kita (yang kononnya penentang zionis, penentang yahudi laknatullah, tentera Islam terhebat) tidak ambil tahu soal teknologi dan apa yang menjadi kegilaan anak-anak agama kita, apakah sebenarnya kita bisa melawan apa yang tidak kita ketahui?


Kata orang dolu-dolu, nak lawan musuh harus kenal musuhnya itu bagaimana.

Takkanlah setakat tahu cakap; Tak kenal maka tak cinta?

Habis tu, bagaimana mahu lawan kalau tak tahu musuhnya siapa, kekuatannya apa, duduknya di mana, strateginya bagaimana?

Terus-terang cakap, itu BODOH namanya.



Umpama Lee Chong Wei mahu lawan Lin Dan, tapi tak dibuatnya lebih dulu homework sebelum ke gelanggang. Buta-buta saja masuk lawan. Untung, menang. Kalau tidak, kalah. Usaha? Kosong. Sebab hanya syok sendiri training, dan terus pergi ke perlawanan. Training pula, ala-ala bodoh sombong. Tak dirujuk jurulatih, orang-orang berpengalaman, dan tak sudi hadir apa-apa perlawanan persahabatan sebab rasa tak guna. Dah hebat kononnya.


Eh, boleh pakaikah analogi begini? Eheh.


Jadi, kita?

Boleh, keluarkan segala bagai dalil. Yahudi ini, yahudi itu.

Tetaplah juga, berbalik kepada diri kita sendiri.

Solat 5 waktu amacam?
Berjemaah, ya atau tidak?
Puasa sunat Isnin-Khamis?
Makan guna garfu di tangan kanan atau kiri?
Minum berdiri atau duduk?
Keluar rumah kaki kanan atau kiri?
Baca bismillah sebelum tidur?
Wudhuk masa solat saja atau sepanjang masa?
Pakaian tutup aurat tak?
Telinga selalu dengar ayat-ayat cinta Allah tak?
Mulut selalu senyum ikhlas atau lebih banyak gosip liar?

Dan lagi.


Setiap orang, ada perjuangan yang tersendiri.

Bila ada orang sibuk berjuang akan NGOnya menyelamatkan Palestin, tolonglah jangan cakap "Weh, kat Malaysia ni pun ramai gila orang susah. Sibuk kat luar apa hal?"

Hangpa buat apa untuk tolong orang Malaysia susah yang hangpa duk kata tu? Ada? Kejap kejap, cek rasa cek tahu jawapan hangpa.

"Kalau tak boleh tolong tenaga dan harta, cukuplah dengan du'a!"

Ceh. Ayat sama.

Bila ada orang sibuk mengaji agama, sebar benda baik di facebook, cuba berubah, tolonglah jangan cakap "Weh, takyah tunjuk baiklah weh. Kelakar tengok kau berubah. Biar betul?"

Hangpa, takmau ikut berubah sama ka?

"Belum sampai seru." Itu jawapan hangpa?

Nak tunggu malaikat maut seru kaaaa?

Okey. Terlebih emosi. Maafkan saya.


Kita (ya kita, termasuk saya!) suka sangat judgemental. Perkecilkan usaha orang lain, dan bermegah dengan diri sendiri. Bajet bagus (bak kata Prof. Muhaya).

Bila idea kita orang terima dan puji, bangga diri tak tentu hala. Sepatutnya istighfar, sebab belum tentu idea itu bawa kebaikan. Boleh jadi di masa depan, bawa kesusahan dan keburukan yang tidak kita sedar. Bak kata Ustaz Pahrol Mohamad. Juoi.

Baru berilmu sikit, itupun berguru dengan hanya seorang manusia yang belum tentu betul. Dah pandai keluar fatwa sendiri itu ini. Ego tak bertempat, sanjung hanya seorang guru dan anggap semuanya betul. Sedangkan kita dituntut untuk belajar daripada banyak sumber dan menilai sebaik mungkin. Sebelum sibuk taksub dengan hanya seorang manusia yang kononnya paling alim dan benar.

Memang bagus sangat sikap macam ni kan? (Baca: Perlian)

Orang macam kita kah yang mahu melawan yahudi laknatullah tu?




Jom, muhasabah diri. Pandang dunia dari sudut berbeza. Sentiasa sedia menggali ilmu dan rajin pula berfikir-fikir. Elakkan sekadar mendengar dan menelan bulat-bulat tanpa pertimbangan.

Stop being just us. Let us be a better us.

Ya, kita anak-anak muda yang perlu pandang jauh. Bukan sibuk mengharamkan ini, dan membakulsampahkan itu. Kita anak-anak agama Islam yang bijak dan penuh hikmah.

Kan?




Ahad, 7 Oktober 2012

Faham, tapi.... (Menangis lagi!)

Dengan nama Allah yang telah mengurniakan hati dan seisinya...


Semalam, hampir sepanjang hari 'berkabung'. Tergolek-golek seorang diri di dalam bilik, mengelak-ngelak terkenang yang bukan-bukan.

Rindu Oscar.

Hanya di bilik tidur sendiri, kurang ada memori Oscar. Kerana saya mengharamkan hatta seekor kucing sekalipun di dalam bilik tidur saya. Hanya tiga-empat kali barangkali, Oscar pernah menjelajah bilik tidur saya dan elok terbongkang di atas katil saya.

Lebih 'selamat' rasanya, berkurung bersendirian.

Tidak makan pagi, tidak juga bertengah hari. Hanya makan angin dalam bilik sendiri.

Bodoh sekali barangkali, ya?

Jam empat petang turun ke bawah, mencari air walaupun kurang selera nak menelan. Hey, hidup perlu terus pandang ke depan. Jangan kufur nikmat, tahu?

Ada baki makanan tengah hari yang memang sengaja disimpan buat saya.

Ambil mangkuk cantik dibeli ibu, sepasang sudu garfu berkilau dan tarik kerusi meja makan perlahan-lahan.

Duduk. Nampak Kenit duk terbaring di atas alas kaki. Hai lah Kenit, kamu tak rindu Oscar?

Saya bangun dan duduk bercangkung di sisi Kenit. Kenit seperti biasa, tergolek-golek disapa saya. Mula tergedik-gedik mahu lebih perhatian dengan bunyi-bunyian yang tak macam kucing. Kamu ni, sebenarnya kucing atau burung? Tak bunyi meow pun. Macam burung!

Mulalah air mata bergenang.

Ah sudah. Ni yang malas ni. Dah kata dah tadi jangan keluar bilik. Kan dah nangis....

(-_-)

"Kenit... Rindu Oscar lah... Kenit tak rindu Oscar?"

Air mata dah bercucuran mengalahkan orang mati suami.

Allah Allah.

Saya bangun dan menjenguk luar tingkap. Ternampak tanah bekas kuburan Oscar di tepi jendela dapur. Makin berlinang air mata.

Hanya kerana seekor kucing.

Cepat-cepat saya sapu air mata di wajah kusam saya. Walaupun hakikatnya tak berguna sebab air mata masih lagi berderai-derai. Saya duduk kembali di meja makan dan menyenduk apa yang ada ke dalam mangkuk.

Sambil makan, sambil menangis.

Tragisnya.

"Jangan kufur nikmat, hai diri. Janngan kufur nikmat. Allah beri makanan ini, Allah beri nafas. Allah beri hikmah. Jangan kufur nikmat. Makan betul-betul. Kasi kuat badan, untuk sambung hidup sebagai ibadah."

Kata saya kepada diri sendiri.

Kalau tadi menangis rindukan kucing gemok yang dah sepuluh tahun bersama, sekarang menangis rindukan dia bercampur malu dengan Allah.

"Come on lah, Allah kasi can macam-macam ni. Kau nak nangis seorang macam ni sampai bila?"

Kata saya lagi kepada diri sendiri.

Makan punya makan punya makan, walaupun tak kenyang, saya berhenti. Bangun dan membasuh apa yang perlu. Air mata dengan air basuhan dah berpadu.

Dulu, basuh pinggan di sini selalu nampak Oscar lalu. Lalu saya akan terjerit-jerit;

"Oka mokkkkkk! Nak gi ane tuuuuu?"

Oscar mesti menjawab. Paling kurang pakai matanya. Walaupun saya tak faham bahasa kucingnya.

Ah sudah. Itupun nak terkenang?

Cepat-cepat kesat air mata lagi. Kali ni cuba untuk lebih tabah. Sebab nak naik atas lalu depan adik yang sedang tonton TV di ruang atas. Malu beb.

Jalan cepat-cepat masuk bilik. Kunci pintu dan hempas badan atas katil.

Menangis lagi.




Ya Allah, sampai begini Kau kurniakan kaseh sayang aku pada seekor kucing gemok? Sampai aku rasa kehilangan yang sungguh-sungguh?

Apa hikmah-Mu ya Allah? Apa hikmah-Mu?


Tadi, terserempak ayah di tangga rumah, waktu ke bawah untuk ambil air.

"Hai, lama tak nampak?"

Dalam nada sinis tapi tersenyum manis.
Maklumlah, dari pagi tak tunjuk muka.

"Berkabung."

Sepatah.

Ayah diam. Memahami barangkali.

Terserempak ibu;
"Ha, macam mana? Dah?"

"Dah apa?"

"Istikharah?"

"Aha. Itu kena tunggu ayah."

Sambil gelak-gelak.


Rasa macam lama tak gelak.

(Baru sehari tak gelak sebenarnya!)



Ha tengok! Tengok weh! Tengoklah duhai diri!

Allah itu Maha Adil. Dia tarik sesuatu, dan mungkin akan diberikannya lagi sesuatu yang lain.

Apa nak risau?



Hidup mesti terusssssss.

Ada faham???



Kata saya kepada diri sendiri.




Okey, faham. Tapi, Rindu Oscar.


Sob sob sob.

T_T





Sabtu, 6 Oktober 2012

Bye Oscar! (Dan menangis teresak-esak)

Bismillah.

I have to warn you, I'm writing this with tears running down.

T_T

Allah has took a family member away from us, yesterday morning. So sad.


October 5th, 2012.

Oscar (a.k.a. Osman) has been with us for more or less 10 years now. This morning, Allah took him away from us.

Kajian psikologi menyatakan bahawa kehilangan haiwan peliharaan adalah seperti kehilangan ahli keluarga sendiri. So true!

30 September yang lepas, birthday 3 beradik - Boroi, Middle & Kulut. Middle & Kulut sudah beberapa bulan hilang, langsung tak pulang. Saya baru terkenang-kenang dan TERnangis-nangis Ahad lepas waktu pulang ke rumah.

Hari ini, Allah mengambil nyawa Oscar di hadapan mata ayahanda dan saya, setelah diserang 5-6 ekor anjing liar betul-betul di luar rumah kami. Rasanya baru beberapa minit saya melihat Oscar sebelum ayah memberinya breakfast, dan sempat terdengar suara garau Oscar sebelum naik ke atas bertukar baju untuk keluar. Saya sempat 'mengejek' Oscar seperti biasa; Eeeee kucing gemokkkk!

Selepas ini, saya dah tak boleh jerit-jerit kat Oscar;
Oti omok usuk tak mandi!
Adik cu mok!
Cimomok usuk!
Adik cu Nana eeeeee!
Kucing gemokkkkk!

Dah tak boleh tepuk-tepuk badan Oscar, dah tak boleh tarik-tarik telinga Oscar, dah tak boleh marah Oscar bila dia selalu mengalah pada Kenit, Jerry atau Boroi waktu bagi makan, dah takkan nampak Oscar terbaring depan pintu bilik ibu ayah, dah takkan dengar Oscar meow-meow luar pintu bilik waktu tengah malam minta makan & minum.

Sob sob sob T_T

Beberapa bulan kebelakangan ini, waktu tak ada orang saya selalu usap kepala Oscar sambil cakap dengan dia;
Oscar dah lama dengan kitorang. Du'akan Nana tau, du'akan keluarga kitorang tau. Sorry tau kalau ada masa Oscar lapar kitorang tak bagi makan, kitorang marah Oscar bila Oscar nak kitorang teman Oscar makan, kitorang tak layan Oscar sangat. Oscar jangan pergi dulu tau. Nanti tunggu Apit ada baby, tunggu Nana ada suami, kena jumpa diorang dulu tau. Oscar gemokkkkkk~ (sambil tepuk-tepuk badan dia juga)

Perancangan Allah itu lebih baik. Pengajarannya untuk saya cukup besar. Hargai apa yang ada depan mata. Bersedia atau tidak, suka atau tidak, mahu atau tidak, nyawa kita semua akan dituntut kembali. Selagi masih ada, jom kita pakat-pakat hargai satu sama lain. Kang dah tak ada, nangis sedu-sedan tak berlagu je. Baru hilang kucing dah sedih bukan main. Nanti hilang keluarga & sahabat-sahabat, macam mana?

Saya du'akan, 10 tahun kami dengan Oscar, Allah kurniakan pahala atas layanan kami padanya, makanan yang kami berikan padanya dan kaseh sayang kami padanya. Saya juga mohon Allah mengampunkan kami andai ada saatnya kami menganiayainya, juga Middle, Kulut dan Baby Kecik yang sudah hilang itu. Semoga Oscar dan yang lain-lain memberikan saham buat kami sekeluarga di akhirat nanti.

Sekarang tinggal 3 - Kenit, Boroi dan Baby Jerry. T_T

Kucing berkurang, tapi orang insha-Allah bertambah.

Hikmah Tuhan itu, sungguh mempersonakan bukan?

Sad and happy, at the same time. Allahu Allah. You're the greatest planner! ♥ Thanks ya Allah, for these wonderful 10 years with him. Syurga dah tentu, kan?


Bye Oscar! We love you! ♥

Khamis, 4 Oktober 2012

Realiti tamak?

Dengan nama Allah...


Masalah kita adalah terlalu selalu meminta-minta, dan apabila permintaan-permintaan itu dipenuhi (tentunya oleh yang di langit) kita sendiri terkaku sendiri serta tidak menghargai.

Seorang manusia telah mengingatkan saya;

"Dalam beribu pasti membeku, perlu satu pemecah itu, bila perlu apa dimahu, jangan diragu saat berliku. Adakala petunjuk dah diberi, cahaya dah menyinari, tapi sebab syaitan yang iri, kehadiran diri bagai sepi."


Saya malu sendiri. Betapa saya terhegeh-hegeh bersedu-sedan terlampau selalu. Menagih kaseh Tuhan dan perhatian-Nya. Terminta-minta akan rezeki yang macam-macam.

Dan Dia, selalu sangat memberi. Tanpa saya sedari dan juga tanpa saya hargai.

Bila sudah dikurniakan, saya sendiri terkapai-kapai. Antara mensyukuri dan melepaskan pergi.


Ya Tuhan, perjelaskan ia di mata aku. Agar aku dapat lebih mencintai-Mu.

Masalah kita?


Mengharapkan rezeki yang melimpah-ruah. Tetapi apabila dilimpahkan ia, meminta pula rezeki yang lain.

Realiti?

Adakah sebenarnya kita manusia ini, teramat tamak fitrahnya?

Isnin, 1 Oktober 2012

1 Oktober 2012

Dengan nama Allah...


Masha-Allah. Masha-Allah.

Sepantas ini masa berlalu. Terduduk saya melihat tarikh hari ini.

Sepantas itu?


Maha Besar Allah yang memberikan usia.


Sejak kurang lebih seminggu yang lalu saya tidak berada di syurga dunia saya. Kiranya saya bermusafir dan berusaha mengubah diri. Dua-tiga kesilapan telah saya lakukan sepanjang perjalanan itu. Dua-tiga kejutan telah saya terima sepanjang waktu itu juga. Ada yang membuahkan kegembiraan, ketenangan, dan kesyukuran. Dan tentu sekali ada juga yang membawa kedukaan, kekecewaan, dan kegundahan di jiwa saya.

Seorang sepupu telah selamat disatukan dengan lelaki halalnya, setelah melalui pelbagai kisah menyedihkan termasuk dipaksa berkahwin dengan lelaki lain. Benarlah jodoh itu pada hakikatnya di tangan Allah Taala tanpa ragu. Saya sebak apabila Al-Fatihah dibaca apabila para saksi mengesahkan lafaz akad si pengantin lelaki. Lebih sebak daripada pengantin perempuan yang duduk elok di sebelah saya. Masha-Allah masha-Allah, saya tidak setabah dia barangkali. Melihat seorang pak cik melepaskan anak perempuannya, memberi satu kesan yang sangat besar buat saya. Saya mohon Allah merahmati mereka, dan mengurniakan syurga buat keduanya.

Sepanjang perjalanan saya yang saya rasakan seolah-olah sungguh panjang itu juga, saya belajar banyak perkara. Sewaktu menjejakkan kaki ke sebuah negeri, saya cuba membayangkan kehidupan saya tanpa siapa-siapa. Bagaimana agaknya? Sewaktu malam saya berseorangan di dalam bilik, tanpa ibu ayah, tanpa adik-beradik, tanpa kawan sekalipun. Walau baru beberapa ketika, sudah saya rasakan kesunyiannya. Bayangkan Adam A.S. yang di syurga itu, mempunyai segala. Tetapi tetap juga menginginkan teman. Jadi, siapa kita untuk berlagak sendiri bahawa kita tidak memerlukan sesiapa? Bukankah apabila mati nanti tetap juga kita memerlukan sekurang-kurangnys seseorang untuk mengkafankan dan menguburkan kita? Beristighfar panjang saya apabila memikirkan betapa bongkaknya saya, apabila terfikir-fikir untuk hidup berdikari di negara orang tanpa bantuan sesiapa. Benarlah, kita ini manusia lemah, yang memerlukan orang lain. Dan lebih-lebih lagi memerlukan Tuhan.

Saya juga telah kehilangan satu harta berharga yang walaupun murah, mempunyai nilai sentimental yang cukup tinggi buat saya. Ketika kehilangan itulah, saya berkira-kira di mana silap saya sehingga Allah menarik nikmat itu yang telah saya dapat selama bertahun-tahun. Ya, tentu sekali banyak kesilapan yang telah saya lakukan. Dan saya mesti cuba untuk redha atas kehilangan harta yang tidak seberapa itu. Sekurang-kurangnya nikmat Islam dan iman itu masih Allah kurniakan buat saya. Semoga Allah tidak membolak-balikkan hati saya, dan keimanan saya. Amiin. Semoga kehilangan ini juga menjadi kafarah dosa buat saya.

Berita dan cerita lain saya rasakan bercampur-baur. Tentu sekali, rasa kesyukuran itu tetap ada.


Letih, sebenarnya. Saya pulang dengan badan yang sangat lesu. Fikiran yang agak kusut. Dan jiwa yang bergelora. Tiba-tiba juga dua-tiga urusan yang belum selesai menjengah fikiran saya. Saya tertidur tanpa sedar, di hadapan kerja-kerja yang telah terbengkalai selama seminggu.

Maha Besar Allah kerana telah membangkitkan saya kembali pagi ini. Kerana itu saya terduduk, tergamam melihat tarikh yang baru.

1 Oktober 2012, datang terlalu cepat. Masih banyak perjuangan yang belum saya langsaikan.


Ya Allah, redhailah saki-baki usia kami. Kuatkan kami. Rahmati kami.

1363.6KM.
Makbulkanlah ya Allah, du'a-du'a ku ketika aku bermusafir. Dan du'a-du'a aku yang lain.