Ahad, 5 Februari 2012

Sehelai Baju

Dengan nama Allah...


Hidup ini umpama sehelai baju.

Boleh jadi kotor kerana banyak faktor:
Peluh badan sendiri
Persekitaran yang kotor
Ada orang lain kotorkan
Kita sendiri yang kotorkan

Sehelai baju kita itu, boleh kita basuh dengan banyak cara:
Basuh guna tangan
Basuh guna mesin
Basuh macam biasa
Basuh secara kering (dry cleaning)

Dan, banyak juga faktor yang boleh menentukan tahap kebersihan sehelai baju kita itu selepas basuh:
Sabun apa yang dipakai
Tahap kebersihan air
Mesin basuh jenis apa & bagaimana fungsinya
Tahap sentalan
Dan lain-lain.

Begitu juga hidup.

Kadang-kadang kita berdosa kerana diri sendiri yang buat dosa. Ada masanya kerana persekitaran. Ada masa yang lainnya pula, orang lain yang membuatkan kita turut berdosa.

Kita boleh membersihkan diri dengan banyak cara. Berdu'a. Taubat. Berubah. Baca Quran. Membantu orang. Solat sunat.

Dan kualiti pembersihan diri itu terpulang pula pada kita. Bersungguh. Istiqamah atau tidak. Sabar. Mencari ilmu lebih banyak dan dalam supaya berubah ke arah lebih baik. Dan lain-lain.

Dan seperti juga sehelai baju itu, kita akan selalu kotor. Dan kita boleh selalu basuh diri kita. Sehinggalah seperti sehelai baju kita itu, sudah buruk tak boleh dipakai lagi.

Pada saat itulah kita mati.

Ajaib, kan?


Sabtu, 4 Februari 2012

Saya dan Buku Ajaib

Dengan nama Allah...


Saya ada buku ajaib.
Saya ada banyak buku ajaib.
Yang ini salah satu daripadanya.

Di Makkah, saya terlupa langsung membawa bekalan pensil dan kertas. Maka saya merayau-rayau mencari kedai buku untuk mendapatkan alat tulis dan buku tulis. Hasilnya kosong, pada permulaannya.

Akhirnya atas permintaan saya, seorang jemaah lelaki telah bertanya kepada Ustaz Abdul, yang telah bertahun tinggal di Makkah. Dengan budi pekerti sang ustaz, beliau mengiringi saya dan beberapa jemaah lain ke tempat yang dikatakan ada menjual buku dan alat tulis. Saya masuk ke kedai tersebut dengan harapan tinggi dan akhirnya kecewa apabila sang ustaz sendiri tidak dapat cari apa yang saya harapkan.

Ustaz minta diri, lalu saya keliling lagi kedai tersebut mencari-cari.

Kuasa Allah, di suatu sudut rak yang tak terfikir oleh saya, beberapa buku tulis warna putih keluaran Saudi sendiri tersusun sedikit selerak. Tidak banyak. Cukup dengan kiraan jari saja. Dan beberapa buku kertas kajang keluaran Indonesia juga di atasnya.

Saya sambar dua buah buku tulis putih, dan satu kertas kajang. Dan saya masih belum puas hati kerana belum bertemu dengan arang pujaan. Saya tawaf lagi keliling kedai dan akhirnya bertemu beberapa kotak pensil keluaran India. Sungguhpun saya hanya perlu satu-dua batang, yang dijual hanya satu kotak. Maka saya sambar juga sekotak penuh dua belas batang.

Allahu Allah.

Di Makkah ini payah benar pencinta bahasa dan seni seperti saya ini mahu melepas gian. Saya seolah bertemu cinta ketika mata terpandangkan buku dan pensil itu.

Alhamdulillah.

Inilah saya di tengah Kota Makkah.
Ini tempat lepak saya hampir setiap hari kalau tidak ke masjid atau berjalan-jalan menekuni bumi suci.
Di sini saya selalu menulis dan melukis.
Di sini saya duduk seorang diri melihat keliling.
Saya ditegur pelbagai jenis manusia.
Saya pernah merasa sepi.
Saya pernah merasa ditemani.
Saya pernah tersenyum.
Dan saya pernah menangis.
Semuanya di tempat ini.

Buku ajaib yang ini juga membawa pengertian besar buat saya.
Itulah antara cara saya berkomunikasi dengan diri sendiri dan Tuhan.

Saya masih ingat pandangan mata sang ustaz dan sahabat-sahabatnya ketika saya menyuarakan hasrat mencari buku dan alat tulis. Mereka seolah pelik melihat wujudnya manusia yang mencari barang sebegini berbanding kurma, kismis hitam, hati unta dan entah apa lagi di bumi Makkah.

Inilah saya.

Saya.

Saya dan buku ajaib saya.

Dalam buku yang ini, dan buku-buku ajaib yang lain, saya punya banyak kata-kata ajaib.

Insha-Allah, semuanya akan saya bukukan elok-elok. Dan kalau turun rezeki dari yang di langit, pasti buku-buku saya ada pada tangan kamu.

Ya. Mungkin saja.

Mohon du'a?