Sabtu, 27 Oktober 2012

Kejutan!

Dengan nama Allah...


Alhamdulillah. Selesai 10 Dzulhijjah.

Letih.

Malam sebelumnya tidur sangat lambat selepas cuba menyiapkan juadah pagi raya serta mengemas. Dan terlajak tidur sampai enam setengah pagi. Serius, langsung tak sedar apa. Bila tengok jam, mengucap panjang saya dibuatnya. Masih banyak urusan dapur tak disiapkan. Bila tidur jam tiga pagi itu, sudah niat untuk bangun empat setengah pagi. Tetapi, yang dapatnya enam setengah pagi. Bunyi segala apa pun saya langsung tak jaga.

Turun ke dapur, ibu sudah banyak melangsaikan kerja-kerja yang tertangguh. Saya malu sendiri. Membantu apa yang patut, dan kelam-kabut mandi untuk ke masjid.

Alhamdulillah, langsai solat raya untuk tahun ini. Habis sedikit lambat kerana taklimat yang agak panjang sebelum solat. Khutbah pula sedang-sedang saja.

Pulang ke rumah, siapkan hidangan dan kami langsung makan berlapan. LAPAN.

Sebelum ini keluarga kami hanya TUJUH. Ya, tujuh.

Alhamdulillah, salah seorang adik-beradik saya sudah punya pasangan. Dan mereka sudah punya anak dalam kandungan. Allahu Allah!

Oh. Sebenarnya SEMBILAN. Aha.

Eid ul Fitr sebelum ini mereka berdua beraya di kampung yang satu lagi. Jadi, meja kami tidak penuh seperti raya yang ini. Ini, pertama kali raya meja berkerusi lapan kami penuh. Subhanallah!

Kami selesai salam-salaman, makan-makan, berbual sakan dan mengemas sekitar hampir jam dua belas. Kemudian, yang lelaki sibuk bersiap untuk ke masjid lagi. Yang perempuan sambung mengemas dan berehat seketika. Saya? Syahid sekitar dua jam selepas itu! -__-"

Sepatutnya, ada tetamu mahu datang pagi itu. Tapi, disebabkan panggilan mereka tidak kami jawab (sibuk bergumbira sampai telefon tak diendahkan!), tetamu-tetamu itu tidak jadi singgah. Oh, alahai.

Kami sekeluarga bertungkus-lumus lagi untuk menyambut tetamu seterusnya selepas asar. Dan saya langsung terlupa ke rumah sahabat-sahabat baik saya yang menjemput ke rumah mereka selepas zohor! Allah! Syahid punya cerita...

Sedang bersiap-siap baru teringat. Lantas saya hubungi mereka mohon maaf sejuta kali. Dan kemudian, terima panggilan yang tetamu sudah hampir tiba ke rumah. Dengan kelam-kabut lagi, baru nak solat asar dan mengenakan pakaian menutup aurat. Oh kelam-kabutnya hari raya saya! Aha.

Sambil orang tua saya melayan tetamu, saya macam mati kutu. Banyak benda nak buat tapi tak terbuat. Akhirnya, sekadar kemas-kemas apa yang patut dan buat persediaan seterusnya untuk sambut tetamu selepas maghrib pula.

Niat di hati, mahu singgah rumah sahabat-sahabat yang menjemput siang itu, sekadar cukup syarat jemputan ziarah saya. Tetapi sejurus tetamu yang selepas asar ini beransur, hujan lebat dan hari sangat gelap. Kalau saya keluar rumah juga, ada kemungkinan yang saya akan pulang lewat ke rumah. Maka akhirnya, tetap jua tinggal di rumah.

Sementara menunggu sehingga waktu isyak, saya berhubung dengan sahabat-sahabat yang lain di telefon. Sekadar berbual dan bertanya khabar. Sempat, saya mengeluh penat.

"Kata nak datang ni, tak sampai-sampai lagi. Penat tunggu ni. Nak tidur, aci tak?"

Sahabat saya yang ini memberi respon paling saya perlukan saat itu.

Allah.

"Tetamu itu kan rezeki?"

Rezeki.

REZEKI.

Saya langsung sedar, betapa Allah itu mengasihi saya dan keluarga saya. Kerana masih ada rezeki yang Allah kirimkan kepada kami.

Sebaik sahaja saya menginsafi keluhan saya yang tadinya terasa begitu berat, tetamu-tetamu itupun tiba.

Ajaibnya, hilang segala penat-lelah semuanya! Wow.

Rezeki.

Hari ini rezeki kami melimpah ruah. (Rezeki saya lebih-lebih lagi!)

Thanks to Allah, of course!

Berbaloi sungguh, pengorbanan tidak tidur lama. Tangan luka-luka. Badan sakit-sakit. Otak penat-penat.

Bila lihat, tetamu gembira dengan hidangan. Bila tengok, tetamu seronok dengan layanan. Saya harap, tetamu-tetamu ini memberikan saham buat saya sekeluarga. Amiin.

Tetamu sebelah malam balik agak lewat. Satu ruang tamu gamat dengan gelak-tawa kami. Inilah dia namanya keluarga. Menghidupkan kehidupan.

Saya macam sedang tonton televisyen.

Tonton kehidupan saya sendiri.

Setiap genggaman tangan antara kami, amat terkesan di hati saya. Terutamanya yang paling erat, petang itu. Saya, semacam mahu minta kepadanya mendu'akan saya. Tetapi kerana eratnya genggaman tangannya itu, lidah saya langsung kelu. Saya hanya boleh senyum, itupun sikit-sikit. Alahai.



Semoga hari raya semua orang yang lain, seindah hari raya saya. Sederhana, tetapi penuh dengan rahmat kasih sayang-Nya.

Esok pagi, ada tanggungjawab lain pula.

Saya harap, Toksu yang sedang berjuang dengan kesakitan pada tubuh badannya nun jauh di utara, diberikan kesempatan untuk terus hidup. Semoga saya diberi kekuatan untuk menziarahinya di sana.

Indah kan, kejutan-kejutan Allah?

Tiada ulasan: