Khamis, 11 Oktober 2012

Hikmah dan Ibrah di Singapura #1

Dengan nama Allah...


Saya sempat bermusafir baru-baru ini ke beberapa tempat.

Saya mahu kongsikan perjalanan saya ke negeri Temasik.

Singapura.

Terlalu banyak hikmah dan ibrah yang telah saya kutip.

Allahu Allah.




Pertama kali saya memandu sendiri ke tanah Singapura. Bersusah sendiri tanpa ibu dan ayah, atau adik-beradik, atau sahabat-sahabat. Hanya apabila saya sampai ke sana, saya ditemani sepupu saya warga Singapura. Ya, saya punya keluarga juga di Singapura.

Saya merancang untuk berada di Singapura hanya untuk satu hari. Saya pilih hari Ahad. Pada hari Ahad juga, pemandu bukan rakyat Singapura tidak perlu bayar sejumlah 'yuran'. Seingat saya, sekitar dua puluh Singapore Dollar untuk satu hari. Pada hari Ahad juga, sesetengah tempat meletak kenderaan (kawasan perumahan) tidak dicaj.

Ya, kawasan perumahan juga wajib bayar parking fee mengikut kadar minit! (Kawasan apartment atau lebih dikenali sebagai flat houses). Kalau condominium di Singapura, dikira perumahan yang lebih mahal dan kadang-kala 2 tingkat. Tetapi rumah flat di sana, bukanlah seperti rumah pangsa di Malaysia yang kotor, tidak terurus, dan lebih sinonim dengan golongan berpendapatan rendah.

Seperti yang selalu kita dengar, untuk masuk ke Singapura dengan kenderaan sendiri sangat banyak prosedur. Mula-mula perlu isi kad putih di immigration. Ala-ala di airport. Perkara biasa kot. Kemudian, perlu beli autopass card kalau masih tidak ada. Kereta yang saya pandu ketika itu belum pernah didaftarkan di Singapura, jadi saya harus mendaftar buat pertama kali. Untuk makluman, kalau kereta kita sudah pernah didaftarkan kita hanya perlu guna kad autopass yang satu itu saja. Boleh diperbaharui kalau tidak silap setiap lima tahun. Kad itu juga, hanya boleh guna untuk kereta yang itu saja. Tidak boleh guna untuk nombor pendaftaran yang lain. Sebab itu, saya harus daftar kereta yang ini memandangkan dulu keluarga saya memandu kereta yang lain untuk masuk ke Singapura.

Prosesnya agak leceh.

Perlu letak kenderaan, keluar dari kereta dan mengisi borang di kaunter. Kemudian masuk ke dalam pejabat untuk buat bayaran. SGD10 untuk satu kad; SGD6 untuk kad, dan SGD4 untuk nilainya. Ala-ala Touch N Go di Malaysia. Dan, tentu kita perlu top-up. Kerana SGD4 itu takkan cukup untuk caj meletak kenderaan, dan kadar tol semasa mahu keluar dari Singapura nanti.

Di pejabat itu, tidak ada perkhidmatan tambah nilai. Perlu cari 7 Eleven atau seangkatannya.

Selesai mendapatkan Autopass Card, saya lantas menuju keluar dari kawasan border dan immigration.

Saya bertawakal memandu ke tempat pertemuan dengan sepupu saya, walaupun sebenarnya langsung tidak buat homework tentang Singapura. Saya berhenti di bahu jalan, tempat yang dijanjikan. Agaknyalah.

Lekas-lekas capai telefon, dan baru perasan bahawa telefon saya tidak ada service. Telefon yang lagi satu pula hanyalah prabayar, dan saya tidak menambah nilai sebelum masuk ke Singapura. Berdebar juga sebenarnya, sebab saya bimbang sepupu saya akan cuba menelefon saya di talian saya yang tidak berfungsi itu.

Saya menunggu dengan penuh pasrah.

Kemudian dari cermin kereta, saya nampak sebuah motosikal menghampiri dari belakang. Saya berdu'a semoga itu sepupu saya dan suaminya. Alhamdulillah! Bantuan Allah itu masih ada! Lega.


Selesai bersalam, berpeluk dan bertanya khabar, saya ekori motorsikal suaminya perlahan-lahan, untuk ke rumah mereka di Tampines. Sempat disapa oleh sebuah kereta mewah dari belakang, dengan honk. Setahu saya, saya nampak kereta itu masih jauh lalu saya bertukar lane sesudah memberi isyarat kanan. Tetapi nampaknya si mewah itu sengaja lebih memecut dan berada di belakang saya dengan cepat sekali. Hoh. Road bullies! Mentang-mentang nombor plat kereta saya memang jelas kereta dari Malaysia!

Tiba-tiba teringat kejadian di imigresen Singapura tadi.

"Awak ke Singapura ni untuk apa?"

Awak? Pegawai ini berawak-awak dengan pelanggan? Amboi. Kelakar.

"Ziarah keluarga. Jalan-jalan."

Kalau ikut hati mahu jawab dengan dalil. Berjalan di bumi Allah, nak kutip hikmah yang ada. Tapi tak terkeluar. Penakut barangkali.

"Rumahnya di mana?"

Banyak tanya pula. Nak ikut agaknya, ya?

"Errrr... Tak pasti. Tak ingat. Tak tahu."

Sambil senyum kambing dari tingkap kereta.

"Habis tu, macam mana awak nak pergi? Kalau awak tak tahu?"

Okey, bunyinya agak kurang sopan ya. Tak perlu kot, nada yang macam tu. Saya pun tak tahu awak, tapi Allah temukan juga. Boleh tak, jawab begini?

"Tak apa, nanti jumpa di Woodlands, cousin tunggu."

"Woodlands?"

"Ya, saya. Insha-Allah."

"Erm."

Memang beradab sangat encik pegawai Melayu beragama Islam ni. SANGAT.

Lepas diuruskan passport saya dan selesai soal-jawab yang semacam tak perlu tu, saya ucap terima kaseh dengan kurang ikhlas. Ampunkanlah saya ya Tuhan!




Singapura, pemandu-pemandunya sopan betul ya?

Saya gelak sendiri.

Berani nak pecut lebih 90km/j? Saman!

Sebab itu, bila masuk Johor, nombor plat S di depan dan berhuruf di belakang tu, memandu macam pelesit. Lepas gian. Kalau di lebuhraya utara-selatan, merekalah juara. Siap main high-beam, ikut belakang kita 1cm di belakang. Nak suruh kita ke tepi, supaya dapat gunakan meter kereta yang sampai 220km/j tu.

(Tapi, pemandu Malaysia pun ada yang begitu.)

Ajaibnya, kenapa di Malaysia pemanduan warga Singapura jadi lain? Bermakna, walaupun enforcement mereka berjaya di negara sendiri, tetaplah jua sikap mereka itu tidaklah di tahap yang boleh kita hormati. Saya lantas mengambil ibrah daripada hal ini.

Saya juga teringat satu kejadian, di mana saya dan keluarga dalam perjalanan pulang ke Johor. Sempena hari raya barangkali.

Kami berhenti di stesen minyak, dan terlihat sekumpulan warga Singapura bermotor besar sedang bersantai di situ. Mereka meletakkan motor-motor besar (dan mahal) mereka berdekatan tangki minyak (tempat nak disalurkan minyak ke tangki bawah tanah daripada lori tangki).

Dengan lengkap berbaju kulit, dan menyarung boot. Bergaya habis kononnya.

Dan mereka sedang merokok.

Hati saya panas. Mereka, ada otak atau tidak sebenarnya?

Saya tidak bermaksud untuk racist, tetapi cuma mahu menyampaikan bahawa mereka semua berbangsa Cina.

Salah seorang ahli keluarga saya yang mempunyai autoriti, menghampiri mereka untuk menegur. Bimbang juga, kalau meletup satu stesen minyak itu bagaimana?

"Hello, how are you?"

Mereka pandang atas bawah sambil buat muka arrogant.

"Hmm?"

"Hope you're all doing well. But excuse me, do you mind, not to smoke here?"

Mereka pandang atas bawah lagi sambil buat muka annoyed. Makin disuanya puntung-puntung rokok itu ke mulut dan menyembur-nyembur asap rokok tanda protes. Amboi, macam negara sendiri nampak?

"Excuse me, do you mind? This is a petrol station."

Usaha lagi. Kurang peduli.

Lantas, ahli keluarga saya itu mengeluarkan kad kuasanya.

"Please?" Senyum.

"Oh sorry, sorry!"

Dan masing-masing memadamkan api rokok, dan berdiri tegak-tegak macam anak murid diterjah cikgu.

Jadi, perangai yang seperti ini, salah undang-undang atau salah didikan?

Mana pula terbangnya rasa hormat kepada negara orang, walaupun mungkin mereka menganggap negara mereka jauh lebih maju dan bagus?

Sedih, bukan?

(Tapi, perokok di Malaysia pun ada yang begitu.)

Lihatlah bagaimana Allah mengajar kita dalam setiap perjalanan yang kita lalui. Walaupun nampak kecil, kalau kita menekuni hikmah dan pengajarannya, tentu banyak yang boleh dijadikan sebagai pemangkin perubahan diri.

Saya mengucap panjang apabila melalui pengalaman berdepan sikap-sikap orang lain yang kurang adab dan sesetengahnya langsung tidak berakhlak.

Semoga saya, diberi Allah kesempatan untuk berakhlak baik sepanjang hayat saya.


Apabila sampai di rumah sepupu saya, saya mengucap syukur. Tidak sabar berjumpa ibu saudara saya yang sedang menunggu!

Eh, bersih betul kawasan sekitar.

Oh, ibrah lagi!










Tiada ulasan: