Dengan nama Allah...
"Teacher, kenapa Teacher dah lama tak datang?"
Saya menelan sabar.
"Errrr... Sebab, Teacher kena duduk rumah."
Terkebil-kebil matanya memandang saya penuh tanda tanya.
"Kenapa?"
Saya menahan perasaan lagi.
"Sebab, Teacher kena jaga ayah Teacher. Teacher kena jaga keluarga Teacher."
Saya cuba tersenyum semanis mungkin, walaupun hati saya saat menjawab persoalan naifnya itu sedang berkecamuk. Bercampur-baur dalam jiwa saya.
"Ayah Teacher demam ye?"
Saya usap kepalanya, sambil menahan sesuatu daripada keluar melalui mata saya yang kuyu ketika itu.
"Yes, because we have to take care of our family, right?"
Dia tersenyum. Entahkan tanda setuju dengan kata akhir saya, atau tanda puas hati soalannya telah saya jawab, atau tanda suka diusap kepalanya. Allahu Allah, anak ini menggetarkan jiwa saya.
Saya tiba-tiba teringat peristiwa kurang lebih lima bulan yang lalu.
Sayu.
Saya mengemas ruang kerja saya dengan hati yang cukup terluka. Saya cuba membayangkan bagaimana Ibrahim A.S. menjadi kuat untuk mengorbankan seorang manusia bernyawa yang dekat dengan hatinya, yang sebenarnya telah ditunggu-tunggu sekian lama sehingga umurnya mencecah 80 tahun. Allah akhirnya mengurniakan permata hati itu, tetapi diuji pula dengan perintah menyembelih manusia kesayangannya itu.
Redha.
Saya?
Saya mengemas secepat yang mungkin. Saya mahu mengelak bertemu 'ahli-ahli keluarga' saya di situ supaya mata saya tidakkan berair di hadapan mereka. Allah!
Selesai mengemas seadanya, saya langsung laju meninggalkan ruang pejabat saya dan menuju ke kereta. Masuk ke dalam kereta, menghidupkan enjin lalu pantas meluncur pergi.
Akhirnya?
Saya menangis seorang diri sepanjang perjalanan. Semahunya.
Ya Allah, adakah ini sebenarnya keputusan yang paling tepat buat saya? Saya langsung tidak beristikharah. Sebaliknya membuat keputusan secara tergesa-gesa setelah berlaku satu-dua peristiwa yang memerlukan keputusan segera dibuat. Saya telah lama berkira-kira untuk meninggalkan apa yang telah saya tinggalkan ini, sejak awal tahun. Tetapi memberi masa sekitar enam bulan untuk diri sendiri membuat persediaan. Tetapi akhirnya saya meletakkan keputusan sebelum sampai waktunya.
Betapa terlukanya saya, hanya Tuhan yang tahu.
Saya tidak ingin mengungkit, kerana kenyataannya keputusan itu saya sendiri yang melafazkannya. Saya tahu saya perlu redha tetapi sehingga sekarang saya masih terkilan.
Allah!
Dua-tiga hari yang lalu apabila Allah sempatkan saya bersama 'keluarga' saya itu, terasa benar di hati saya betapa saya telah meninggalkan sesuatu yang amat saya cintai.
Mereka masih menghargai saya. Mereka masih mahu mendengar kata-kata saya. Mereka masih memandang wajah saya dengan rasa cinta. Mereka masih suka memeluk dan menyebut-nyebut nama saya. Mereka masih mempercayai kebolehan saya memimpin. Mereka masih memerlukan khidmat bakti saya.
Saya cukup terkesan dengan penerimaan mereka.
Saya tinggalkan mereka dengan tiba-tiba, walaupun mereka sebenarnya redha atas pemergian saya yang tidak sempat mereka raikan. Saya sendiri meminta untuk tidak diraikan sebab saya tahu hati saya cukup rapuh. Saya juga sedar diri bahawa siapalah saya untuk terlalu diraikan. Saya terasa begitu kerdil di sisi mereka.
Dulu saya memimpin mereka dengan sangat tegas. Saya menjadi manusia yang terlalu teliti akan hasil kerja mereka. Baik sahabat-sahabat mahupun anak-anak, saya layan dengan ketegasan di sebalik rasa cinta saya terhadap mereka. Saya cukup serius apabila berbicara tentang amanah, kerana amanah itu juga saya anggap sebagai ibadah. Saya selalu menegur kesilapan mereka yang pada hakikatnya kesilapan saya juga. Dan mereka menerima saya seadanya. Allahu Allah!
Hari ini saya terkesan lebih-lebih lagi.
Satu keputusan penting menanti lagi.
Dan saya agak keliru akan jalannya.
Kerana itu saya tidak mahu terburu-buru seperti tempoh hari. Walaupun yang dulu itu adalah keputusan yang mungkin paling tepat untuk saya pada waktu itu, keputusan kali ini saya masih punya sedikit masa.
Pertemuan kembali dengan anak-anak yang saya cintai sepenuh hati membuka kembali hati saya. Membuka mata. Dan membuka minda. Saya harus berpandangan lebih luas dan jauh. Lebih daripada sebelum ini.
Semoga Allah mengurniakan ilham seadanya. Kerana Dia lebih tahu.
Dan kebanyakan mereka yang saya anggap seperti saudara sendiri itu menyedari perubahan pada jari-jemari saya. Pertanyaan mereka tidak pernah saya jawab atas beberapa sebab.
Jadi ini jawapan kiasannya;
Hadiah daripada bonda semasa saya berumur enam belas tahun. Telah lama saya tinggalkan tetapi sejak sekitar seminggu yang lalu saya kembalikan ke tubuh saya, kerana sekarang saya sudah perlu memikirkan hati orang lain selain hati saya sendiri. Dengan meletakkan hadiah itu dekat dengan saya semoga saya selalu ingat hakikat menjaga diri dan hati saya dengan lebih teguh.
"Bila Teacher nak datang lagi?"
"Insha-Allah selalu, kalau mampu."
Allahu rabb!
Semoga pengorbanan yang telah dilangsaikan Engkau terima di hari perhitungan. Ikhlaskanlah perjuangan ini!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan