Jumaat, 5 Ogos 2011

Lima Ramadhan: Al-Aqsa VS As-Sakhra


Foto satu: Qubbat As-Sakhra di Baitulmaqdis, berdekatan masjid Al-Aqsa. Baru selesai solat subuh dan berkesempatan menggambari As-Sakhra dari kawasan datarannya di luar. Masih ramai ahli masjid di dalam dan luar menekuni Al-Quran dan usrah.

Dengan nama Allah...


Cepat ya, masa berlalu? Allahu akbar!
Subuh hari ini di Malaysia barangkali begitu bahagia ya?

Sebagaimana bahagianya subuh 13 Sya'ban yang lalu di tanah Baitulmaqdis. Allah...

Subuh itu hamba bangkit dengan penuh kesyukuran. Berkobar dalam hati untuk menunaikan solat subuh di hamparan permaidani Al-Aqsa. Sudah bangkit membacakan du'a, lantas cepat-cepat membersihkan diri, berwudhuk dan berniat untuk beriktikaf di Al-Aqsa yang insha-Allah dikurnia Dia 500 kali ganjaran berbanding di musolla biasa.

Apabila kaki mula melangkah keluar dari hotel, mata meliar melihat sekeliling. Keadaan masih gelap, suasana masih sunyi. Cuaca masih mendingin dan hamba percaya, bagi yang tidak kuat semangat, pasti membungkuskan diri dengan gebar di atas katil adalah lebih seronok berbanding memanjangkan langkah ke musolla. Apabila mula masuk ke salah satu pintu kawasan tembok Al-Quds, hati benar tersentuh. Ya Allah, mohon redha-Mu pada setiap derap kaki ini!

Berjalan di lorong-lorong jalan kaki yang sunyi, sebenarnya membahagiakan. Kiri kanan lorong adalah kedai-kedai yang pelbagai. Sekali-sekala, disapa kelibat entahkan pelancong entahkan penduduk Baitulmaqdis. Semuanya insha-Allah berniat memakmurkan masjid-masjid yang ada di kawasan itu yakni Al-Aqsa, As-Sakhra, Al-Buraq dan Al-Mawarni. Yang lelaki, terutamanya yang muda, nampak begitu cergas menghayun langkah untuk mengejar waktu solat subuh. Hamba berjalan dengan menahan perasaan. Luar biasa sekali rasa syukurnya dan lain sekali rasa takutnya. Lorong-lorong berlampu malap juga menggetarkan jiwa. Bukan kerana takutkan yang bukan-bukan, tetapi kerana membayangkan sejarah yang telah dilihat tempat ini sejak bertahun-tahun.

Dari jauh sudah terlihat kubah emas berkilau As-Sakhra. Allahu akbar! Sungguh tak percaya yang selalu dilihat di gambar-gambar, di televisyen dan di kereta sendiri sudah tersergam di hadapan mata! Masjidnya cantik sungguh, jauh lebih cantik berbanding masjid buatan kristal di Terengganu ataupun masjid besi di Putrajaya. Hatta masjid biru di Turki juga tak setanding! Ya, mungkin hamba yang melebih-lebih dalam rasa terpesona itu, ya?

Hakikatnya melihat sendiri adalah berbeza dengan sekadar menggambarkan dalam minda. Masha-Allah, kerana rasa terpersona yang ada dalam diri hamba adalah kerana membayangkan di situlah Rasul Allah S.A.W. naik ke langit untuk bertemu cinta sejati kita, Dia Yang Esa. Tak terkata!

Apabila perlahan-lahan menaiki anak tangga dan melalui gerbang ringkas antara kawasan berimbun pohon-pohonan, kawasan As-Sakhra sudah pun tiba. Telah ramai ahli masjid yang menuju ke pintu masuk. Malah ada juga yang sedang bersolat di sekitarnya. Hamba melepasi pintu pertama, untuk memanjangkan langkah ke Al-Aqsa yang letaknya hanya kurang lebih beberapa ratus meter dari As-Sakhra. Ketika melalui pintu As-Sakhra yang ke dua di sudut yang lebih dekat dengan Al-Aqsa, seorang lelaki tua menegur. Katanya subuh ini Al-Aqsa tutup untuk perempuan. Hamba masih ragu-ragu, kerana tidak tahu kebenarannya. Malah bersangka buruk pula mungkin sahaja ada yang dengki dengan semangat Muslim untuk ke Al-Aqsa menunaikan solat. Astaghfirullah. Namun jemaah lelaki yang mendengar akhirnya membuat keputusan berpatah balik setelah begitu hampir dengan tangga turun ke dataran Al-Aqsa. Kami tidak mahu mencari masalah kerana sedar bahawa kami ini pendatang yang bila-bila masa boleh dihalau pulang. Akhirnya, kami membuat keputusan menunaikan solat subuh pagi itu di As-Sakhra. Alhamdulillah.

Masuk sahaja ke dalam, berbeza sedikit dari apa yang pernah hamba lihat. Kawasan tengah masjid yang menempatkan batu tempat Rasulullah berdiri sebelum naik ke langit sedang melalui proses renovation. Kawasannya jadi sedikit berserabut dengan palang-palang besi dan plastik penutup. Tetapi masih boleh dilihat sergam batunya. Tanpa buang masa, hamba cari ruang solat yang boleh dan menunaikan solat sunat tahiyatul masjid. Ada juga mata yang memandang mungkin kerana terasa pelik melihat susuk Melayu tampil ke saf dan enggan peduli kiri kanan lagi. Rasa teruja untuk beribadah dalam As-Sakhra barangkali telah membuatkan hamba lupa beramah dengan orang sekeliling. Sudut sedikit kanan dipilih dan langsung sujud menyembah Yang Esa. Allahu akbar. Allahu akbar. Assalamualaikum warahmatullah.

Apabila selesai yang sunat, yang wajib menyusul. Antara azan terindah pernah didengar adalah juga dari As-Sakhra dan Al-Aqsa. Sementara menunggu solat jemaah dimulai, sempat juga menekuni sekeliling As-Sakhra. Sarat sekali ayatul Quran di dinding-dinding. Cantik sekali kubah dari dalam. Damai sekali jiwa yang mengalaminya. Dan kemudian hamba terbayang pula, bagaimana damainya nanti di Baitullah? Allah!

Du'a yang selalu disampaikan kepada Allah; Sampaikan aku ke sana ya Allah! Amiin!

Solat subuh ditunaikan dengan sehabis baik. Insha-Allah. Hamba begitu berhati-hati dalam berjemaah kerana tidak pula hamba lakukan homework tentang mazhab yang dipegang mereka dan cara solat mereka. Kerana kita umat Islam harus sedar bahawa kita mempunyai perbezaan dalam cara melaksanakan ibadah kita sungguhpun kita sama-sama menyembah Allah. Alhamdulillah, akhirnya solat subuh dilaksanakan tanpa banyak perbezaan kecuali satu dua pergerakan yang memang lazim dibuat oleh orang-orang timur tengah (hatta sedang sembahyang juga boleh membetul-betul tudung, menggaru-garu, memandang kiri kanan atas bawah, itu ini yang sering kali mengganggu tumpuan solat). Du'a diucap-ucap lagi, dan berderai lagi air mata kerana terasa terlalu kerdil di sisi Allah. Maha Suci Allah kerana telah memilih hamba yang hina ini untuk jejak masjid sebaik ini.

Alhamdulillah.

Sempat hamba tawaf di dalam masjid, berniat menyaksikan sendiri ruang sejarah bermakna ini secara tiga ratus enam puluh darjah. Allah... Tak terkata (lagi)!

Selesai menekuni dalam masjid, sungguhpun tak mungkin akan puas, hamba kuatkan semangat melangkah keluar. Masih awal pagi, keadaan cuaca masih dingin. Hamba terpacak di hadapan masjid memandang kubah emasnya. Dan juga menekuni lagi ayatul Quran yang sarat diukir pada luar masjid. Allahu akbar! Cantik sungguh masjid ini. Dan inilah yang para Yahudi sedang lakukan. Banyak orang menyangka As-Sakhra inilah Al-Aqsa. Dan kerana kecantikkannya yang jauh beza dengan Al-Aqsa, Yahudi cuba mengaburi mata umat Islam bahawa As-Sakhra adalah lebih baik daripada Al-Aqsa. Yahudi begitu tekad merampas (atau lebih tepat lagi merobohkan) Al-Aqsa maka diada-adakan cerita yang pelbagai versi termasuk bahawa As-Sakhra inilah masjid tempat Nabi Muhammad mengimamkan solat para Nabi dan sahabat ketika peristiwa isra' mikraj. Yahudi mahu kita mencintai As-Sakhra melebihi Al-Aqsa dan supaya kita tidak akan kisah Al-Aqsa dirampas mereka. Nauzubillah!

As-Sakhra ternyata istimewa. Tetapi Al-Aqsa adalah masjid ke-tiga terpenting buat kita umat Islam selepas Al-Haram di Makkah dan An-Nabawi di Madinah! Ayuh, kita pertahankan Al-Aqsa, walaupun sekadar dengan du'a setiap kali selepas solat. Insha-Allah.

Sampai bertemu di enam Ramadhan!

Tiada ulasan: