Isnin, 10 Oktober 2011

Tips Menghafal Al-Quran #6 dan #7

Dengan nama Allah...


#6 Antara Masa dan Usia

Ini pula untuk menjelaskan kekeliruan antara mitos dan realiti yang selalu menjadi pertanyaan, terutamanya orang-orang dewasa yang ingin memulakan hafazan pada usia yang lewat. Ada pendapat yang mengatakan sebaik-sebaiknya penghafazan dimulakan pada umur yang muda, sebagaimana yang diamalkan di kalangan masyarakat Arab. Ada pula yang berpendapat menamatkan hafazan dalam tempoh yang singkat, contohnya antara 2 ke 3 tahun, adalah yang terbaik.

Pendapat-pendapat ini kuat mempengaruhi umat Islam di mana-mana sahaja. Kesannya, memudarkan harapan sesetengah yang tidak berkesempatan menghadiri sekolah tahfiz pada usia yang muda. Pendapat-pendapat ini juga menggambarkan ada dua faktor yang perlu difikirkan oleh kita semua, iaitu (a) masa dan (b) usia.

Untuk melihat sejauh mana tanggapan-tanggapan di atas benar-benar berasas, cuba lihat sejarah penurunan al-Quraan serta proses penghafazan yang dilalui oleh Rasul S.A.W. dan para sahabat R.A.

Mari kita renungkan fakta-fakta di bawah ini, yang kebanyakan kita telah sedia mengetahuinya, iaitu:
(a) walaupun boleh menurunkan al-Quraan sekaligus kepada Rasul Allah S.A.W (an-Nisaa’:136) dan menuliskan dalam hati dan ingatannya berkekalan dan tidak akan lupa sampai bila-bila (al-A’laa:6), Allah menurunkannya sedikit demi sedikit kerana sebab-sebab tertentu, termasuklah untuk memudahkan Rasul Allah (sebagai sifatnya manusia biasa [al-Kahf:110]) mengingat kembali ayat-ayat yang telah diturunkan (al-Furqaan:32). Proses ini memakan masa hampir 23 tahun;
(b) di kalangan para sahabat Rasul Allah yang ternama hanya beberapa sahaja yang berpeluang memulakan hafazan pada umur muda, antara mereka ialah Sayyidina Ali K.W., Hasan, Hussain serta Ibnu ‘Abbas dan tiga Abdullah yang lain R.A. Yang lainnya, termasuk tiga Khulafa’ al-Rasyidin yang pertama memulakannya pada usia ‘terlalu dewasa’ dan dengan mengambil tempoh yang panjang;
(c) di kalangan para sahabat besar dan ternama, juga terdapat yang bermasalah ketika menghafaz. Mungkin ada yang pernah mendengar cerita Sayyidina Umar yang mengambil masa 10 tahun menghafaz surah al-Baqarah. Sebagai tanda kesyukuran beliau telah menyembelih unta;
(d) di dalam riwayat al-Tirmidzi dan al-Haakem ada peristiwa bahawa Sayyidina Ali K.W. dan Ibnu ‘Abbas R.A. yang pergi bersama-sama berjumpa Rasul Allah S.A.W. untuk mengadu yang sejumlah besar hafazan mereka ‘hilang’. Kisah Imam al-Syafiee yang lupa sebahagian hafazannya, walaupun telah tamat pada usia tujuh tahun, juga diketahui ramai.

Fakta-fakta daripada sirah seperti di atas mengisyaratkan bahawa tiada had usia untuk memulakan proses tahfiz. Sebagaimana juga yang dilalui oleh Rasul Allah S.A.W dan para sahabat R.A., tiada siginifikannya untuk menamatkan proses tahfiz dalam tempoh yang pendek. Bahkan, kisah Ibnu ‘Abbas R.A., Sayyidina Ali K.W. dan Imam al-Syafiee di atas mengisyaratkan bahawa tiada advantage yang ketara antara yang memulakannya di usia muda. Semua kita tahu bahawa Sayyidina Ali K.W. dan Ibnu ‘Abbas R.A. yang merupakan antara mereka yang paling ‘pakar’ dalam hal-ehwal al-Quraan. Semua orang juga tahu Imam al-Syafiee adalah seorang yang genius – dikatakan bahawa beliau boleh berbual dan berfikir serentak dalam topik-topik yang berlainan. Mereka juga menghadapi masalah. Kenapa demikian? Akan dibincang di bawah tajuk ‘Lupa’ kelak.

