Isnin, 8 Ogos 2011

Lapan Ramadhan: Makam pecinta Allah di Palestina




Foto satu: Di laluan keluar dari makam saya sempat menggambari pagarnya yang berbulan hijau dengan latar belakang langit biru dicemari kain biru-putih milik Israel. Cantik ya langit pagi itu?
Foto dua: Our very own Palestinian warrior, Mr. Hisyam sedang memberi sedikit perincian tentang makam yang kami sedang ziarahi.
Foto tiga: Pemegang amanah menjaga salah satu makam di sini. Cantik sekali orangnya. yang sebelahnya kurang cantik jadi harus dikaburkan wajah kurang cantiknya itu. Aha.


Dengan nama Allah...


Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Sudahkah kita cukup mengenal Allah lantas mencintai-Nya sepenuh hati? Saya yakin, semakin kita mengenal Allah maka semakin dekat kita dengan-Nya. Dan apabila semakin dekat dengan-Nya, maka semakin cintalah kita pada-Nya.

Bagaimana pula, cara untuk mengenal Allah?

Mudah. Banyak cara.

Ini persoalan, mahu atau tidak.

Salah satu cara yang dipilih saya sendiri adalah dengan mengembara sebagai muhasabah.


Selesai menekuni Jabal Az-Zaitun dan Chapel of the Ascension berdekatan puncak Zaitun itu, jemaah dibawa pula ke dua makam pejuang Islam yang masyhur. Satu lelaki, dan satu lagi perempuan. Saya berasa dekat dengan kedua-duanya kerana yang lelaki menjadi inspirasi perjuangan saya sebagai seorang Melayu-Muslim dan yang seorang lagi menjadi inspirasi kehidupan saya sebagai seorang muslimah.

Mr. Hisyam mengingatkan kami lagi berulang kali bahawa itu adalah sekadar makam. Bukan kuburan. Saya kira, peringatan seperti ini harus disebut-sebut selalu supaya kita manusia tidak akan lupa sampai mati. Isunya nampak kecil, tapi rupa-rupanya masih banyak yang tidak tahu bahawa makam itu adalah sekadar simbolik kepadan kewafatan seseorang, bukan tempat tanamnya jasad seseorang itu.

Rabiah binti Ismail Al-Adawiyah. Rabiah bermaksud yang ke-empat. Keluarganya adalah keluarga miskin. Diangkat oleh Allah Taala sebagai wanita mulia di sisi-Nya dan rasul-Nya. Lahirnya dikatakan di Kota Basrah.

Sewaktu tiba di perkarangan makamnya, seorang wanita bertubuh sedikit gempal memakai pakaian biasa muslimah berwarna hitam tampil membawa kunci dan lantas membuka pintu untuk kami masuk. Salaam diberi dan kami langsung duduk mendepani makam Rabiatul Adawiyah.

Saya tidak tahu perasaan jemaah yang lain. Tetapi saya, secara peribadi, terasa kecantikan cinta milik Rabiah buat Allah S.W.T. Rabiah semasa hidupnya masyhur dengan nasyid-nasyid, tiupan seruling, juga zikir-zikir memuji Allah. Masha-Allah, hidup wanita sufi ini hanya didedikasi kepada Allah walau dalam tidurnya sekalipun. Dikatakan, sepanjang hidupnya Rabiah tidak punya sebarang kekayaan, melainkan sebuah pondok usang tempat berlindung sekadar boleh, dan sehelai tikar buruk untuk sujud kepada Allah. Tawadhuknya beliau itu diberi kemuliaan oleh Allah Taala. Jadi saya, yang punya rumah punya keluarga punya duit untuk kembara hingga ke Palestin ini bagaimana duduknya di sisi Allah? Allahu akbar, jauh langit dengan bumi antara saya dan Rabiah!

Saya sempat bergambar dengan wanita penjaga makam ini sebelum keluar. Susuknya walaupun lebih besar daripada saya, susuk badannya lebih rendah. Saya berjubah denim biru dengan hijab labuh warna coklat, dan beliau berjubah hitam dengan hijab labuh warna hitam-putih. Kami berdiri di sisi pintu keluar dan beliau hanya senyum nipis. Saya sedikit kesal tika itu, kerana bahasa Arab saya yang hanya tahap tadika ini menyulitkan saya untuk lebih beramah mesra dengannya. Bila difikirkan secara dalam, belum tentu saya akan bertemu dengannya lagi sampai bila-bila. Ya, jodoh sudah tentu dan pasti milik Allah, tetapi logiknya kehidupan kita mendatangkan kemungkinan bahawa mungkin saja kami tidak akan bertemu sampai bila-bila. Saya berdu'a secara diam-diam, semoga beliau dan saya diberi peluang memanjangkan pertemuan di masa depan nanti. Dan semoga saya, dan Rabiatul Adawiyah, dipertemukan di syurga diiringi kasih sayang Allah Taala. Amiin.

Kami memanjang langkah lagi, kali ini menjejak kaki ke makam pejuang Islam yang juga dimuliakan Allah. Beliau lelaki hebat, hidupnya bermula tanpa mengenal Allah. Tetapi matinya insha-Allah, sebagai sahabat Nabi S.A.W. yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Kita yang hidup-hidup menjengah dunia sudah ber-bin dan ber-binti ini, adakah akan berkesudahan dalam Islam juga? Allahu akbar, janganlah Engkau bolak-balikkan hati kami sesudah Engkau berikan nikmat beragama Islam ini sejak lahir. Matikanlah kami dalam keimanan kepada-Mu. Amiin.

Lelaki ini seorang sahabat Rasul Allah S.A.W. yang dibebaskan Nabi ketika menjadi hamba di Yathrib (Madinah). Pada mulanya menganut agama Majusi tetapi selalu terasa kosong dan serba tidak kena. Kemudian beliau menganut agama Nasrani dalam perjalanannya mencari kebenaran. Keluarganya keluarga senang, orang kaya, dan punya harta banyak. Ketika bapanya mengetahui bahawa beliau tertarik dengan Nasrani, beliau dikurung tak dibenar keluar. Namun beliau lepas juga lalu berguru dengan pendeta Nasrani. Walaubagaimanapun beliau menyaksikan kecelakaan pendeta itu kerana telah makan harta sadaqah orang-orang Nasrani ke gerejanya. Lalu apabila pendeta itu mati, beliau telah mendedahkan perkara sebenar dan menghalang orang-orang Nasrani yang ingin menyempurnakan jenazah pendeta tersebut secara terhormat. Beliau terasa kosong lagi. Belum ditemui lagi agama yang benar-benar memenuhi fitrahnya sebagai seorang manusia.

Beliau kemudian mendengar cerita tentang seorang pemimpin bernama Muhammad yang terkenal dengan keadilan dan kejujurannya. Dalam diam beliau bercita-cita bertemu Muhammad dan memahami agama Muhammad. Tika itu kalau tidak silap saya, beliau menyertai satu rombongan pedagang pula tetapi dikhianati apabila dijual sebagai hamba kepada orang Yahudi. Dan ketika di Syria (mungkin), rombongan Nabi S.A.W. ke Madinah telah singgah berehat di kebun kurma milik majikannya. Ketika itu beliau sedang berkerja di atas sepohon kurma dan majikannya duduk berehat di bawah pohon kurma itu. Lalu apabila sahabat-sahabat Nabi dan Nabi sendiri datang ke situ dan beritanya sampai ke telinga majikannya, beliau yang berada di atas pokok itu bergetar seluruh jiwa dan menggigil seluruh tubuh mendengarkan nama Nabi disebut. Beliau lantas turun dan bertanya si penyampai berita akan kebenaran cerita yang disampaikan.

Beliau begitu gembira kerana akhirnya Muhammad S.A.W. begitu dekat dengannya dan pencariannya pada kebenaran mungkin saja telah jadi kenyataan. Beliau ambil sedikit kurma lalu pergi menemui Nabi dan menyadaqahkan kurma itu kepada Nabi S.A.W. Namun Nabi S.A.W. tidak makan malah memberikan kepada sahabat-sahabat baginda. Beliau tidak putus asa dan sekali lagi menghadiahkan kurma kepada Nabi dan menyebut; "Hai Muhammad, aku telah sadaqah sedikit kurma kepada engkau tetapi engkau berikan kepada sahabat-sahabatmu. Ini aku hadiahkan lagi kepada engkau!"

Kali ini Nabi S.A.W. mengambil kurma tersebut dan makan bersama-sama sahabatnya. Tahulah beliau, bahawa Nabi S.A.W. memang terpelihara kejujurannya. Nabi tidak menyentuh barang sedikit pun sadaqah orang, dan juga berkongsi hadiah yang diberi dengan sahabat-sahabatnya.

Maka beliau beriman kepada Allah dengan meyakini bahawa Muhammad itu pesuruh Allah dan Islam adalah agama sebenar.

Jadilah anak Majusi itu seorang Muslim, dan diterima Nabi Muhammad S.A.W. sebagai sahabatnya.

Beliaulah Salman Al-Farisi yang hidup sehingga zaman pemerintahan Uthman bin Affan dan jasadnya dikatakan tertanam di bumi Iraq. Wallahu'alam. Ketika berada di hadapan makam hijaunya, saya tertanya-tanya bagaimana rupa sebenar Salman. Pasti orangnya segak, tegap, berwajah manis dan tenang. Terbayang-bayang pula susuknya bersama Rasul Allah S.A.W. dan sahabat-sahabat yang lain bertungkus-lumus mengorek tanah membina khandaq (parit) sekeliling Kota Madinah ketika Perang Khandaq (Battle of the Trench). Salman Al-Farisi adalah orang yang mula-mula mencadangkan agar parit digali sebagai pertahanan daripada kurang lebih sepuluh ribu kaum musyrikin. Idea itu dipersetujui Rasul Allah S.A.W. dan sahabat-sahabat. Ternyata kemudiannya kemenangan berpihak pada kaum Muslimin apabila kaum musyrikin kehabisan bekalan makanan dan kepenatan setelah kurang lebih sebulan tidak berjaya menembusi Kota Madinah.

Zaman sekarang masih adakah pemimpin seperti Muhammad S.A.W. dan sahabat-sahabat yang mengorek sendiri parit semasa perang? Masih adalah pemimpin seberani dan sebijak Salman Al-Farisi? Entahlah.

Salman Al-Farisi juga adalah seorang mukmin yang begitu zuhud. Beliau hanya ada sehelai jubah dan jubah itu juga digunakan sebagai alas tempat tidur. Tidak berumah malah hanya tidur di tepi-tepi dinding dan bawah pokok. Pernah serumah dengan Abu Darda' apabila dipertemukan oleh Rasul Allah S.A.W.

Salman Al-Farisi punya ciri-ciri lelaki idaman saya. Dan ciri-ciri yang ingin saya pupuk dalam diri saya sendiri. Insha-Allah, semoga sampainya saya ke makam Salman itu menguatkan lagi semangat saya untuk menjadi pencari kebenaran yang sejati, juga pejuang agama Allah yang tidak berbelah bahagi lagi. Amiin.

Pemegang amanah menjaga makam Salman Al-Farisi kami tinggalkan dengan senyuman. Dan saya tinggalkan dengan du'a, semoga saya akan sampai lagi ke situ menekuni sejarah perjuangan sahabat Muhammad S.A.W.. Amiin. Para jemaah lalu turun berjalan kaki, sambil beberapa jemaah singgah membeli minuman di kedai-kedai tepi jalan. Yang pasti, jemaah yang prihatin hanya akan singgah di kedai yang diyakini milik muslim. Saya naik ke perut bas, duduk di tepi tingkap seperti biasa dan merenung jauh lagi. Seperti biasa!

Sebelum bas bergerak, saya lihat Mr. Hisyam dan beberapa jemaah lelaki yang lain sempat membakar duit. Ah Mr. Hisyam, ini satu-satunya perkara yang saya kecewa dengan anda. Kenapa harus bakar harta anda begitu sedang anda tahu anda punya perjuangan di bumi anda ini? Dan kamu, jemaah-jemaah Muslim yang lain, tolong jangan teruskan kebodohan kamu membakar harta kamu sendiri dengan berbatang-batang rokok. Alahai muslimin...

Mereka memijak baki puntung rokok dengan kaki-kaki mereka, dan masuk ke dalam bas. Perjalanan diteruskan.

Saya sudah tidak sabar-sabar untuk ke Al-Aqsa!


Tiada ulasan: