Ahad, 1 Januari 2012

Tak ada ucapan tahun baru

Dengan nama Allah...

Sudah tahun dua ribu dua belas?

Alhamdulillah, hidup lagi ya?

Tahniah semua!

Oh, maaf. Saya tak punya ucapan tahun baru seperti yang biasa orang lain buat. Walaupun saya seorang yang biasa-biasa.

Kebelakangan ini masa saya terlalu padat. Dan saya teringat kata nasihat beringatlah ketika lapang sebelum sempit. Nah, sudah rasa! Bila terlalu sempit, baru terasa betapa nikmatnya merasai kelapangan.

Padan muka diri sendiri.

Usia saya jika ikut kalendar masihi, sudah tak lama lagi akan berganjak ke usia dua puluh enam. Woah. Dua puluh enam? Dahulu, cita-cita mahu nikah dalam usia dua puluh tiga. Nampaknya sudah tersasar tiga tahun! Kerja Tuhan penuh rahsia kan?

Sekarang sudah lebih matang, jadi walau apa usianya, saya harapkan yang terbaik buat masjid yang bakal saya dirikan. Kalau Allah izinkan. Siapa tahu saya bakal dikafankan lebih dulu sebelum punya waktu mendirikan masjid sebagai syurga dunia baru? Oh. Takut. Tutup cerita kahwin-kahwin. Ini semua mesti sebab siang tadi bincang tentang majlis kakanda dan memenuhkan kalendar dengan empat walimah sepupu sepanjang dua ribu dua belas, jadi sudah teringat-ingat bila pula giliran diri sendiri. Oh takut juga.

Ajaibnya kerja Tuhan. Sedar-sedar sudah di tahun baru masihi. Sedar-sedar sudah semakin tua. (Mana ada orang makin muda?)

Semalam, ketika orang lain sibuk menyambut tahun baru, saya sedang lena tidur. Nikmat. Kerana sudah terlalu penat. Ditambah batuk-batuk yang makin menjadi dan hidung tersumbat yang mencabar rasa sabar.


Dan malam ini, ketika saya menulis ini, saya terbayang dataran An-Nabawi. Pada satu malam selesai Isya' saya berjalan sekitar masjid Nabi junjungan S.A.W. Saya pernah berdu'a, kalau sakit itu mendatangkan kebahagiaan kepada hidup saya sesudah mati, biarkanlah saya sakit seadanya di dunia. Saya langsung terkenang bagaimana Nabi Ayub A.S. ditimpa penyakit. Adakah saya setabahnya?

Tahun baru saya biasa-biasa saja.

Saya tidak ada azam untuk tahun dua ribu dua belas.

Kerana azam tahun baru saya sudah kurang lebih sebulan dilancarkan menjelang empat belas tiga puluh tiga hijriah.


Ya, saya skema dan kolot. Tapi okey lah kan? Daripada mengaku cool dan moden tapi menyimpang jauh dari yang di langit?



Tiada ulasan: