Selasa, 2 Ogos 2011

Dua Ramadhan: Jangan berkalau-kalau



Dengan nama Allah...


Foto satu: Tembok di hadapan Restoran Makanan Cina Tachi, Bethlehem
Foto dua: Lagi tembok di sepanjang jalan
Nota: Antara contoh tembok-tembok dibina Israel untuk menghalang orang Islam Palestin masuk/keluar


Sudah rindu hari ke-dua Ramadhan tahun empat belas tiga puluh dua hijriah ini.

Alhamdulillah.
Sungguhpun hati dipalu lagi kerana ditinggalkan dua hari bulan Ramadhan.

Kalaulah masih berada di Baitulmaqdis.

Kalau?

Usah berkalau-kalau, bimbang nanti jadi hamba yang tak bersyukur. Sekaligus melabelkan diri dengan panggilan hamba Allah yang dilakhnat. Nauzubillah...

Teringat lagi sok-sek suara Mr. Hisyam yang tak jemu bercerita dengan semangat mujahadah Palestinian yang telah lama terbelenggu di bumi sendiri. Tembok-tembok yang sergamnya tak putus di sepanjang jalan, mematikan rasa bebas dalam jiwa sesiapapun.

Enggan bicara soal proses kemasukan ke tanah itu. Tel Aviv dijejak dengan rasa syukur tapi Allahuakbar, pahitnya juga tak kurang banyak. Jadi, cerita kembara ke sana hanya mahu dikongsi semasa telah selamat menaiki bas untuk langsung ke Bethlehem, tempat kelahiran Nabi Isa A.S. Jemaah singgah di Restoran Tachi untuk makan tengah hari, yang sebenarnya menyegarkan sekali dengan hidangan pembuka selera sup panas berasap sakan. Kepenatan berbelas jam di dalam penerbangan bercampur lelah turun naik lapangan terbang di Tanah Pusaka, juga di bumi anbiya, dibubarkan dengan cairan sup yang melalui anak tekak ketika itu. Kemudian, abang Palestin yang hanya seorang dan dibantu seorang pakcik - barangkali tuan rumah, terus menerus menghidangkan juadah lain termasuk nasi putih, ayam goreng lemon, sayuran dan teh panas pemberian Hj. Ayob yang ketika itu jauh di Tanah Temasek.

Penat lelah hilang sebetulnya, apabila melihat bumi yang menyaksikan peristiwa Isra' Mi'raj Muhammad tercinta. Cuma sesekali kepala terasa 'weng' bagai terapung sekejap, tenggelam sekejap, akibat perubahan masa yang agak jauh antara Tanah Pusaka dan Palestin. Juga kerana tidak cukup rehat yang sempurna. Semasa dalam perjalanan ke Bethlehem, seakan ternampak kubah As-Sakhra dari jauh tapi mata hina ini tak dapat menangkap fakta sebenar kerana banyak juga bangunan tinggi yang menghalang pandangan. Semasa itu jiwa sudah bergetar benar, bagai meruntun-runtun merindui khalifah paling agung kekasih Allah, Muhammad S.A.W.

Apabila tiba di Gereja Nativity di Bethlehem, terasa begitu senang dengan kenyataan sejarah Islam. Kerana ajaran Islam begitu memahami dunia, Umar Al-Khattab berpesan supaya jangan dihancurkan rumah ibadah orang Kristian kerana kita menghormati mereka, sungguhpun mereka berada di jalan yang terpesong. Malah masjid indah Saidina Umar hanya di seberang jalan, kurang lebih dua hingga tiga ratus meter dari gereja tempat lahir Nabi Isa A.S. Difahamkan, ketika Umar yang tegas itu menakluk Baitulaham ini, persaudaraan antara Islam dan Kristian dipereratkan. Masha-Allah. Lantas, mengapa kita kini tidak seerat itu? Malah ketika orang-orang Islam memerlukan perlindungan (kurang lebih 60 mujahid Islam) daripada The Crusaders, paderi-paderi Kristian di gereja tersebut yang memberi ruang buat mereka. Enggan paderi-paderi itu menyerahkan pejuang Islam kepada keparat-keparat itu. Perlindungan, jagaan dan kebajikan orang Islam di situ diambil sebagai satu tanggungjawab atas nama persaudaraan.

Lantas, kita sesama Islam bagaimana?

Tempat yang dikatakan Maryam (Mary) melahirkan Isa (Jesus) juga begitu sesak. Dipenuhi manusia yang kononnya ingin mengambil berkat. Di samping kewujudan kami muslim yang teringin benar menjenguk dan menggambarinya dari dekat. Wallahualam, entahkan benar entahkan tidak tempatnya.

Mr. Hisyam turut murah hati dan kasih sayang apabila turut menunjukkan jubin asal Church of the Nativity itu. Cantik, masha-Allah! Lantai asalnya berparas kurang lebih dua hingga tiga kaki ke bawah yang sekarang ini. Kalau tanpa iringan Mr. Hisyam, kami tidak punya encyclopedia bergerak! (Kalau lagi? Alahai!)

Antara yang menarik ketika berjalan kaki ke bas pengiring jemaah, ialah balai polis Israel yang sememangnya menarik perhatian ramai orang. Sebenarnya, bangunannya biasa. Terlalu biasa. Pegawai-pegawainya juga biasa. Yang lain hanyalah bendera biru putih itu. Ya, yang bisa buat hati jadi gusar dan jiwa jadi marah. Atas nama itu, banyak orang berlumba-lumba menggambari balai dan pegawainya. Ah, bukan mengagungkan. Sebaliknya ini pengobar semangat!

Kalaulah masih di Baitulmaqdis. Allah... Jangan berkalau-kalau lagi!


Tiada ulasan: