Ahad, 7 Ogos 2011

Tujuh Ramadhan: Perkongsian cara visual

Masjid As-Sakhra
Di dalam inilah terletaknya batu bergantung dari dalam sebesar 56 kaki panjang dan 42 kaki lebar. Batu bergantung disebut dalam bahasa Arab sebagai Kubbah As-Sakhra, dalam bahasa Inggeris sebagai Dome of Rock. Di tengah batu ini terdapat satu lubang yang turun ke bawah menuju ke sebuah gua kecil. Berdekatan gua tersebut terdapat mihrab kecil yang dipercayai mihrab tertua di dunia yang dibina oleh Abdul Malik bin Marwan dan Al-Walid (puteranya) pada kurang lebih tahun tujuh puluh tiga hijriah. Dari situlah Rasul Allah S.A.W. dikatakan dimikrajkan. Batu tergantung ini dikatakan ingin mengikut Rasul Allah S.A.W. ke langit tetapi ditahan oleh Jibril. Bekas tapak tangan Jibril dikatakan masih ada (wallahu'alam) dan dinamakan Kaff Saiyidina Jibrail. Bentuk batu ini hampir separa bulat. Abdul Malik bin Marwan menggunakan pakar-pakar dari negara Rom, Syria dan Palestin untuk menyelenggara kubbah As-Sakhra seperti Yazid bin Salam dan Abu Al-Miqdam bin Haiwah. Hakikatnya batu di dalam As-Sakhra ini tidaklah tergantung, sebaliknya terdapat ruang kosong pada sebahagian besar bawah badannya (ruang gua di bawahnya) maka terlihatlah ia seolah tergantung. Malah tidak ada pula nas atau dalil yang kuat yang menyentuh tentang perihal batu ini tergantung.

Chapel of the Ascension, Mt of Olives
Ini pandangan luar tempat Nabi Isa A.S. diangkat ke langit. Di dalam ini hanya ada kawasan tanah lapang dan di tengah-tengahnya adalah Chapel yang disebutkan (seperti gambar dalam tulisan Enam Ramadhan). Saya sempat menggambarinya ketika masih di dalam perut bas. Bayangkanlah, Nabi Isa A.S. diangkat ke langit biru itu dalam keadaan yang dimuliakan Allah S.W.T dan diselamatkan daripada kebusukan hati orang-orang Yahudi!


Dalam perjalanan ke Jabal Az-Zaitun saya sempat mengetik kamera menyimpan kenangan pemandangan ini yang sudah biasa menjengah mata. Rumah-rumah di negara ini selalu bangga mengibarkan kain biru-putih sebesar ini. Jauh beza dengan rumah-rumah di Tanah Pusaka yang segan-silu menaikkan Jalur Gemilang! Bayangkan kamu berdiri di anak tangga itu, dan bayangkan pula betapa besarnya kain biru-putih itu?


Church of Nativity, Bethlehem
Pemandangan luar sebahagian bangunan gereja tempat Nabi Isa A.S. dilahirkan. Mr. Hisyam sedang menunjukkan Masjid Umar Al-Khattab yang letaknya hanya beberapa ratus meter seberang jalan bertentang dengan gereja ini. Sebenarnya kawasan sekitar gereja ini sungguh meriah dengan kehadiran pelancong pelbagai rupa 'menziarahi' Jesus kebanggaan mereka. Barangkali hanya kami susuk Melayu-Muslim yang menziarah tika itu. (Nota: Gambar dikaburkan atas alasan peribadi saya sendiri. Noktah.)


Berdekatan Masjid Ibrahim, Hebron
Tempat bas diletakkan. Kami harus menyusuri lorong di sebelah kanan gambar mengikut tembok putih itu dengan berjalan kaki kurang lebih tiga suku kilometer. Jalannya sedikit mendaki, sampai ke checkpoint dikawal abang-abang kacak bertemankan laras senapang automatik yang sedia berkhidmat. Wajib melalui gerbang pengimbas tubuh badan, beg diletak tepi dan diperiksa, sebelum memanjang langkah ke tempat wudhuk dan masuk masjid. Gambar ini saya ketik dari dalam bas.

Saya kurang ingat ini makam siapa. Di Masjid Ibrahim terdapat beberapa makam, dua di dalam ruang solat dan selebihnya di luar ruangan solat. Yang pasti ini bukan makam Ibrahim A.S. dan isteri kerana letakknya di tengah-tengah ruangan solat. Barangkali ini makam Ishak A.S. atau isteri baginda. Harus diingat bahawa makam hanyalah simbolik kepada wafatnya nabi atau pejuang kita. Hukum kita bersolat di tempat yang punya kuburan adalah haram. Maka makam-makam ini tentu saja adalah simbolik untuk ingatan dan kasih sayang kita semata, bukan untuk disembah apatah lagi bukan penanda yang jasad mereka ini ada di dalam.

Church of Nativity, Bethlehem
Ruang dalam gereja tempat Siti Maryam melahirkan anak lelakinya yang dianggap Tuhan oleh penganut Kristian. Isa A.S. dikatakan lahir di bahagian bawah gereja ini. Begitu sesak kawasan gereja ini dengan penganut-penganut Kristian yang bertuhankan Jesus. Sementara saya, orang Islam, ke situ untuk mengambil pelajaran daripadanya di samping menyampaikan rasa rindu penuh kasih sayang buat Nabi Allah Isa A.S.

Dari Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv menuju ke Bethlehem, ini antara pemandangan yang memenuhi sepanjang perjalanan. Pembangunan! Siapa bilang Palestin tidak maju? Bezanya, pembangunan ini untuk Yahudi semata.

Vending machine di Ben Gurion Airport, Tel Aviv yang sempat saya gambari. Ya, normal seperti yang wujud di Tanah Pusaka juga ya? Tidak. Lihat tulisannya. Tulisan bahasa Hebrew milik Israel bangsa pengkhianat, bangsa penjajah, bangsa tak sedar diri, bangsa penceroboh, bangsa dilakhnat. Tetapi saya tetap hormat mereka. Sebab? Mudah. Bangsa Melayu punya tulisan? Tidak. Kita meminjam jawi. Dan kemudian kita meminjam rumi. Bila kita mahu jadi sekuat Yahudi yang sedang membina tamadunnya sendiri?



Dengan nama Allah...


Yang melangsungkan hubungan kita dengan Allah itu, adalah kita jua. Maka moga-moga kita semua sedar diri bahawa Allah tidak akan mengubah kita sekiranya kita sendiri tidak mahu berubah. Hubungan dengan manusia mahupun dengan Allah adalah kunci kebahagiaan kita di dunia apatah lagi di akhirat.

Sampai bertemu lagi nanti, insha-Allah.




Tiada ulasan: