Khamis, 30 Disember 2010

Alhamdulillah! ^_^ How about you?

Dengan nama Allah...


Alhamdulillah. Sungguh, segala puji bagi Allah.

Jalan yang dipilih, membahagiakan setakat ini. Ukhuwah baru yang sudah mula mewangi nampaknya mencerahkan jiwa. Insha-Allah, moga hingga ke syurga hendaknya. Segala penat-lelah beberapa minggu ini sebenarnya mendamaikan jiwa. Cumanya, ada lompang-lompang yang harus diurus secara lebih baik selepas ini. Semoga 'bersusah-susah sekarang, bersenang-senang nanti', menjadi kenyataan. Amiin...

Walaupun mungkin apa yang diusahakan hari ini tidak menjanjikan harta menimbun, kebahagiaan pada hamba hanyalah apabila hati tenang bekerja, dan keberkatannya terasa. It is all that matters. Restu ke-dua orang tua juga masih memancar ke jiwa setiap hari. Alhamdulillah...

Sudah hampir penghujung Muharram. Sebahagiaan perancangan hamba Alhamdulillah telah tercapai. Cuma mahu pastikan istiqamah.

Kamu bagaimana? Fikir-fikirkanlah di dalam hati!


Ahad, 12 Disember 2010

Dari Kuala Lumpur ke Citayam


Dengan nama Allah...


17 Ogos 2008
Waktu aku berdiri di atas pentas
Gemuruh seluruh jasad
Melafaz bait puisi yang tidak aku ingat
Cahaya yang dihala ke muka hanya menambah resah

Jeda yang lama
Aku langsung hilang kata-kata
Kaku melihat seluruh ruang menunggu bicara dimulai lagi

Tuhan hanya menampakkan wajah kamu
di bawah cahaya yang semakin memancar
yang sedikit menyekat rasa hati

Aku lihat mata kamu mengharap aku tak hilang kata
sambil berkerut seribu di dahi
Yang lain cuma pemandangan gelap
dan dengari turun naik nafas sendiri

Akhirnya,
aku kira kalaupun aku berdoa
khabar pemergian kamu
telah tiba jua

Sungguh,
telah kamu ada setelah kamu tiada
telah aku simpan puisi semangat kamu kejap-kejap dalam hati.

9 Disember 2010
Damailah di sana
bersama keagungan Allah.

Selamat pulang Asep Sambodja.
15 September 1967 - 9 Disember 2010

Aku terbang dalam hati,
Dari Kuala Lumpur ke Citayam.




"Kenyataannya penghayatan kita terhadap sesuatu karya itu berbeda, makanya cara penyampaian kita juga berbeda karna mungkin sahaja pemahaman kita juga lain-lain maksudnya." - Asep Sambodja, 17 Ogos 2008



Puisi dedikasi Mas Asep kepada hamba
, sampai mati akan menjadi salah-satu penguat semangat hamba. Mesti jadi tangguh! Kata Mas, ya?

Terima kaseh Mas.

Sampai ketemu, suatu hari nanti bila hamba menyusul pula. Membawa bahagia.


Sabtu, 11 Disember 2010

Tak mahu mati!

Dengan nama Allah...


Agak kelakar bila membaca tulisan-tulisan lama hamba.

Ya, ia melambangkan perubahan dalam kematangan dalam menyampaikan rasa hati, pendapat, dan cara penulisan.

Ada juga yang menonjolkan kebodohan dan kejahilan.

Tidak mengapa. Tak terniat (lagi) untuk memadam tulisan-tulisan itu semua. It will certainly be a good way to muhasabah, from time to time.

Apart from that, hamba berharap masih bernyawa esok subuh, untuk meneruskan cita-cita yang semakin kerap lalu-lalang di jalan fikiran. Tahun 1432 hijriah ini bakal berlaku kisah-kisah bahagia harapnya. Sudah bersusun perancangan dan sedang meminta-minta restu orang tua. Tinggal lagi, mengharap-harapkan keizinan Dia.

Tiba-tiba juga, hamba punya kecintaan yang gila untuk melagukan suara, menyanyi melodi puji-pujian kepada yang di langit. Kalaulah hamba mempunyai bakat sempurna mencipta lagu, lebih gilalah hamba syok sendiri perasan suara merdu sambil merekod tak sudah. Hamba teringin sungguh meminta lagu daripada dua-tiga manusia seni yang hamba kenali. Tapi malu. Ah, anak gadis biasa-biasa seperti hamba elok menjaga batas. Suara boleh jadi aurat kalau salah bunyinya. Harap-harap, kuatlah jua jiwa hamba untuk menahan kemahuan yang bukan-bukan. Kalau mahu berlagu-lagu sekalipun, semoga yang dibunyikan itu hanya untuk Tuhan semata.

Malam ini malam penuh kerinduan. Kuala Lumpur berselawat sakan. Air mata perindu seperti kami, tumpah sampai kering pun, tak pernah padam rasa rindu membuak. Allah, berikan kami peluang bertemu Kekasih kami suatu hari, dalam taman firdausi hendaknya.

Sementara hamba meminta-menagih syurga firdausi hakiki, di syurga dunia keadaannya lebih baik barangkali. Walau kadang terasa sesak memikul segala tanggungjawab di bahu, hamba cuma harapkan redha ke-dua orang tua. Semoga akan datang pulalah redha Tuhan kemudiannya. Hamba sudahpun membuat keputusan ke mana arah tuju selepas ini. Berair mata jugalah menguatkan dinding pendirian. Takut berubah-ubah tekad ini. Semoga keputusan yang dibuat adalah keputusan terbaik untuk agama Allah. Yang dipenting-pentingkan adalah Tuhan dan kekasih-Nya. Keluarga kekasih-Nya. Dan keluarga hamba sendiri. Takut sebetulnya. Takut menempuh sesuatu yang belum tahu jadi. Tapi kalau tak cuba, tak mungkin akan tahu, bukan?

Waktu terasa kurang keyakinan, lagu Satu dan Kaseh oleh Rosin selalu dinyanyi-nyanyikan. Ya, kita berzikir-zikir, kita memuji-muji. Dan kita menyanyi-nyanyi.

Entah kenapa, selalu sangat berfikir hal kedewasaan kebelakangan ini. Mungkin ini tandanya, hamba sudah benar-benar dewasa. Begini perasaannya menjadi dewasa, ya? Mahu berbelanja walau sekeping syiling 10 sen sekalipun, direnung jauh. Mahu keluar rumah untuk apa, berkisar-kisar baik buruknya. Mahu belajar apa, difikir-fikir kepentingannya. Fikir duit, fikir amalan, fikir keluarga, fikir badan, fikir rumah, fikir ilmu. Jadi kanak-kanak memang tak perlu fikir banyak, tapi keindahan menjadi dewasa itu bukan sekadar pada keputusan yang dibuat tetapi lebih kepada hasil (dan akibatnya) nanti.

Ah. Mahu syurga. Tapi belum mahu mati. Benarkan hamba bukan sekadar merasai kedewasaan, ya Tuhan. Hamba mahu menjadi tua. Suatu hari nanti, sebelum pergi.


Jumaat, 10 Disember 2010

Seram Sejuk

Dengan nama Allah...


Seram sejuk,
berdiri tengah padang
kalau Tuhan panahkan petir.

Seram sejuk,
mandi dalam kolam
kalau Tuhan dalamkan air.

Seram sejuk,
mahu berlari
kalau Tuhan jatuhkan jasad, patahkan kaki.

Seram sejuk,
mahu lena
kalau Tuhan tak bangkitkan lagi.

Seram sejuk,
bila makan
atau minum
atau duduk
atau berjalan.
Dalam apa pun.
Bila masa pun.

Seram sejuk,
berdiri atas sejadah, berkurung kain putih menghadap kiblat.

Seram sejuk,
takutkan Tuhan
kagumkan Tuhan.

Khasyatillah.


Pada hari ini orang kafir telah berputus asa daripada agama-Mu. Oleh itu, janganlah takut kepada mereka, takutlah kepada Allah S.W.T.
(Surah Al-Maidah: Ayat 3)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami adalah orang-orang yang apabila diingatkan dengan ayat-ayat (ayat Kami), mereka sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, sedang mereka tidak menyombong diri.
(Surah As-Sajadah: Ayat 15)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut (nama) Allah dan (sifat-sifat-Nya) gementarlah hatinya dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah S.W.T., iman mereka bertambah dan kepada Allah S.W.T. mereka berserah.
(Sural Al-Anfal: Ayat 2)

Khamis, 9 Disember 2010

Mahu, tak mahu, mahu, tak mahu...

Dengan nama Allah...


Kadang, yang kita mahu itu bukan selalu kita (akan) dapat.

Selalu, yang kita tidak mahu itu yang kita (selalu) dapat.

Mungkin, yang kita tidak dapat itu memang yang kita tidak mahu.

Cuma, peduli apa dengan kemahuan kita? Kemahuan Tuhan, bagaimana?

Ahad, 5 Disember 2010

Terima Kaseh Pakatan Rakyat! We love you!

Dengan nama Allah...


Ini luahan hati kami rakyat Malaysia (dan pelancong) yang biasa-biasa.

Terima kasih Pakatan Rakyat!

1. Saya tukang jahit di Shah Alam. Jadual beli manik dan benang di Chow Kit adalah setiap Ahad pagi. Kerana PR nak buat demo Ahad ini, saya terpaksa cancel nak masuk KL. Jadi, ada baju pelanggan tak sempat siap on time. Jadi, perniagaan saya sedikit terjejas dan saya hadapi risiko kehilangan pelanggan. Tak apalah, PR kan betul! Kena sokong!

2. Saya anak seorang anggota polis. Ya, polis-polis yang anda tuduh corrupted dan selalu bertindak kasar dengan anda tu. Sebab ada demo, ayah saya tak dapat cuti. Cuti dibekukan. Rancangan bercuti sempena cuti sekolah terpaksa dibatalkan last minute. Agaknya memang ayah saya tak ada kerja lain selain daripada naik trak merah dan stand-by nak main sembur-sembur air pada anda. Ataupun naik motor dan tunggu tepi jalan nak kawal lalu lintas yang confirm sesak teruk dan keselamatan orang awam yang lain. Ala, best kot. Bila besar nanti nak jadi polis jugakkkk!

3. Saya peniaga di KL. Sebab demo ini, ramai pelanggan tak dapat datang kedai saya. Perniagaan saya rugi. Malah saya terpaksa tutup kedai demi keselamatan saya dan perniagaan saya. Eleh apa kisah. Y.E.S ada. Next week ramailah tu datang kedai saya. Kot.

4. Saya pelancong dari Jerman. Baru saya tahu Malaysia sebenarnya huru-hara macam Indonesia dan Thailand juga. Ingatkan hanya Korea ada provokasi dan serang-menyerang. Lain kali nak datang kena fikir 10 kali. Saya datang nak bercuti, tapi jalan sesak dan keadaan berserabut. Nampaknya elok saya join perarakan tu sekali dan pura-pura sokong. Manalah tahu dapat masuk TV Malaysia dan bolehlah yakinkan kawan-kawan saya jangan datang Malaysia. Saya dah lama mengidam nak ke Brunei tapi kawan-kawan saya nak juga datang Malaysia. Dengan cara ni mungkin dapat hasut mereka supaya jangan datang Malaysia. Yeay!

5. Saya isteri pegawai polis. Suami saya selalu sibuk dengan tugasan di pejabat. Kerana suami saya seorang pegawai kanan, banyak mesyuarat dia harus hadiri. Kerja di pejabat tak pernah habis. Weekdays adalah waktu yang sangat susah mahu menghabiskan masa berkualiti bersama. Bila ada demo macam ni, mesyuarat tergempar selalu ada. Dan hari cuti pun kena masuk office atau bilik gerakan. Nak menguruskan keselamatan lalu-lintas jalan raya bukannya mudah. Apatah lagi nak bersedia atas kemungkinan yang perarakan seperti ini akan jadi ganas atau melampau. Jadi, weekend pun tak dapat spend time together. Anak-anak selalu kecil hati ayah mereka selalu tak ada di rumah. Dah lah kena on-call, cuti pun beku. Seronok agaknya melepak di pejabat berbanding di rumah.

6. Saya pemandu ambulans HKL. Demo PR memang menyeronokkan. Ada ibu terpaksa bersalin dalam ambulans sebab traffic jammed. Ada pesakit tak sempat dibawa ke hospital dan dirawat pada jangka waktu yang sepatutnya sebab ambulans sampai lambat. Nak buat macam mana, siren saya dah pasang, siap hon sekuat hati. Tak cukup dengan itu saya buka tingkap dan jerit-jerit macam penyanyi rock. Polis trafik pun cuba bantu tapi sebab ramai penyokong PR bersepah-sepah tepi jalan, ambulans tak dapat bergerak jauh pun. Itu belum termasuk orang yang tak ada kaitan tapi nak menyibuk di situ juga. Memang jalan sesak betul.

7. Saya usahawan. Saya ada important appointment pada pagi Ahad. Bila masuk KL, jalan bukan main sesak sebab jalan ditutup atas faktor keselamatan dan lencongan yang terpaksa dilakukan polis trafik. Kereta berderet-deret, nak naik LRT pula, pun susah nak parking. Rupanya ada orang berdemo dan berarak ke Istana Negara. Saya lambat 1 jam setengah ke appointment saya. Saya kehilangan pelanggan saya. Dan pendapatan saya terjejas. Nampaknya nak bayar yuran sekolah anak tahun depan mungkin kena hutang.

8. Saya pemandu bas RapidKL. Dah lah bas RapidKL memang selalu rosak. Hari ni pula jalan banyak tutup. Sesak betul. Saya terpaksa tukar laluan bas dan saya tahu ada pelanggan RapidKL yang terpaksa menghadapi akibat tak dapat naik bas. Kaki saya pun penat asyik tekan brek. Pelanggan salahkan saya. Mungkin saya patut turun bas dan ajak sama semua penumpang untuk join demo dan perarakan. Dapat eratkan silaturrahim dan lapangkan fikiran. Untung-untung, harga minyak turun dan tambang bas jadi murah. Kalau untung.

9. Saya pensyarah di universiti tempatan. Saya dapat tahu ada pelajar saya mengikuti demo di KL. Patutlah markah exam rendah. Jarang datang kelas, masuk kelas lambat. Sibuk aktiviti luar. Tutorial jarang benar siap. Pernah katanya, mahasiswa perlu bersuara dalam isu semasa. Katanya perlu tegakkan kebenaran dan lakukan sesuatu bila harga barang naik. Mana boleh berdiam diri! Mungkin saya pun patut join demo, manalah tahu kalau sempat mengajar sikit-sikit pada pelajar saya semasa demo macam tu. Orang kata sambil menyelam minum air. Manalah tahu kalau boleh sama-sama discuss tutorial sambil berarak ke Istana Negara. Untung-untung dapat jumpa YDP Agong. Untung-untung, lah. Untung-untung lagi, pelajar saya mungkin dapat tingkat prestasi akademiknya. Atau, mungkin saya boleh buat soalan exam berkaitan isu harga minyak naik dan kenapa perlu berdemo? Oh, macam idea yang bagus untuk kajian akademik! Terima kasih PR atas ilham ini!

10. Saya mat rempit yang memang selalu lepak Dataran Merdeka atau depan Sogo. Kebetulan lah pulak, bangun awal (sempat solat Subuh berjemaah di Masjid Negara). Cadangnya nak jalan-jalan tengok awek kat Sogo. Almaklumlah sekarangkan YES dah tiba. Awek mesti banyak yang keluar shopping di hujung minggu. Tetiba ternampak orang berarak ramai-ramai sambil bising-bising. Uih, saya memang suka benda-benda macam ni. Terutamanya kalau bab ala-ala nak gaduh ataupun provok polis. Best woooo. Entahlah, tak tahu siapa terlibat dan apa pasal dia orang tu semua duk berarak. Peduli apa, ikut je lah. Best apa. 1Malaysia! Bukan senang nak dapat peluang macam ni.

11. Saya pegawai polis. Tiba-tiba semalam dipanggil masuk kerja. Nak kena stand-by plan menghadapi hari perarakan yang mengalahkan perarakan hari kebangsaan ni. Dah lah tak dapat bersama-sama anak-anak di hujung minggu. Dengan pasangan pun tak dapat bersama. Orang ramai duk mengata polis ni barua kerajaan lah, apa lah, tapi semua benda pun polis nak kena buat. Orang PR kena tembak, polis kena handle. Orang kerajaan kena pun, polis juga handle. Suruhlah Kastam ke, JPJ ke, MBPJ ke, AirAsia ke yang tanggung. Hilang wallet masa berarak pun nak suruh polis cari balik. Saya lebih risaukan anak saya yang kurang masa dengan saya. Mana taknya, sebab yang macam ni lah buat kes buang bayi naik. Hah bila kes buang bayi banyak, polis juga nak kena handle. Ye lah, dah mak bapak kerja yang macam saya ni asyik kena kerja je. Weekend kerja, malam pun kerja. Bila masa nak asuh dan didik anak? Bila masa nak solat berjemaah dengan keluarga? Balik dah penat. Anak-anak tunggu lagi penat. Dah lah kepala kena hantuk dengan kayu banner masa demo pagi tadi. Elok-elok kita tak nak tangkap orang, depa buat provokasi macam-macam, terpaksa juga sumbat lokap. Hah, ingat lokap dengan penjara kat Malaysia ni banyak sangat ke? Nak tanggung transportation lagi, makan-minum lagi, proses data lagi. Semua pakai duit. Ish tenaga lagi lah banyak pakai! Macamlah saya suka sangat nak pegang badan depa yang berpeluh-peluh tu. Ye lah, jalan kaki 4km kan? Dah lah ramai. Buang masa je main tangkap-tangkap. Polis sentri one two jaga!

12. Saya reporter station TV. Dah lah kerja banyak. Nak layan kes liwat lagi. Nak sibuk kes lain lagi. Nak buat liputan ahli PR keluar parti beramai-ramai lagi. Ni boss suruh pergi cover perarakan pulak. Argghhh stress! Stress! Nanti buat liputan terbiased nanti salahkan kita pula. Nanti kata kita sebelah kaki masuk neraka sebab tak teluslah, ini lah, itu lah. Hish. Jadi wartawan gossip lagi bagus kot? At least tak payah lah nak layan gossip ahli politik yang gila nak jadi Perdana Menteri. Muka dia tak nampak pun. Play safe. Balik-balik nampak muka anak-anak buah aje. Dia diam aje. Tak sihat agaknya, demam kot? Atau tengah main sembunyi-sembunyi? Chakkkk! I dah nampak youuuuu...!

13. Saya ibu anak 9. Tak ada kereta. Ada motor kapcai aje. Suami anggota polis pangkat sarjan kena bertugas jaga demo. Niat nak bawa anak-anak ke KL beli baju sekolah. Ye lah, lagi berapa minggu nak sekolah. Anak ramai. Kena settle cepat. Minggu depan dah due bersalin anak ke-10. Demo punya pasal, kena cancel masuk KL. Dah la bas Metro tak sampai-sampai. Naik LRT pun ramai. Tambang mahal untuk anak-beranak. Nak jalan pun rasa tak selamat takut anak-anak jadi apa-apa. Nanti saya nak vote PR. Sebab mesti harga minyak turun. Gula turun. Saya duduk Selangor, mesti boleh dapat air free. PR mesti dapat bantu saya bayar yuran anak-anak, susu-lampin baby dan lain-lain. I love PR!

14. Saya student PR. Bukanlah, Public Relations lah. Saya cuma nak tanya, subsidi tu apa? Kenapa harga minyak naik? Harga air naik tak apa ke? Ada kemungkinan ke harga minyak turun? Especially bila buat demo, memang harga yang dah naik akan turun ke? Ala, tanya je. Saya bukan belajar ekonomi sangat pun. Janganlah marah.

15. Saya murid sekolah. Tadi ikut mak beli baju sekolah untuk tahun depan. Mak kata mampu beli sepasang aje. Ye lah, harga barang dah naik kan. Abah tak ada rumah. Mak kata abah pergi tegakkan kebenaran, menuntut hak. Dekat rumah ada berkotak-kotak rokok, abah punya. Bila cuba try test nak rasa rokok tu, abah balun sampai berbirat-birat punggung. Tapi abah duk layan rokok sambil hembus asap kepul-kepul bentuk love hari-hari tak apa pula. Abah kerja kerajaan gred rendah aje tapi pakai Lancer. Hutang lagi 8 tahun dengan bank. Itu belum termasuk hutang dengan along lagi. Abah selalu aje beli joran nak memancing. Beli iPhone 4. Abah pakai baju Uniqlo. Seed pun ada. Baju kat Giant baju saya je. Abah selalu ajak saya makan KFC dengan McD. Patutlah baju saya asyik ketat je dan asyik kena beli baru. Abah pernah kata biar papa, asalkan bergaya. Tapi kalau kerajaan naikkan harga, mana boleh diam sesaja!

Terima kasih Pakatan Rakyat! We will vote for you in PRU13! Kot.
(maka si Mat Rempit pun menggelabah sebab belum daftar mengundi)

INI BUKAN ENTRI POLITIK. TAK PERLU KOMEN MEMBELA MAHUPUN MENGHENTAM PR ATAU KERAJAAN PERSEKUTUAN. Haha

Cuma nak cakap,

Dalam hidup ini nak buat apapun kena pandang ke banyak sudut dan dari banyak sudut. Pandang yang positif. Buka minda. Luaskan pandangan. Berdoalah selalu agar diberi keputusan terbaik dalam melakukan sesuatu. Jalan terakhir adalah menyalak. Dan menyalak selalunya tak mendatangkan hasil yang best. Kecuali tekak kering rasa dahaga silap-silap sakit tonsil dan dapat bronchitis.

Terpulanglah nak terima tulisan di atas dengan gelak tawa atau maki hamun. Atau senyum sinis atau dendam kesumat. Atau ketawa manja atau resah gelisah. Atau tak faham langsung. Pura-pura tak faham pun tak apa. Tak ada orang nak marah. Nak buat muka toya dan tak peduli pun okey saja!

INI BUKAN ENTRI POLITIK. TAK PERLU KOMEN MEMBELA MAHUPUN MENGHENTAM PR ATAU KERAJAAN PERSEKUTUAN. Hahahahahaha

Rabu, 1 Disember 2010

Mana gambar kat FB? Tak cool lah!

Dengan nama Allah...


Bosan juga, bila orang asyik bertanya soalan yang sama.

Kenapa tidak ada gambar muka sendiri di Facebook?

Mana gambar konvokesyen? Mana gambar raya? Mana gambar outing hari tu? Mana gambar family? Mana gambar cuti-cuti tu?

Gambar.

Pentingkah?

Pertama, hamba sedar diri muka hamba bukan cantik sangat. Kulit gelap, gigi senget, pipi berjerawat, mata kuyu. Jadi, mahu tayang apa di Facebook?

Ke-dua, dan yang lebih penting, hamba kembali kepada niat asal membuat account di Facebook iaitu sekitar 2008 - sedikit terlambat berbanding orang lain, malah diejek-ejek pula ketika itu. Niat utama, untuk bertemu sahabat-sahabat lama satu Malaysia kerana fitrahnya hidup hamba memang nomadic (berpindah-randah). Dan ya, Alhamdulillah, niat itu setakat ini dikabulkan Allah. Jadi kenyataan kerana ramai juga sahabat-sahabat lama di Terengganu dan Pahang ditemukan kembali. Dengan guru-guru, dan jiran-jiran juga. Dan ukhuwah itu semua adalah lillahi taala. Tanpa ragu.

Ya, seronok melihat kenangan yang digambarkan. Diabadikan secara visual. Seronok mengenang-ngenang. Indah diingat-ingat. Cuma cukuplah hamba sendiri-sendiri.

Sebenarnya gambar yang ditag orang lain sudah lebih 400. Cuma hamba setkan hide untuk orang lain. Private setting, bermakna hanya hamba dan orang yang (rajin) mengetag sahaja yang dapat melihat.

Bukan sombong atau poyo, cuma haruslah selalu diingat, hamba ini anak gadis. Rasanya elok menjaga adab. Menjaga penampilan. Menjaga batasan.

Dan antara sebab lain hamba enggan meletak gambar berposing-posing berderet-deret di Facebook adalah kerana hamba enggan dibanding-banding taraf hidup.

Oh dia baru konvo tahun ini ke?

Laaa dia kerja biasa-biasa aje?

Huh konon best friends lah tu!

Study sampai degree je, bukan bagus sangat pun.

Lawanya baju dia, aku nak juga.

Ni ke kawan-kawan kau?

Dan lain-lain.

Juga, enggan dihendap. Seolah-olah hamba ini artis terkenal ala Britney Spears. Ke mana pergi, dengan siapa, bila, buat apa, semua orang lain nak tahu. Banyak lagi cara bersosial dan mengambil berat yang wujud. 'Mengambil berat' di Facebook bukan cara hamba. Mahu bersahabat cara sebenar? Kita sama-sama ke majlis ilmu, atau berjemaah di mana-mana masjid dan surau. Sekurang-kurangnya, kita makan semeja dengan niat ibadah.

Ya, kenangan itu penting. Berkongsi dengan sahabat-sahabat baik juga penting. Tetapi berjaga-jagalah. Batasan kita sebagai anak muda, sebagai anak gadis, sebagai ahli keluarga, sebagai anggota masyarakat, sebagai hamba Tuhan.

Dan ingatlah juga, semakin banyak manusia yang suka mengambil kesempatan. Sekurang-kurangnya berpada-padalah berkongsi maklumat tentang diri kita. Facebook hanya 0.01% hidup kita. Mungkin kurang daripada itu. Pandanglah ke luar. Bukalah minda. Hentikan 'bergantung' hidup dengan Facebook.

Lets get a life. A real life. Lillahi taala.