Ahad, 20 Mei 2012

Best ke pengorbanan?

Dengan nama Allah...


Often, the sacrifices we did or intended to do, are considered nothing, by others.

Sakit juga.

Selalunya, niat dan hasrat kita baik. Mahu buat sesuatu untuk beri kebaikan kepada orang lain. Ataupun kerana kita mahu memberi yang lebih baik kepada diri sendiri. Masalah timbul, apabila orang lain kurang faham dengan hasrat kita.

Dan kenyataannya, hasrat kita itu belum tentu baik untuk kita dan untuk orang lain. Kita, selalunya nampak dari sudut pandangan kita. Oleh itu, jarang-jarang pula dapat meletakkan diri dari sudut pandang orang lain.

Insha-Allah, sedikit masa lagi saya bakal melakukan satu pengorbanan. Buat diri sendiri dan buat orang lain. Saya tahu, tidak semua akan faham mengapa dan di mana kewajarannya untuk saya melakukannya. Saya tahu, tidak semua akan faham bahawa ini bukan tindakan mementingkan diri sendiri. Dan saya juga tahu, inilah yang saya mahu.

Saya, mahu lakukan yang terbaik dalam hidup. Dan saya harap benar, pengorbanan ini bakal memulakan usaha untuk pengakhiran hidup saya yang cemerlang dan penuh redha. Allahu Allah, saya cukup-cukup risau kalau-kalau niat saya untuk melakukan pengorbanan ini akhirnya menjadi sia-sia.

Kalau saya tidak lakukannya demi Dia. Nauzubillah.

Saya harus selalu mengingatkan diri sendiri. Bahawa apapun yang saya lakukan, lakukan demi Tuhan. Kemudian barulah layak untuk saya fikirkan demi orang-orang di sekeliling dan diri sendiri.

Hidup, tidak akan selalu senang. Dan kalaupun senang, tetap ada agenda Dia. Ujian itu datang dalam dua cabang. Kesenangan mahupun kesusahan.

Saya harap saya akan selalu sedar hakikat itu.

Ya, pengorbanan sangat best. Menuju jannah, harapnya.


Sabtu, 12 Mei 2012

Cinta Palestin

Dengan nama Allah...


Ada orang tanya saya, apa sebabnya saya begitu mencintai Palestin?

Saya jawab; saya belum cukup mencintai Palestin seperti yang sepatutnya. Perjuangan saya sangat sedikit berbanding kemampuan yang saya ada. Saya begitu malu untuk mengakui cinta saya pada Palestin sangat dalam. Sedangkan, saya masih malas meletakkan usaha untuk perjuangan yang sebenar.

Tapi, antara sebab yang buat saya begitu mengingati Palestin adalah kerana kaki saya ini pernah menjejaki tanah Palestin. Dahi saya ini pernah mencecah tanah Palestin, terutamanya di Masjid Al Aqsa. Saya kira, hanya manusia tak sedar diri saja yang akan tetap bodoh mengatakan tidak mencintai Palestin sesudah dikurnia nikmat sedemikian indah.

Semasa di Jericho, saya terjumpa seorang pak cik. Pak cik ini wajahnya sampai sekarang saya ingat. Walaupun tidak punya gambar. Saya bercita-cita, suatu hari nanti, saya mahu menziarahinya lagi di sana. Ketika itu, saya mahu jamah buah-buahan segar seperti anggur dan kurma hasil tanamannya di sekitar Jericho.

Jericho itu sangat panas. Sangat hampir dengan Laut Mati. Tapi, Allah jadikan ada masanya, pohon-pohon di sepanjang jalannya menghijau segar.

Ajaib, kan?

Jadi, apa lagi alasan saya tidak mencintai Palestin, kalau bukan kerana keajaiban cinta Allah pada kita?

Harap terjawab.





Khamis, 3 Mei 2012

Malam Kita

Dengan nama Allah...

Sebenarnya...

Apa lagi yang lebih indah, berbanding duduk di atas sejadah mengadu sakan pada-Nya?


Siapa lagi yang layak menjadi 'bahu' buat kita kalau bukan Allah?


Siapa lagi yang mendengari kita setiap saat kalau bukan Allah?


Malam ini, malam kita dengan-Nya.


Malam-malam seterusnya juga.