Tidak boleh dinafikan sama sekali memulakan hafazan pada umur yang muda dan menamatkannya dalam tempoh yang singkat adalah amat baik sekali. Sekiranya kita percaya peristiwa-peristiwa dalam sirah Rasul S.A.W. ‘bukanlah sesuatu yang kebetulan’ kita akan mengambilnya sebagai manhaj (cara) untuk menghafaz al-Quraan. Daripada itu juga, bolehlah disimpulkan bahawa ‘tempoh’ adalah lebih penting daripada ‘usia’. Bukan sebaliknya, sebagaimana yang menjadi mitos yang memberikan kesan negatif kepada kebanyakan umat Islam.

Teringat saya pada suatu peristiwa dalam bulan Ramadhan yang lalu seorang kiyai dari Sumatera bertanya saya tentang cara menghafaz untuk diajarkan kepada anaknya, seorang guru al-Quraan. Dia berkata dia sudah berusia lebih 60 tahun – dah tak ada harapan lagi. Selepas dijelaskan kisah dalam sirah seperti di atas, saya bertanya kepadanya “Pak Kiyai yakin tak yang Pak Kiyai boleh hidup 20 tahun lagi?”. Jawab beliau, “Insya Allah”. Esoknya Pak Kiyai tersebut datang semula dan berkata, “Saya dan anak saya dah mulakan hafazan hari ini."

#7 Mind the Minutes

Dalam banyak kes, masalah mengingat ayat-ayat al-Quraan berpunca daripada masalah-masalah kecil. Apabila kita memegang mashaf atau membaca al-Quraan, mungkin kerana setiap hari dan terbiasa melihat mashaf, kadang-kadang terlupa juga yang kita sedang berhadapan dengan Kalam Allah. Lantaran, terlupa kita menghormati Kalam yang agong itu yang tiada lagi yang lebih mulia daripadanya di atas muka bumi ini. Terlupa juga kita menghayati adab-adab ketika ‘mengungkap’ Kalam Allah yang mulia itu.

Yang dimaksudkan adab-adab di sini bukannya mesti mengucup mashaf, duduk menghadap kiblat, kena pakai kopiah atau sebagainya yang asas amalan-amalan tersebut boleh dipersoalkan kesahihannya. Bukan juga bermaksud untuk membincangkan mesti mengambil wudhu’ atau tidak sebelum menyentuh mashaf – isu ini sudah sahih kedudukannya. Apa yang ditekankan di sini ialah adab membaca dengan cara tartil. Kebanyakan ulama’ bersetuju tartil bermaksud bacaan dengan betul tajwid, makhraj, waqf, madd, qiraat yang standard, lagu yang standard (tanya mereka yang mahir dalam bidang tarannum) dan kelajuannya. Dengan lebih tepatnya, bacaan tartil bermaksud membaca al-Quraan sebagaimana ia ditalaqqykan oleh Jibrail A.S. kepada Rasul Allah S.A.W.

Isu tartil ini merupakan lanjutan kepada perbincangan dalam tips #4 dahulu. Dengan lain perkataan, keperluan membaca secara tartil merupakan perintah terawal diterima oleh Rasul Allah S.A.W. Oleh itu juga merupakan persediaan awal kepada penghafaz al-Quraan. Maksudnya, apapun petua yang diajar orang tentang mengenai kaedah mudah mengingat atau tidak mudah lupa, petua nombor 1 yang ajarkan oleh Allah kepada Rasul S.A.W. ialah bacalah al-Quraan dengan betul begaimana ia ditalaqqykan kepada Rasul S.A.W (al-Qiaamah, 18).

Dalam soal ini satu perkara yang amat penting diingat ialah isu keutamaan (priority). Membaca atau menghafaz?. Mungkin kita mencuba bersungguh-sungguh untuk menghafaz al-Quraan atau mana-mana surah yang kita pilih sehingga kita terlupa menghormati peraturan membaca secara tartil. Walaupun begitu perlu sentiasa diingat bahawa yang lebih penting lagi amalan membaca al-Quraan itu sendiri. Membaca al-Quraan adalah satu ibadah khusus. Semua kita tahu bahawa pahala membaca al-Quraan adalah dikira daripada huruf-hurufnya yang dibaca dengan betul.

Sekurang-kurangnya, kuasailah kaedah tajwid asas iaitu (a) makhraj yang betul dan (b) hukum yang lima. Perlu juga diingatkan kembali persoalan yang dibangkitkan dalam tips #1 iaitu hanya Allah yang menuliskan al-Quraan dalam hati kita. Jika kita berjaya menghafaz, itu bukan kerana keupayaan otak kita. Sebenarnya otak manusia, secara fizikalnya, sama seperti gunung-ganang (al-Hasyr,21), lemah dan tidak mampu menanggung al-Quraan. Al-Quraan itu Kalam Allah yang thaqila atau amat berat (al-Muzzammil, 4).

Oleh itu, mulakan penghafazan dengan pembacaan yang betul sebagaimana ia ditalaqqykan kepada Rasul S.A.W. Jangan speeding, jangan tergopoh gapah, Allah tidak suka (al-Qiaamah, 16). Tak mengapa lambat sedikit (lihat tips sebelum ini). Ingat, para d\sahabat dan para huffaz tidak menghafaz di atas lidah, hafazan mereka ‘meresap’ ke dalam darah daging, ingatan dan perasaan. Dengan mematuhi perintah membaca dengan betul, satu hari nanti insya Allah, dengan kasihan dan belas-Nya akan dikurniakan kedua-duanya. Pahala membacanya dan dituliskan ke dalam hati untuk selama-lamanya – iaitu untuk ditalaqqy pula kepada-Nya di akhirat kelak.


Keyword:

#6 - Masa VS Usia: Yakin boleh
#7 - Tartil. Bacaan mesti betul!


P/S: Mohon kepada yang punya tips lain untuk kongsi juga! Jazakumullah! ^_^



Ahad, 9 Oktober 2011

Tips Menghafal Al-Quran #3, #4 dan #5

Dengan nama Allah...


#3 Ramadhan Bulan al-Quraan

Persoalan kedua yang perlu dijawab ialah “bila nak memulakannya?”. Al-Quraan diturunkan kepada Rasulullah (S.A.W) di bulan Ramadhan. Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan al-Quraan. Oleh kerana Rasul (S.A.W) memulakannya di situ, turuti jejaknya. Hanya Allah yang mengetahui betapa eratnya hubungan antara Ramadhan dengan al-Quraan. Seperti yang umum mengetahui bahawa di setiap bulan Ramadhanlah Rasulullah (S.A.W) menyemak bacaan dan hafazannya bersama Jibrail (A.S). Cara yang paling mudah dan praktikal untuk mengambil manfaat daripada bulan Ramadhan serta memulakan tahfiz di bulan tersebut ialah pertama dengan mengingati kembali surah-surah yang pernah dihafaz di masa-masa dahulu. Kedua, pada akhir Ramadhan menyediakan rekod inventori surah-surah tersebut.

Oleh kerana ia adalah bulan al-Quraan, Ramadhan merupakan bulan terpenting bagi seseorang penghafaz al-Quraan. Sebagai mana amalan Rasul (S.A.W.), di bulan Ramadhanlah seseorang penghafaz memeriksa dan menutup akaun tahunan (annual account check). Mengenai proses penutupan akaun tahunan di bulan Ramadhan, seseorang penghafaz khususnya dan setiap mukmin umumnya, patut mengamalkan dua perkara berikut. Pertama, menjelang Ramadhan yang akan datang, memperbaiki bacaan dan hafazan yang telah disemak dan dikenal pasti telah rosak. Kedua, menjelang Ramadhan akan datang juga, menambah inventori hafazan yang telah dibuat sebelum Ramadhan yang telah lalu. Ingat juga, seseorang mukmin yang baik ialah yang amalannya semakin baik dan bertambah di antara Ramadhan yang telah lalu dengan Ramadhan yang akan datang. Jadikanlah al-Quraan antara amalan yang bertambah di antara setiap Ramadhan.

#4 Pengajaran Surah al-Muzzammil

Walau apa pun pertikaian ulama’ mengenai susunan turunnya surah-surah dalam al-Quraan, terutamanya mengenai kedudukan surah Al-Muzzammil, tidak dapat dinafikan bahawa surah ini adalah antara yang terawal. Perkara yang hendak ditekankan di sini ialah ayat nombor 5. Ayat ini, yang bermaksud lebih kurang “Kami akan membacakan kepada engkau perkataan yang berat”. Ayat ini mengisyaratkan amalan-amalan yang perlu dibuat oleh Rasul S.A.W. bagi mempersiapkan diri untuk dibacakan oleh Allah al-Quraan di dalam hatinya. Seperkara lagi yang menarik dalam ayat ini ialah perkataan “sa nulqiy” yang membawa makna bahawa sebaik sahaja diamalkan surah ini Allah akan terus membacakan kapada Rasul SAW ayat-ayat yang berat itu.

Ringkasnya, surah ini mengajar sesiapa yang ingin menghafaz al-Quraan dengan membuat persiapan diri, sekurang-kurangnya mengamalkan:
(a) sembahyang malam, walaupun hanya sejenak;
(b) memperbanyakkan istighfar selepas sembahyang malam;
(c) membaca al-Quraan semasa atau selepas sembahyang malam; dan
(d) bersadaqah.

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini bahawa proses menghafaz al-Quraan lebih merupakan kebergantungan kepada rahmat Allah. Ini bermakna kekuatan ingatan berserta amalan membaca secara berulang-ulang samada bersistematik atau tidak, tidaklah memadai. Sebab itulah surah al-Muzzammil ini diturunkan antara yang terawal. Ayuh!

#5 Kenali Mashaf Anda

Mungkin soal ini bukanlah sesuatu yang penting. Walau bagaimana pun ramai penghafaz al-Quraan bersetuju bahawa mashaf yang dibaca sewaktu menghafaz mempunyai impak terutamanya ketika mengingat kembali surah-surah dihafaz.

Terdapat berbagai jenis mashaf al-Quraan yang dibaca di seluruh dunia. Namun begitu setiap satunya tidak mempunyai identiti pengenalan yang rasmi. Antaranya dikenali sebagai ‘Mashaf Madinah’, iaitu seperti yang biasa dihadiahkan oleh Raja Saudi kepada setiap orang mengerjakan haji. Edisi lain yang seumpamanya seperti yang biasanya ditulis dengan ‘Al-Quraan Al-Karim’ di kulit luarnya atau yang biasanya dicetak di Damshek dan Lubnan. Ada yang juga dikenali sebagai ‘Mashaf Gujerati’. Jenis ini biasanya ditulis dengan ‘Al-Quraan Al-Majid’ dikulit hadapannya dan banyak dicetak di India dan Pakistan. Ada yang dikenali sebagai Mashaf Saudi iaitu yang satu masa dulu diedarkan melalui Rabitah Al-Alami Islami. Tidak ketingalan juga Mashaf Malaysia. Ini hanya contoh sahaja, banyak lagi edisi lain di pasaran. Perlu juga diingat, ada sesetengah mashaf hanya sesuai untuk qiraat tertentu, contohnya satu jenis yang dicetak di Libya khusus untuk qiraat Quloon.

Semua mashaf ini adalah betul belaka dan disahkan ketepatannya oleh para hufaz, qaari’ dan muqri’. Apa yang penting diketahui ialah setiap jenis mashaf mempunyai stail cetakan yang berbeza. Antara perbezaan-perbezaan yang penting ialah pada:
(a) simbol-simbol bacaan;
(b) tempat berhenti (waqaf dan sebagainya);
(c) permulaan juzuk-juzuk
(d) pembahagian juzuk-juzuk; dan
(e) jenis khat.

Kesemua ini, walau pun tidak merupakan perkara yang penting, mempunyai kesan yang besar dalam penghafalan. Oleh itu, adalah amat baik kiranya jika satu-satu jenis telah dipilih atau dibiasakan, gunakan mashaf jenis tersebut sahaja sehingga proses penghafalan sempurna. Kekerapan bertukar mashaf boleh menyebabkan kekeliruan ketika mengingat kembali ayat-ayat yang telah dihafaz. Dan, sebaik-baiknya di sepanjang penghafalan gunakan satu mashaf sahaja yang tidak dikongsi dengan sesiapa dan di dalamnya boleh dibuat catatan yang sepatutnya mengenai proses dan sejarah penghafalan yang dilalui.


Keyword:

# 3 - Ramadhan bulan mula serta check and balance
# 4 - Persiapkan diri
# 5 - Satu mashaf


P/S: Mohon kepada yang punya tips lain untuk kongsi juga! Jazakumullah! ^_^



Sabtu, 8 Oktober 2011

Tips Menghafal Al-Quran #1 dan #2

Dengan nama Allah...


Insha-Allah, saya akan mula berkongsi informasi yang saya dapat dari pelbagai sumber tentang tips menghafal Al-Quran. Terutamanya yang saya dapati dari laman halaqah.net yang sebenarnya dipetik dari laman ALKIS - Alumni Kolej Islam Persatuan Alumni Kolej Islam, Kelang, Malaysia.

Insha-Allah, ini sebagai usaha buat diri sendiri. Dan juga mungkin, buat kamu-kamu yang punya keinginan mendekati Al-Quran tetapi tidak tahu jalan permulaannya. Saya juga manusia biasa-biasa yang tidak berpendidikan agama di maahad-maahad atau pengajian Islam di universiti. Saya hanya pelajar sekolah awam yang biasa, tanpa latarbelakang agama yang begitu formal. Saya juga bukanlah pelajar sekolah agama di sebelah petang sesudah sekolah biasa di pagi hari. Saya hanya belajar agama di sekolah sehingga tingkatan lima dan mengambil peperiksaan Pendidikan Agama Islam serta Tasawwur Islam dalam SPM. Bacaan Al-Quran saya terlalu banyak untuk diperbaiki. Baik dari segi tawjid atau makhraj.

Tetapi semua limitation yang saya sebutkan bukanlah alasan untuk saya berdolak-dalik daripada meletakkan usaha mendekati Al-Quran.

Semoga kita bermula dengan Bismillah, niat yang jelas kerana Dia, dan menyelesaikan niat kita walaupun mungkin mengambil masa sepuluh tahun. Itu lebih baik daripada tidak mencuba langsung. Insha-Allah. Amiin.

Ayuh! Mula sekarang!



#1 Mulakan dengan Tekad dan Doa

Sebelum memulakan, cuba hayati perkatan yang biasa kita dengar iaitu ‘Quraan itu Kalam Allah’. Secara lateral nya bermakna ia adalah milik Allah. Hanya Allah juga yang menjaga (hafz) al-Quraan. Dia jua menentukan di dalam dada siapa hendak disimpan. Dia jua menentukan ke atas lidah siapa hendak dibaca (talaqqy) al-Quraan. Oleh itu sebelum memulakan langkah ada dua perkara yang tiada pilihan melainkan dibuat jua.

Pertama, berniat dan bertekad hendak menghafal. Untuk memahami keperluan ini, cuba lihat dalam masyarakat kita. Rata-rata kebanyakan kita membaca surah Yaasin setiap malam Jumaat. Tetapi cuba lihat oleh kerana tiada keinginan untuk menghafal, selepas berpuluh-puluh tahun, hatta sampai ke akhir hayat tidak ramai yang boleh ingat dengan betul. Dan, cuba tanya di kalangan kita siapa yang boleh hafal satu ayat al-Quraan mengenai perintah berlaku adil, berlaku ihsan dan berbuat baik kepada saudara mara yang dibaca oleh khatib setiap akhir khutbah Jumaat. Inilah yang dikatakan power tekad - boleh membezakan pencapaian hidup kita.

Kedua, berdoa dan jangan putus-putus berdoa. Hatta sampai ke akhir hayat, teruslah meminta. Tunjukkan yang kita ini amat faqir, terlalu hina dan meminta sedekah daripadaNya. Al-Quraan itu adalah dimiliki Allah dan merupakan sebesar-besar rahmatNya ke atas manusia. Masakan Dia hendak memberi sesuatu hartaNya yang terbaik kepada seseorang yang tak bersungguh-sungguh.


#2 Only 20 minutes each day, now everyone can do!

Antara masalah terbesar dalam memulakan menghafaz al-Quraan ialah persoalan bagaimana hendak memulakannya.
Sesetengah pula tergambar bahawa proses menghafaz al-Quraan memerlukan banyak masa sedangkan setiap kita sibuk dengan berbagai urusan, sama ada pelajaran, profesion atau rumah tangga. Sebenarnya terdapat beberapa mitos dan fakta dalam penghafazan al-Quraan. Antara mitosnya, menghafaz memakan masa yang panjang. Fakta sebenarnya ialah ia hanya memerlukan masa yang singkat tetapi konsisten.

Sekiranya kita boleh memperuntukkan 20 minit sehari secara konsisten, tidak kira waktu mana, kita boleh menghafaz. Mungkin sebelum memulakan tugas harian, waktu rehat tengah hari, selepas maghrib, sambil menunggu bas, dalam keretapi atau bila-bila ada kelapangan asalkan tetap. Hanya yang diperlukan ialah sabar membaca bahagian yang sama berulang-ulang hingga Allah mengizinkannya disimpan dalam hati kita.


Keyword:

#1 - Niat dan du'a
#2 - Istiqamah


P/S: Mohon kepada yang punya tips lain untuk kongsi juga! Jazakumullah! ^_^