Dengan nama Allah...
Foto satu: Salah satu 'rumah' polis di kawasan Al-Aqsa.
Foto dua: Antara pembangunan yang dilakukan Israel sepanjang perjalanan dari Ben Gurion Airport Tel Aviv menuju ke Bethlehem.
Sudah hampir empat Ramadhan ya? Allah... T_T
Menyambung kisah kembara muhasabah ke tanah jajahan Israel.
Berbulan yang lalu, sekitar bulan ke-tiga tahun masihi, hamba diberi amanah berbicara soal masjid-masjid penting umat Islam yakni Al-Quds, An-Nabawi, dan tentu sekali Al-Haram. Bergetar jiwa - walaupun sekadar berbicara kepada anak-anak yang seramai kurang lebih seratus orang itu - kerana hakikatnya berbicara soal agama Islam bukanlah satu tugas remeh-temeh yang boleh dipikul semua orang. Fakta, baik dalil naqli atau aqli harus benar dan tepat. Kerana tersalah menyampaikan, akan meleret-leret kepada penyebaran berita yang tidak benar. Maka berjawablah kita kepada Tuhan Yang Esa, kerana telah menyampaikan sesuatu yang bukan mengikut Al-Quran dan As-Sunnah.
Sempat membuat kajian dan merujuk banyak sumber terutamanya melalui pembacaan, bicara soal tiga masjid tersebut cuba dibuat sehabis baik. Bercakap disertai foto-foto adalah yang paling baik, kerana manusia mudah juga menerima visual selain audio semata-mata. Dan daripada situlah pengetahuan hamba bertambah. Makanya, sejarah Baitulmaqdis juga sempat dihadam lebih baik berbanding dulu. Dan kurang lebih berbulan yang lalu juga rezeki diberi hamba untuk berilmu lagi, apabila dapat menonton dokumentari khas Kembara Palestin sampai berair habis mata ini kerana ketika itu masih mendu'a-du'akan Allah memberi izin untuk jasad dan roh bertamu di bumi Palestin.
Justeru, apabila tiba di bawah langit yang sebenarnya sama dengan Tanah Pusaka tetapi yang membezakan adalah bumi yang dipijak itu bekas bumi Nabi Ibrahim A.S., segala apa yang pernah dikaji terlebih dahulu demi tugasan yang dulu itu menjadi seakan-akan satu proses flashback. Atau lebih baik lagi jika diistilahkan sebagai 'praktikal' iaitu turun padang melihat sendiri tempatnya.
Setelah selesai bertamu di Bethlehem, menjenguk 'pusaka' Isa A.S. yang dianggap Tuhan bernama Jesus oleh penganut Kristian, jemaah lantas ke Hebron di mana di situ terletaknya Makam Nabi Ibrahim A.S. dan isteri, Siti Sarah, serta Nabi Ishak dan isteri juga. Masjid itu namanya Masjid El-Ibrahimi. Itu makam pertama yang diziarahi, dan hamba sudah terpaku memandang makam hijau tersebut. Walaupun sekadar simbol kewafatan nabi-nabi ini, hamba sudah begitu tersentuh lalu menitis-nitis air mata sejurus selesai solat jamak qasar Dzuhur dan Asar, sunat serta du'a mohon keampunan. Ya Allah, kalau benar itulah masjidnya tempat sang nabi pernah bertapak, hamba mohon Kau sampaikanlah hamba lagi ke sana. Kerana itu juga tanda kecintaan hamba kepada-Mu.
Hebron, unlike Bethlehem, berbeza sekali!
Tanah Baitulaham begitu meriah. Dipenuhi pula dengan pelbagai manusia dari segala ceruk dunia untuk (kononnya) mengambil berkah Jesus Tuhan mereka yang dicintai. Jemaah yang pelbagai rupa, terutamanya dari negara-negara Eropah memenuhi sekitar Bethlehem berpusat di Church of Nativity. Keadaannya begitu meriah, seakan punya sambutan entah apa dan manusia berpusu-pusu di sini sana dan sibuk benar menggambari kawasan kesan sejarah yang ada. Kedai-kedai di sepanjang jalan, begitu sakan berniaga dan seakan-akan memanggil kami pelancong yang memang payah benar untuk sampai lagi.
Di Hebron?
Sebaliknya!
Sepanjang perjalanan menuju Masjid Ibrahim, di kiri kanan jalan bangunannya kosong. Lengang. Tidak ada perniagaan. Seolah-olah kawasan kesan tinggalan perang. Sekali-sekala ternampak anak-anak Palestin yang entah punya keluarga atau tidak, bermain bola atau berlarian di tepi jalan. Allah, apa maksudnya semua ini?
Bethlehem dikatakan kawasan bermajoriti Kristian, sementara Hebron adalah kawasan umat Islam. Maka Hebron seolah-olah sengaja disisihkan dan disekat perkembangan ekonominya. Itu telahan peribadi hamba. Entahkan betul, entahkan begitu salah. Bas yang berhenti agak jauh dari masjid dek kerana kawasan yang tidak mengizinkan kemasukan kenderaan sebesar gajah, membuatkan pengalaman ini lebih berharga kerana setiap derap kaki melalui kawasan itu menuju masjid sangat-sangat memberikan perspektif baru dalam hidup. Anak-anak kecil ceria menyambut ketibaan jemaah. Ada yang meminta-minta, ada yang bermain-main, ada yang menjual-jual. Hati hamba, jujur kata, begitu sebak kerana tidak punya rasa yang lain melainkan begitu hiba mengenangkan "Di mana masa hadapan anak-anak ini?".
Untuk masuk ke kawasan masjid sahaja, kami ditahan di check point (seperti biasa!). Beg diperiksa, badan masing-masing melalui gerbang scanner. Abang-abang kacak beruniform beraksesorikan laras senapang automatik yang bila-bila masa pasti sudi memetik punatnya, setia memerhatikan kami. Ya, jemaah ini memang ancaman buat mereka kerana datang untuk memakmurkan rumah Allah! Jemaah ini memang ancaman buat mereka kerana datang untuk menjadi lebih beriman kepada Allah! Jemaah inilah yang dikatakan terrorist! Aha.
Seorang abang kacak berkulit lebih hitam, tersadai di bumbung satu bangunan bersebelahan check point. Tersengih-sengih menekan punat telefon bimbit yang kejap di tangan kiri sementara tangan kanan tak rela berpisah dengan laras senapang canggihnya.
Masjid Nabi Ibrahim, ditinggalkan dengan rasa sebal. Apabila kaki melangkah anak tangga untuk bertamu lagi di dalam perut bas untuk ke destinasi kembara yang seterusnya, air mata semakin mahu turun. Allah... Rasa yang begini sungguhpun kadang-kala tidak dapat ditahan-tahan dan buruk pula rupanya, dirasa sebagai satu keperluan supaya matlamat muhasabah itu sampai hingga ke dasar hati. Sempat juga menggambari tampang anak-anak Palestin yang masih tak berputus asa di sisi bas. Mereka tersenyum-senyum dalam tekanan kehidupan yang sebenarnya nyata tidak seindah kita. Mohon du'a dunia, semoga mereka tetap dikurnia syurga sungguhpun mungkin sampai mati tak akan mereka rasa dan faham erti kebebasan. Amiin!
Lantas, sudahkan kita mensyukuri keadaan kita di Tanah Pusaka yang penuh dengan rumah-rumah Allah, malah tidak dihalang-halang pula untuk kita memasuki dan menunaikan solat di dalamnya? Adakah sehingga untuk masuk ke masjid kita sendiri harus melalui check point berabangkan laras senapang, baru kita mahu sedar betapa rumah-rumah Allah di Tanah Pusaka kita adalah benar-benar harta berharga buat kita?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan