Sabtu, 8 Oktober 2011

Tips Menghafal Al-Quran #1 dan #2

Dengan nama Allah...


Insha-Allah, saya akan mula berkongsi informasi yang saya dapat dari pelbagai sumber tentang tips menghafal Al-Quran. Terutamanya yang saya dapati dari laman halaqah.net yang sebenarnya dipetik dari laman ALKIS - Alumni Kolej Islam Persatuan Alumni Kolej Islam, Kelang, Malaysia.

Insha-Allah, ini sebagai usaha buat diri sendiri. Dan juga mungkin, buat kamu-kamu yang punya keinginan mendekati Al-Quran tetapi tidak tahu jalan permulaannya. Saya juga manusia biasa-biasa yang tidak berpendidikan agama di maahad-maahad atau pengajian Islam di universiti. Saya hanya pelajar sekolah awam yang biasa, tanpa latarbelakang agama yang begitu formal. Saya juga bukanlah pelajar sekolah agama di sebelah petang sesudah sekolah biasa di pagi hari. Saya hanya belajar agama di sekolah sehingga tingkatan lima dan mengambil peperiksaan Pendidikan Agama Islam serta Tasawwur Islam dalam SPM. Bacaan Al-Quran saya terlalu banyak untuk diperbaiki. Baik dari segi tawjid atau makhraj.

Tetapi semua limitation yang saya sebutkan bukanlah alasan untuk saya berdolak-dalik daripada meletakkan usaha mendekati Al-Quran.

Semoga kita bermula dengan Bismillah, niat yang jelas kerana Dia, dan menyelesaikan niat kita walaupun mungkin mengambil masa sepuluh tahun. Itu lebih baik daripada tidak mencuba langsung. Insha-Allah. Amiin.

Ayuh! Mula sekarang!



#1 Mulakan dengan Tekad dan Doa

Sebelum memulakan, cuba hayati perkatan yang biasa kita dengar iaitu ‘Quraan itu Kalam Allah’. Secara lateral nya bermakna ia adalah milik Allah. Hanya Allah juga yang menjaga (hafz) al-Quraan. Dia jua menentukan di dalam dada siapa hendak disimpan. Dia jua menentukan ke atas lidah siapa hendak dibaca (talaqqy) al-Quraan. Oleh itu sebelum memulakan langkah ada dua perkara yang tiada pilihan melainkan dibuat jua.

Pertama, berniat dan bertekad hendak menghafal. Untuk memahami keperluan ini, cuba lihat dalam masyarakat kita. Rata-rata kebanyakan kita membaca surah Yaasin setiap malam Jumaat. Tetapi cuba lihat oleh kerana tiada keinginan untuk menghafal, selepas berpuluh-puluh tahun, hatta sampai ke akhir hayat tidak ramai yang boleh ingat dengan betul. Dan, cuba tanya di kalangan kita siapa yang boleh hafal satu ayat al-Quraan mengenai perintah berlaku adil, berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara mara yang dibaca oleh khatib setiap akhir khutbah Jumaat. Inilah yang dikatakan power tekad - boleh membezakan pencapaian hidup kita.

Kedua, berdoa dan jangan putus-putus berdoa. Hatta sampai ke akhir hayat, teruslah meminta. Tunjukkan yang kita ini amat faqir, terlalu hina dan meminta sedekah daripadaNya. Al-Quraan itu adalah dimiliki Allah dan merupakan sebesar-besar rahmatNya ke atas manusia. Masakan Dia hendak memberi sesuatu hartaNya yang terbaik kepada seseorang yang tak bersungguh-sungguh.


#2 Only 20 minutes each day, now everyone can do!

Antara masalah terbesar dalam memulakan menghafaz al-Quraan ialah persoalan bagaimana hendak memulakannya.
Sesetengah pula tergambar bahawa proses menghafaz al-Quraan memerlukan banyak masa sedangkan setiap kita sibuk dengan berbagai urusan, sama ada pelajaran, profesion atau rumah tangga. Sebenarnya terdapat beberapa mitos dan fakta dalam penghafazan al-Quraan. Antara mitosnya, menghafaz memakan masa yang panjang. Fakta sebenarnya ialah ia hanya memerlukan masa yang singkat tetapi konsisten.

Sekiranya kita boleh memperuntukkan 20 minit sehari secara konsisten, tidak kira waktu mana, kita boleh menghafaz. Mungkin sebelum memulakan tugas harian, waktu rehat tengah hari, selepas maghrib, sambil menunggu bas, dalam keretapi atau bila-bila ada kelapangan asalkan tetap. Hanya yang diperlukan ialah sabar membaca bahagian yang sama berulang-ulang hingga Allah mengizinkannya disimpan dalam hati kita.


Keyword:

#1 - Niat dan du'a
#2 - Istiqamah


P/S: Mohon kepada yang punya tips lain untuk kongsi juga! Jazakumullah! ^_^



Tiada ulasan: