Isnin, 1 Oktober 2012

1 Oktober 2012

Dengan nama Allah...


Masha-Allah. Masha-Allah.

Sepantas ini masa berlalu. Terduduk saya melihat tarikh hari ini.

Sepantas itu?


Maha Besar Allah yang memberikan usia.


Sejak kurang lebih seminggu yang lalu saya tidak berada di syurga dunia saya. Kiranya saya bermusafir dan berusaha mengubah diri. Dua-tiga kesilapan telah saya lakukan sepanjang perjalanan itu. Dua-tiga kejutan telah saya terima sepanjang waktu itu juga. Ada yang membuahkan kegembiraan, ketenangan, dan kesyukuran. Dan tentu sekali ada juga yang membawa kedukaan, kekecewaan, dan kegundahan di jiwa saya.

Seorang sepupu telah selamat disatukan dengan lelaki halalnya, setelah melalui pelbagai kisah menyedihkan termasuk dipaksa berkahwin dengan lelaki lain. Benarlah jodoh itu pada hakikatnya di tangan Allah Taala tanpa ragu. Saya sebak apabila Al-Fatihah dibaca apabila para saksi mengesahkan lafaz akad si pengantin lelaki. Lebih sebak daripada pengantin perempuan yang duduk elok di sebelah saya. Masha-Allah masha-Allah, saya tidak setabah dia barangkali. Melihat seorang pak cik melepaskan anak perempuannya, memberi satu kesan yang sangat besar buat saya. Saya mohon Allah merahmati mereka, dan mengurniakan syurga buat keduanya.

Sepanjang perjalanan saya yang saya rasakan seolah-olah sungguh panjang itu juga, saya belajar banyak perkara. Sewaktu menjejakkan kaki ke sebuah negeri, saya cuba membayangkan kehidupan saya tanpa siapa-siapa. Bagaimana agaknya? Sewaktu malam saya berseorangan di dalam bilik, tanpa ibu ayah, tanpa adik-beradik, tanpa kawan sekalipun. Walau baru beberapa ketika, sudah saya rasakan kesunyiannya. Bayangkan Adam A.S. yang di syurga itu, mempunyai segala. Tetapi tetap juga menginginkan teman. Jadi, siapa kita untuk berlagak sendiri bahawa kita tidak memerlukan sesiapa? Bukankah apabila mati nanti tetap juga kita memerlukan sekurang-kurangnys seseorang untuk mengkafankan dan menguburkan kita? Beristighfar panjang saya apabila memikirkan betapa bongkaknya saya, apabila terfikir-fikir untuk hidup berdikari di negara orang tanpa bantuan sesiapa. Benarlah, kita ini manusia lemah, yang memerlukan orang lain. Dan lebih-lebih lagi memerlukan Tuhan.

Saya juga telah kehilangan satu harta berharga yang walaupun murah, mempunyai nilai sentimental yang cukup tinggi buat saya. Ketika kehilangan itulah, saya berkira-kira di mana silap saya sehingga Allah menarik nikmat itu yang telah saya dapat selama bertahun-tahun. Ya, tentu sekali banyak kesilapan yang telah saya lakukan. Dan saya mesti cuba untuk redha atas kehilangan harta yang tidak seberapa itu. Sekurang-kurangnya nikmat Islam dan iman itu masih Allah kurniakan buat saya. Semoga Allah tidak membolak-balikkan hati saya, dan keimanan saya. Amiin. Semoga kehilangan ini juga menjadi kafarah dosa buat saya.

Berita dan cerita lain saya rasakan bercampur-baur. Tentu sekali, rasa kesyukuran itu tetap ada.


Letih, sebenarnya. Saya pulang dengan badan yang sangat lesu. Fikiran yang agak kusut. Dan jiwa yang bergelora. Tiba-tiba juga dua-tiga urusan yang belum selesai menjengah fikiran saya. Saya tertidur tanpa sedar, di hadapan kerja-kerja yang telah terbengkalai selama seminggu.

Maha Besar Allah kerana telah membangkitkan saya kembali pagi ini. Kerana itu saya terduduk, tergamam melihat tarikh yang baru.

1 Oktober 2012, datang terlalu cepat. Masih banyak perjuangan yang belum saya langsaikan.


Ya Allah, redhailah saki-baki usia kami. Kuatkan kami. Rahmati kami.

1363.6KM.
Makbulkanlah ya Allah, du'a-du'a ku ketika aku bermusafir. Dan du'a-du'a aku yang lain.

Tiada ulasan: