Isnin, 10 Oktober 2011

Tips Menghafal Al-Quran #6 dan #7

Dengan nama Allah...


#6 Antara Masa dan Usia

Ini pula untuk menjelaskan kekeliruan antara mitos dan realiti yang selalu menjadi pertanyaan, terutamanya orang-orang dewasa yang ingin memulakan hafazan pada usia yang lewat. Ada pendapat yang mengatakan sebaik-sebaiknya penghafazan dimulakan pada umur yang muda, sebagaimana yang diamalkan di kalangan masyarakat Arab. Ada pula yang berpendapat menamatkan hafazan dalam tempoh yang singkat, contohnya antara 2 ke 3 tahun, adalah yang terbaik.

Pendapat-pendapat ini kuat mempengaruhi umat Islam di mana-mana sahaja. Kesannya, memudarkan harapan sesetengah yang tidak berkesempatan menghadiri sekolah tahfiz pada usia yang muda. Pendapat-pendapat ini juga menggambarkan ada dua faktor yang perlu difikirkan oleh kita semua, iaitu (a) masa dan (b) usia.

Untuk melihat sejauh mana tanggapan-tanggapan di atas benar-benar berasas, cuba lihat sejarah penurunan al-Quraan serta proses penghafazan yang dilalui oleh Rasul S.A.W. dan para sahabat R.A.

Mari kita renungkan fakta-fakta di bawah ini, yang kebanyakan kita telah sedia mengetahuinya, iaitu:
(a) walaupun boleh menurunkan al-Quraan sekaligus kepada Rasul Allah S.A.W (an-Nisaa’:136) dan menuliskan dalam hati dan ingatannya berkekalan dan tidak akan lupa sampai bila-bila (al-A’laa:6), Allah menurunkannya sedikit demi sedikit kerana sebab-sebab tertentu, termasuklah untuk memudahkan Rasul Allah (sebagai sifatnya manusia biasa [al-Kahf:110]) mengingat kembali ayat-ayat yang telah diturunkan (al-Furqaan:32). Proses ini memakan masa hampir 23 tahun;
(b) di kalangan para sahabat Rasul Allah yang ternama hanya beberapa sahaja yang berpeluang memulakan hafazan pada umur muda, antara mereka ialah Sayyidina Ali K.W., Hasan, Hussain serta Ibnu ‘Abbas dan tiga Abdullah yang lain R.A. Yang lainnya, termasuk tiga Khulafa’ al-Rasyidin yang pertama memulakannya pada usia ‘terlalu dewasa’ dan dengan mengambil tempoh yang panjang;
(c) di kalangan para sahabat besar dan ternama, juga terdapat yang bermasalah ketika menghafaz. Mungkin ada yang pernah mendengar cerita Sayyidina Umar yang mengambil masa 10 tahun menghafaz surah al-Baqarah. Sebagai tanda kesyukuran beliau telah menyembelih unta;
(d) di dalam riwayat al-Tirmidzi dan al-Haakem ada peristiwa bahawa Sayyidina Ali K.W. dan Ibnu ‘Abbas R.A. yang pergi bersama-sama berjumpa Rasul Allah S.A.W. untuk mengadu yang sejumlah besar hafazan mereka ‘hilang’. Kisah Imam al-Syafiee yang lupa sebahagian hafazannya, walaupun telah tamat pada usia tujuh tahun, juga diketahui ramai.

Fakta-fakta daripada sirah seperti di atas mengisyaratkan bahawa tiada had usia untuk memulakan proses tahfiz. Sebagaimana juga yang dilalui oleh Rasul Allah S.A.W dan para sahabat R.A., tiada siginifikannya untuk menamatkan proses tahfiz dalam tempoh yang pendek. Bahkan, kisah Ibnu ‘Abbas R.A., Sayyidina Ali K.W. dan Imam al-Syafiee di atas mengisyaratkan bahawa tiada advantage yang ketara antara yang memulakannya di usia muda. Semua kita tahu bahawa Sayyidina Ali K.W. dan Ibnu ‘Abbas R.A. yang merupakan antara mereka yang paling ‘pakar’ dalam hal-ehwal al-Quraan. Semua orang juga tahu Imam al-Syafiee adalah seorang yang genius – dikatakan bahawa beliau boleh berbual dan berfikir serentak dalam topik-topik yang berlainan. Mereka juga menghadapi masalah. Kenapa demikian? Akan dibincang di bawah tajuk ‘Lupa’ kelak.

Tidak boleh dinafikan sama sekali memulakan hafazan pada umur yang muda dan menamatkannya dalam tempoh yang singkat adalah amat baik sekali. Sekiranya kita percaya peristiwa-peristiwa dalam sirah Rasul S.A.W. ‘bukanlah sesuatu yang kebetulan’ kita akan mengambilnya sebagai manhaj (cara) untuk menghafaz al-Quraan. Daripada itu juga, bolehlah disimpulkan bahawa ‘tempoh’ adalah lebih penting daripada ‘usia’. Bukan sebaliknya, sebagaimana yang menjadi mitos yang memberikan kesan negatif kepada kebanyakan umat Islam.

Teringat saya pada suatu peristiwa dalam bulan Ramadhan yang lalu seorang kiyai dari Sumatera bertanya saya tentang cara menghafaz untuk diajarkan kepada anaknya, seorang guru al-Quraan. Dia berkata dia sudah berusia lebih 60 tahun – dah tak ada harapan lagi. Selepas dijelaskan kisah dalam sirah seperti di atas, saya bertanya kepadanya “Pak Kiyai yakin tak yang Pak Kiyai boleh hidup 20 tahun lagi?”. Jawab beliau, “Insya Allah”. Esoknya Pak Kiyai tersebut datang semula dan berkata, “Saya dan anak saya dah mulakan hafazan hari ini."

#7 Mind the Minutes

Dalam banyak kes, masalah mengingat ayat-ayat al-Quraan berpunca daripada masalah-masalah kecil. Apabila kita memegang mashaf atau membaca al-Quraan, mungkin kerana setiap hari dan terbiasa melihat mashaf, kadang-kadang terlupa juga yang kita sedang berhadapan dengan Kalam Allah. Lantaran, terlupa kita menghormati Kalam yang agong itu yang tiada lagi yang lebih mulia daripadanya di atas muka bumi ini. Terlupa juga kita menghayati adab-adab ketika ‘mengungkap’ Kalam Allah yang mulia itu.

Yang dimaksudkan adab-adab di sini bukannya mesti mengucup mashaf, duduk menghadap kiblat, kena pakai kopiah atau sebagainya yang asas amalan-amalan tersebut boleh dipersoalkan kesahihannya. Bukan juga bermaksud untuk membincangkan mesti mengambil wudhu’ atau tidak sebelum menyentuh mashaf – isu ini sudah sahih kedudukannya. Apa yang ditekankan di sini ialah adab membaca dengan cara tartil. Kebanyakan ulama’ bersetuju tartil bermaksud bacaan dengan betul tajwid, makhraj, waqf, madd, qiraat yang standard, lagu yang standard (tanya mereka yang mahir dalam bidang tarannum) dan kelajuannya. Dengan lebih tepatnya, bacaan tartil bermaksud membaca al-Quraan sebagaimana ia ditalaqqykan oleh Jibrail A.S. kepada Rasul Allah S.A.W.

Isu tartil ini merupakan lanjutan kepada perbincangan dalam tips #4 dahulu. Dengan lain perkataan, keperluan membaca secara tartil merupakan perintah terawal diterima oleh Rasul Allah S.A.W. Oleh itu juga merupakan persediaan awal kepada penghafaz al-Quraan. Maksudnya, apapun petua yang diajar orang tentang mengenai kaedah mudah mengingat atau tidak mudah lupa, petua nombor 1 yang ajarkan oleh Allah kepada Rasul S.A.W. ialah bacalah al-Quraan dengan betul begaimana ia ditalaqqykan kepada Rasul S.A.W (al-Qiaamah, 18).

Dalam soal ini satu perkara yang amat penting diingat ialah isu keutamaan (priority). Membaca atau menghafaz?. Mungkin kita mencuba bersungguh-sungguh untuk menghafaz al-Quraan atau mana-mana surah yang kita pilih sehingga kita terlupa menghormati peraturan membaca secara tartil. Walaupun begitu perlu sentiasa diingat bahawa yang lebih penting lagi amalan membaca al-Quraan itu sendiri. Membaca al-Quraan adalah satu ibadah khusus. Semua kita tahu bahawa pahala membaca al-Quraan adalah dikira daripada huruf-hurufnya yang dibaca dengan betul.

Sekurang-kurangnya, kuasailah kaedah tajwid asas iaitu (a) makhraj yang betul dan (b) hukum yang lima. Perlu juga diingatkan kembali persoalan yang dibangkitkan dalam tips #1 iaitu hanya Allah yang menuliskan al-Quraan dalam hati kita. Jika kita berjaya menghafaz, itu bukan kerana keupayaan otak kita. Sebenarnya otak manusia, secara fizikalnya, sama seperti gunung-ganang (al-Hasyr,21), lemah dan tidak mampu menanggung al-Quraan. Al-Quraan itu Kalam Allah yang thaqila atau amat berat (al-Muzzammil, 4).

Oleh itu, mulakan penghafazan dengan pembacaan yang betul sebagaimana ia ditalaqqykan kepada Rasul S.A.W. Jangan speeding, jangan tergopoh gapah, Allah tidak suka (al-Qiaamah, 16). Tak mengapa lambat sedikit (lihat tips sebelum ini). Ingat, para d\sahabat dan para huffaz tidak menghafaz di atas lidah, hafazan mereka ‘meresap’ ke dalam darah daging, ingatan dan perasaan. Dengan mematuhi perintah membaca dengan betul, satu hari nanti insya Allah, dengan kasihan dan belas-Nya akan dikurniakan kedua-duanya. Pahala membacanya dan dituliskan ke dalam hati untuk selama-lamanya – iaitu untuk ditalaqqy pula kepada-Nya di akhirat kelak.


Keyword:

#6 - Masa VS Usia: Yakin boleh
#7 - Tartil. Bacaan mesti betul!


P/S: Mohon kepada yang punya tips lain untuk kongsi juga! Jazakumullah! ^_^



Tiada ulasan: