Khamis, 4 Ogos 2011

Empat Ramadhan: Keamanan VS Kebebasan





Dengan nama Allah...

Foto satu: Our very own Palestinian warrior, Mr. Hisyam - di samping mimbar yang diberi Salahuddin Ayubi di Masjid Nabi Ibrahim A.S.
Foto dua: Di makam Nabi Ibrahim A.S. yang digelar Al-Khalil
Foto tiga: Sempat menggambari Ben Gurion Airport, Tel Aviv dari dalam pesawat ketika baru mendarat
Foto empat: Anak-anak Palestin yang masih tak berputus asa di samping bas jemaah ketika sudah mahu meninggalkan Hebron


Hari-hari Ramadhan yang telah berlalu, pasti kita rindui.

Hari-hari yang kita senangi, pasti juga akan kita rindu-rindukan. Seperti hari ini kita merindui semalam.

Dan hamba juga, masih merindui kesan tapak kaki sendiri yang sudah jauh di Baitulmaqdis. Allahuakbar walillahilhamd.

Sayu pada hati yang telah meninggalkan Hebron menuju ke Baitulmaqdis, mungkin terpancar pada wajah ketika itu. Apabila ternampak sergam tembok kawasan Al-Aqsa dan kubah emas As-Sakhra, masha-Allah, terasa begitu telah dirahmati dan disayangi Allah. Apabila mula memasuki kawasan yang menyaksikan kisah isra' mi'raj Muhammad tercinta, hati jadi begitu tertawan. Tetapi dalam masa yang sama, begitu teruja membetulkan persepsi diri bahawa Palestin adalah sama dengan perang. Kerana sebetulnya kawasan itu begitu membangun dan rancak pula aliran ekonominya. Malah, terdapat shopping mall mewah berhampirannya. Kedai, pusat kesihatan, dan seribu macam kemudahan boleh dilihat di kiri kanan jalan. Inikah Palestin yang selalu kita lihat di televisyen dan akhbar? Bukan.

Orang Islam perlu membetulkan persepsi tentang ini.

Yang berperang itu adalah di Gaza. Di tengah-tengah Baitulmaqdis kawasan Al-Quds, keadaannya aman.

Ada beza antara KEAMANAN dan KEBEBASAN.

Di Gaza nyata sekali tidak aman, tidak bebas. Tetapi di kawasan Al-Quds, aman tetapi tidak bebas. Ya, risiko diserang hendap, ditangkap atau ditembak ketika di dalam Al-Aqsa atau mana-mana masjid di kawasan itu memang ada. Seperti yang sudah pernah berlaku. Tetapi keadaannya tetap damai, dengan pelancong mahupun orang tempatan yang sakan berziarah mahupun membeli-belah. Bertudung atau tidak bertudung memenuhi kawasan Baitulmaqdis. Hamba sendiri begitu terkejut kerana persepsi awal sudahpun meletakkan imej-imej buruk yang selalu ditayang-tayang di media massa. Kata Hj. Ayob si Temasek semasa bertemu di Tanah Pusaka, yang bergolak itu hanya di Gaza seperti yang boleh kita lihat selalunya anak-anak Palestin melempar batu ke arah 'pejuang' Israel, para ibu dan isteri menangis-nangis membela anak lelaki dan suami yang 'diculik' tentera rejim, dan ledakan bom serta peluru senapang melayang ke sini sana.

Ternyata benar sekali.

Al-Aqsa masih dilindungi Allah, di sebalik kegelisahan umat Islam yang seolah-olah menjadi asing di tanah air sendiri. Sungguhpun tembok-tembok yang pernah diceritakan dulu menghalang kebanyakan jemaah Islam Palestin untuk masuk ke Al-Aqsa, tetapi jemaah-jemaah yang telah sedia menetap di kawasan Jerusalem mempunyai peluang keluar masuk Al-Aqsa secara aman. Malah kedatangan kami juga walaupun dalam keadaan tertekan kerana diekori dan diperhatikan, masih mempunyai peluang untuk masuk ke Al-Aqsa dengan senyuman.

Jemaah langsung dihantar ke Hotel Holyland, Baitulmaqdis. Hotel yang tidak jauh dari Al-Aqsa. Boleh terdengar azan berkumandang dari dalam bilik lalu tentu sekali membuat hati begitu sayu lagi. Subhanallah, itu azan Baitulmaqdis!

Jemaah dijamu makan malam yang menarik, sesudah selesai mengangkat beg besar masing-masing dan dilonggokkan di lobi. Makan adalah satu rutin yang membahagiakan, apatah lagi di tanah yang begitu asing. Buffet yang disediakan agak banyak. Kawasan sebelah satu lagi dipenuhi orang-orang berkulit hitam yang mungkin dari tanah Afrika. Pakaian berwarna-warni yang pasti sekali pakaian tradisi dengan ikatan-ikatan kepala yang pelbagai begitu menghiburkan hati. Walaupun tak kenal, walaupun mungkin bukan Muslim. Hebat ya, ciptaan yang di langit? Masha-Allah!

Badan yang sudah begitu letih dan kotor menjengah bilik sederhana mengucapkan syukur yang tak terhingga apabila nampak bayang katil dan bilik mandi. Mr. Hisyam dan ketua rombongan berpesan, kalau mahu menunai solat jamak qasar Maghrib-Isyak di masjid, harus lekas turun selepas bertemu wajah bilik masing-masing. Hamba yang begitu keletihan sekadar membersih diri dan tidak turun kerana tidak punya teman muhrim. Dan alasan keletihan juga menjadi paksi diri. Sudah kurang lebih satu hari berada dalam perjalanan, tanpa mandi, tanpa tidur di katil! Apabila difikirkan kembali, begitu rugi ya? Semuanya atas nama Allah jua, insha-Allah. Namun hamba bercita-cita untuk subuh di Al-Aqsa nanti!



Tiada ulasan: